Ahad, 4 Februari 2024 | 8:45am
Pendidikan adalah wahana terbaik dalam membina semula peradaban. - Foto hiasan
Pendidikan adalah wahana terbaik dalam membina semula peradaban. - Foto hiasan

Remehkan sumbangan pendidikan punca lahir generasi tempang

KERAP tular akhir-akhir ini beberapa kenyataan daripada pempengaruh media sosial memperlecehkan peranan pendidikan. Gejala bertunjangkan pesimisme atau pandangan serong ini mengukur keupayaan pendidikan bukan lagi pada nilai pendidikan, tetapi pada ukuran kemewahan dan kemasyhuran.

Kenyataan pempengaruh media sosial ini tidak boleh dipandang remeh, mereka memiliki potensi besar dalam mempengaruhi pemikiran generasi sezaman mereka. Lantaran itu, ada sebahagian generasi muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih tertarik menjadi pempengaruh media sosial untuk mengejar laba tinggi.

Bahkan, ada laporan dipaparkan media menunjukkan sebahagian besar lepasan SPM enggan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kononnya ilmu yang tinggi tidak menjamin pendapatan yang tinggi juga apabila tamat pengajian.

Memang benar banyak tulisan mengkritik fungsi pendidikan misalnya Eko Prasetyo dengan tulisannya 'Orang Miskin Dilarang Sekolah' atau Tetsuko Kuroyanagi seorang novelis Jepun menerusi tulisannya, Totto Chan: The Little Girl at The Window diterjemah ke dalam pelbagai bahasa.

Meskipun begitu, kritikan karya ini berdasarkan pada keresahan mereka terhadap herotan pendidikan terhasil, bukannya perlecehan terhadap sumbangan pendidikan yang sama sekali tidak dapat dinafikan.

Nada meremehkan peranan pendidikan ini tidak mengejutkan. Simptom menggalakkan ukuran material sebagai sandaran sudah wujud bergenerasi lamanya.

Entah di mana silapnya, masyarakat Melayu yang dahulunya sangat menegaskan pendidikan kepada anak-anak, mula mengendurkan sikap itu dek kerana henyakan ekonomi. Penegasan itu terbukti dengan wujudnya pepatah 'berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi'.

Meskipun begitu, ungkapan seperti 'biar menjadi manusia' atau 'biar menjadi orang' beransur-ansur digantikan tanpa sedar dengan ungkapan 'belajar rajin-rajin, nanti dapat pakai kereta besar'. Kekecewaan untuk memenuhi kehendak material inilah membuatkan peranan pendidikan semakin diragui dan dicabar.

Pada masa sama, dengan rancaknya kemajuan digital, kehendak material juga dapat dipenuhi tanpa melalui proses pendidikan rumit dan panjang.

Dabik dada dengan 'kegagalan dan keciciran'

Masyarakat secara keseluruhannya perlu berasa risau dengan kemunculan golongan kerap mendabik dada dengan 'kegagalan dan keciciran' mereka dalam pendidikan.

Jika dahulu, golongan ini akan berasa insaf dan rendah diri dengan keciciran mereka dalam pendidikan, malah menasihatkan orang lain supaya tidak mengulangi kesilapan sama seperti diri mereka. Dari satu segi, itulah petanda kejayaan sebuah pendidikan, apabila terbit rasa 'tahu malu' daripada kekurangan, bukannya semakin menongkat langit.

Filem Pendekar Bujang Lapok arahan Tan Sri P Ramlee memaparkan cerminan masyarakat Melayu yang 'tahu malu' apabila ditanyakan tahap pendidikan mereka sehingga membuatkan mereka terpaksa berbohong. Mesej penting hendak disampaikan itu perlu diteladani sebaiknya masyarakat, supaya mesej itu tidak terhenti pada deraian tawa semata-mata.

Tetapi kini fenomena amat berbeza. Generasi hari ini sanggup melakukan apa sahaja di media sosial asalkan kandungan dihasilkan mereka mendapat rating tinggi, termasuk dengan cara menjatuhkan maruah dan aib diri sendiri.

Lebih malang lagi, mereka tidak menyedari kesilapan mereka, malah bermegah-megahan dengan laba diperoleh hasil mengemis maruah secara digital.

Tindakan meremehkan pendidikan ini perlu dipandang serius dan dibanteras semua pihak secara bersama, bagi mengelakkan lahir generasi tempang keperluan jasmani dan rohani.

Pada masa sama, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan pendidikan secara menyeluruh perlu ditegaskan semula supaya cita-cita melahirkan manusia seimbang kemampuan intelek dan fizikal dapat dilahirkan.

Pendidikan adalah wahana terbaik dalam membina semula peradaban, bukannya wang ringgit dan emas. Peradaban Melayu-Islam di Melaka tidak terbina atas longgokan emas, tetapi terbina atas daya juang keilmuan tinggi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X