Sabtu, 3 Februari 2024 | 10:12am

Manfaat bantuan awal persekolahan, rancang belanja keperluan anak

SESI persekolahan bagi 2023 akan melabuhkan tirainya. Pada masa ini kebanyakan ibu bapa mulai merancang perbelanjaan bukan sahaja untuk pembukaan sesi persekolahan baharu penggal 2023/2024 pada Mac nanti, tetapi perbelanjaan untuk menyambut Ramadan dan perbelanjaan lain.

Setiap kali sesi baharu persekolahan bermula, sudah pasti banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan, terutama pembelian kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah dan sebagainya. Ini ditambah lagi perbelanjaan lain seperti pembayaran yuran sekolah, yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kos transit anak dan tambang bas sekolah.

Sudah pasti segala perbelanjaan ini memerlukan perancangan kewangan teliti supaya ibu bapa atau penjaga tidak berasa terbeban. Apatah lagi kerana perbelanjaan membeli kelengkapan persekolahan pada masa ini semakin meningkat.

Jika dihitung untuk membeli sepasang sepersalinan persekolahan seperti baju, seluar dan kasut sekolah saja boleh mencecah ratusan ringgit. Ini belum ditambah dengan kelengkapan persekolahan lain. Sudah pasti jumlah perbelanjaan perlu dikeluarkan ibu bapa amat tinggi.

Bagi membantu mengurangkan beban ditanggung ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan, kerajaan menyediakan insentif Bantuan Awal Persekolahan (BPA) RM150 kepada setiap murid. Mengikut maklumat Kementerian Pendidikan (KPM), BAP mula diperkenalkan pada 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak ditanggung ibu bapa atau penjaga, terutama pada awal tahun.

Bantuan ini diberikan kepada murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima atau setaraf dengannya daripada kalangan keluarga berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000 dan ke bawah. Bagaimanapun, kini bantuan awal persekolahan diberikan kepada semua murid tanpa mengambil kira pendapatan keluarga.

Bantuan legakan ibu bapa

Sudah pasti dengan pemberian bantuan awal persekolahan ini memberi kelegaan kepada ibu bapa bagi merancang perbelanjaan persekolahan anak. Dalam merancang perbelanjaan ibu bapa harus 'mengukur baju di badan sendiri'. Usah terlalu mengikut kehendak anak.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu menjelaskan kepada anak, kenapa dan mengapa perbelanjaan membeli keperluan sekolah perlu dirancang supaya anak faham. Bagi anak, apabila bermula sesi persekolahan baharu sudah pasti mereka mahu segala kelengkapan persekolahan baharu.

Akan tetapi kekangan kewangan pasti menjadi halangan untuk ibu bapa memenuhi kehendak anak. Oleh itu, inilah masanya untuk ibu bapa mendidik anak memahami ilmu pengurusan kewangan.

Dalam menetapkan perbelanjaan persekolahan, sudah pasti ibu bapa perlu mengambil kira barang atau keperluan menjadi keutamaan. Sebagai contoh, sekiranya kelengkapan persekolahan masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan, seeloknya tidak perlu diganti atau dibeli lain.

Senario seperti ini akan membantu menjimatkan kos perbelanjaan pembelian kelengkapan persekolahan.

Selain itu, pengumuman KPM berkaitan pemakaian rasmi ke sekolah juga sepatutnya membantu ibu bapa dalam membuat perancangan membeli kelengkapan sekolah.

Walaupun ada ibu bapa mempunyai kemampuan tinggi untuk membeli kelengkapan persekolahan anak, bantuan awal persekolahan adalah satu inisiatif penting bagi membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan ibu bapa berpendapatan rendah atau mempunyai ramai anak bersekolah dalam tahun sama.

Bantuan ini adalah untuk memastikan semua anak mempunyai akses kepada peralatan dan sokongan diperlukan bagi memupuk minat anak terus ke sekolah dalam melahirkan generasi berilmu pada masa akan datang.

Sebaiknya, ibu bapa tidak menyalahgunakan insentif ini untuk pembelian barang tidak perlu, sebaliknya membelanjakan untuk kepentingan anak bersekolah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X