Selasa, 6 Februari 2024 | 9:21am

Perhebat fasih digital dalam kurikulum baharu

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kini semakin hampir menuju ke hujungnya, manakala semakan Kurikulum Persekolahan 2027 sedang dijalankan dengan pelaksanaan disasarkan untuk murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada sesi persekolahan tahun itu.

Kerangka kurikulum ini menyasarkan murid menjadi insan sejahtera dengan membabitkan tiga aspek, iaitu pengetahuan, kemahiran dan adab membabitkan juga elemen fasih digital.

Ini kesinambungan daripada PPPM 2013-2025 yang turut menumpukan elemen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan pelan tindakan memanfaatkan ICT untuk pengajaran.

Kewujudan teknologi telefon pintar dan sistem operasi Android pula mewujudkan gelombang aplikasi digunakan dalam telefon pintar. Sejak abad ke-21, kebanjiran alatan komunikasi pintar dan aplikasinya menjadikan situasi masyarakat celik teknologi maklumat semakin tinggi.

Mahu tidak mahu, sistem pendidikan negara perlu mengadaptasi keperluan generasi Z ini seperti ditunjukkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan mengguna pakai elemen fasih digital.

Fasih digital ini perlu digunakan untuk kandungan, pedagogi dan pentaksiran kurikulum ini. Cabaran sedia ada dan jangkaan perlu ditangani Kementerian Pendidikan (KPM) dalam merangka kurikulum baharu ini.

Cabaran dan pengukuhan kurikulum baharu berkaitan penggunaan teknologi boleh diperhebat dengan memantapkan makmal komputer sekolah dengan penyediaan peralatan komputer terbaharu seperti komputer generasi baharu.

Ia juga perlu mengambil kira usaha mengurangkan kemiskinan digital berterusan sama ada guru atau murid berdasarkan pengetahuan penggunaan bahan digital dan ketidakmampuan untuk mendapatkan bahan berkualiti oleh B40 serta M40.

Keadaan ketidaksamarataan penerimaan digital ini dilalui di pelbagai lokasi dan perlu ditangani secara berasingan dengan melihat situasi kedudukan sekolah seperti pedalaman berbanding dengan sekolah berdekatan bandar.

Pada masa sama, kementerian juga perlu memberikan perhatian kepada golongan rentan untuk menyediakan golongan itu dengan dunia digital dalam pendidikan seperti murid Orang Kurang Upaya (OKU) atau menangani pembangunan digital masyarakat Orang Asli yang masih ketinggalan.

Keadaan ini memerlukan peningkatan ekosistem penyampaian fasih digital lebih berkesan serta menangani dan mencegah kemiskinan digital secara menyeluruh.

Antara perlu difikirkan adalah bagaimana cara meningkatkan kemahiran asas digital kepada guru lama dengan pembekalan kepelbagaian teknik pengajaran dan pendekatan menggunakan teknologi digital.

Ini secara langsung akan meningkatkan kompetensi guru dalam pengajaran untuk melakukan intervensi. Pada masa sama, KPM juga perlu meningkatkan kualiti guru dengan pengetahuan dan kemahiran digital kepada bakal guru dan guru sedia ada.

Kajian semula masa penggunaan digital di sekolah perlu difikirkan kerana perlu mengambil kira pelbagai jenis sekolah dengan tumpuan berbeza terhadap kemampuan digital berlainan. Kepelbagaian sekolah ini memungkinkan wujudnya sekolah boleh diberikan peluang untuk penggunaan teknologi digital dengan pelbagai pengkhususan, pemantapan dan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital KPM.

Penulis adalah Penyelidik Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X