Rabu, 7 Februari 2024 | 12:32pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

TVET bukan tempat longgok 'jaguh kampung' gagal ke IPT

Selepas 60 tahun Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertapak di Malaysia, negara bakal mempunyai Dasar TVET pertama yang berupaya menjadi rujukan dalam memacu institusi melaksanakan program berkualiti merangkumi pelbagai bidang berkenaan.

Tanpa menoleh ke belakang, acuan agenda Malaysia semakin serius mengorak langkah ke arah memartabatkan TVET yang diperkenalkan pada 1964, terutama menjelang pelaksanaan dasarnya pada 2 Jun.

Dokumen itu akan berperanan sebagai medium penyatuan aspirasi dan hala tuju pelaksanaan TVET merentasi pelbagai pemegang taruh, sekali gus mengisi ruang kosong perlu dipenuhi dengan tenaga tempatan berkemahiran khususnya golongan muda.

Dasar TVET menjadi antara lapan hala tuju utama aliran itu sepanjang tahun ini, selain sasaran kerajaan memuktamadkan sekurang-kurangnya 50 Memorandum Kerjasama bersama industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pelaksanaan program berimpak tinggi.

Setakat tahun lalu, sebanyak 172 GLC, swasta dan agensi awam menjalinkan kerjasama dengan institusi TVET, termasuk memorandum persefahaman (MoU).

Momentum semasa merancakkan usaha kerajaan mendigitalkan TVET dengan pelancaran data raya menerusi penyelarasan tadbir urus dan pemusatan data secara komprehensif, selain melakukan kajian bersama dengan penggerak industri dalam menawarkan pekerjaan secara terus.

Sebuah indeks kebolehan baharu akan diperhalusi dan diwujudkan sebagai penanda aras penilaian terhadap permintaan dan penawaran tenaga mahir tempatan, seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Reformasi TVET suntik nafas segar

Reformasi TVET bakal menyuntik nafas segar kepada aliran itu dengan antara lain bermatlamat menyelaras program berkaitan TVET di 12 kementerian, bersesuaian dengan keperluan industri.

Hakikatnya, masyarakat tidak lagi memandang aliran TVET sebagai pilihan terakhir atau medan melonggokkan jaguh tempatan tidak berpeluang bersaing dengan aliran profesional.

Negara maju seperti Jepun dan Jerman sudah lama meletakkan TVET sebagai keutamaan bagi melahirkan tenaga mahir khususnya sektor kejuruteraan dan mekanikal, manakala China turut menawarkan aliran TVET dari negara ini untuk melanjutkan pengajian ke negara Tembok Besar itu.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini mengenai langkah mewujudkan badan penarafan tunggal program TVET bagi menyeragamkan kualiti program ditawarkan, membuktikan kepentingan aliran itu dalam membina negara bangsa.

Penarafan bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) itu adalah jaminan ke arah penyediaan tenaga mahir cekap memenuhi kehendak pasaran dan pemegang taruh secara menyeluruh.

Hasil jangka panjang pastinya menjurus ke arah mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) atas pelbagai faktor seperti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan, masalah kewangan atau minat berbeza.

Golongan ini akan menjadi generasi muda berilmu dengan pengkhususan bidang yang semestinya menjadi pilihan majikan di luar sana. Mengambil kira usia muda selepas menamatkan pengajian, mereka mempunyai banyak masa dan ruang untuk melanjutkan pengajian bagi menambah kemahiran.

Kerajaan MADANI kini bertekad memartabatkan TVET dan kesungguhan itu terbukti apabila Belanjawan 2024 memperuntukkan RM6.8 bilion untuk memperkasa aliran TVET.

Bermula di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur pada 1964, negara boleh berbangga dengan 1,345 institusi TVET membabitkan 12 kementerian selain 385,499 pelajar aliran itu tahun lalu.

Sehingga kini, kadar kebolehpasaran graduan TVET dilihat sangat baik, iaitu 92.5 peratus pada 2022, melepasi sasaran 86.7 peratus menjelang 2025. Jelas sekali ada sinar baharu dalam bidang TVET negara pada masa hadapan.

Berita Harian X