Jumaat, 2 Februari 2024 | 12:34pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Didik pensyarah muda kuasai kemahiran penulisan aras tinggi

PERBINCANGAN di luar ekosistem akademik tercetus apabila penulis sejarah dari Barat mengkritik pakar universiti tempatan menulis dengan fakta mengenai sejarah maritim Melayu didakwa salah dan mengelirukan.

Ada dua isu diperkatakan, iaitu fakta berkenaan bercanggah daripada pandangan beliau, manakala kedua, tulisan terbabit diterbitkan dalam jurnal tidak berwibawa.

Pandangan beliau sudah menjadi perdebatan awam kerana terdapat akhbar tempatan menjadikannya bahan berita.

Sebetulnya, kajian dan terbitan akademik perlu diulas serta diperdebatkan dalam ekosistem ilmuwan, inilah tradisi akademik. Kebanyakan dapatan ilmiah baik sudah melalui proses ini, antaranya perdebatan sesama pakar di seminar dan persidangan.

Manuskrip penerbitan juga lazimnya disemak rakan dengan kepakaran sama dan dinilai penilai bebas atau editor teknikal.

Penerbitan lazimnya mempunyai etika akademik perlu dipatuhi. Saya tidak berminat membincangkan perkara pertama, tetapi lebih tertarik menghurai perkara kedua, iaitu jurnal tidak berwibawa.

Saya pernah menjelaskan perkara ini dalam beberapa perkongsian akademik kerana berasakan agenda penerbitan ilmiah tersasar daripada landasan asalnya.

Agak ramai ahli akademik menerbit kerana ingin meningkatkan kuantiti penerbitan dan memilih jurnal mudah menyiarkan tulisannya.

Ia untuk memenuhi syarat kenaikan pangkat. Saya berharap, isu begini sudah diberikan perhatian oleh pemimpin universiti, manakala penyakit ini sudah dibendung.

Dalam satu dekad ini, wujud pula isu perniagaan penerbitan. Disebabkan keghairahan untuk menerbit, terlalu banyak penerbit membangunkan strategi bagaimana mendapatkan dana melalui perniagaan penerbitan, tetapi tetap kelihatan seperti jurnal berkualiti.

Jika dahulu, menjadi satu penghormatan jika anda dapat menerbit di dalam jurnal. Kini, anda perlu membayar untuk menerbit. Jutaan ringgit dibelanjakan universiti tempatan untuk penerbitan jurnal.

Satu ketika dahulu, penerbitan diusahakan persatuan keilmuan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain jabatan atau fakulti mengembangkan bidang ilmu masing-masing.

Kini, satu demi satu penerbitan persatuan dan jabatan berkubur, sebaliknya semuanya diambil alih syarikat penerbitan.

Berkongsi ilmu sesama pakar bidang

Mengapa ahli akademik perlu menerbit? Pertama, untuk berkongsi ilmu, terutama apabila berjaya meneroka ilmu baharu. Oleh itu, menerbit di dalam proceeding dan jurnal adalah usaha berkongsi ilmu sesama pakar bidang.

Dengan cara ini, ilmu terus berkembang dan memperkaya korpus ilmu sesuatu bidang. Perdebatan intelek amat biasa, selagi sesuatu hipotesis belum diterima sebagai teori mantap dan dipersetujui bersama, ia akan terus diperdebatkan.

Ahli akademik, terutama dalam konteks pengajaran pula, lazimnya berminat menerbitkan buku teks. Ini juga penerbitan ilmiah penting untuk berkongsi ilmu dengan pelajar.

Ahli akademik terbabit membuat analisis dan sintesis dalam sesuatu bidang ilmu dikembangkan ratusan sarjana dalam bidang berkenaan sebelum beliau mempersembahkan dalam bentuk buku rujukan pelajar.

Anda pasti ingat beberapa buku rujukan klasik dalam bidang dipelajari.

Mengapa anda menerbit dan siapa sasaran anda? Perkara ini jarang dikupas secara tuntas. Penyelidikan ahli akademik ada konteksnya, ada bersifat tempatan, kebangsaan, rantauan dan global.

Kajian mengenai tanah runtuh di Lembah Klang umpamanya, bersifat tempatan dan penerbitan hanya berfaedah untuk ahli akademik dan profesional pada peringkat kebangsaan.

Mengapa perlu diterbitkan dalam jurnal bersifat antarabangsa? Lebih-lebih lagi dalam jurnal tidak berkaitan dengan bidang ilmu.

Jika penyelidikan anda bersifat menyelesaikan isu global, barulah ia penting diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Ahli akademik sepatutnya memberikan tumpuan kepada penerbitan berkualiti atau cemerlang. Yang menentukan kecemerlangan dalam dunia akademik ialah pakar bidang berwibawa.

Sebab itu, anda perlu mengenali siapa ahli akademik berwibawa dalam bidang kepakaran anda, hantarlah manuskrip kepada mereka untuk mendapat penilaian awal. Selepas itu, barulah sesuai diterbitkan.

Kedua, menulis adalah kemahiran aras tinggi, kualiti penerbitan anda akan terus meningkat apabila kemahiran ini diamal dan dibiasakan.

Tidak munasabah pemimpin universiti memaksa ahli akademik muda menulis dalam jurnal berimpak tinggi, jika mereka belum membangun kemahiran dalam penulisan aras tinggi.

Sebaliknya, galakkan mereka merangkak, berjalan dan barulah boleh berlari. Pastikan fakta dan analisis berkualiti tinggi.

Peranan asas ahli akademik ialah menyelidik, mengajar dan berkongsi ilmu dengan masyarakat. Penerbitan ilmiah ialah kemahiran perlu dikuasai dan diamalkan.

Fahami mengapa kita perlu menerbit dan siapa sasaran kita. Biarkan percambahan fikiran dan perdebatan sihat berlaku dalam sekitaran universiti, inilah tujuan utama kita beruniversiti.

Penulis adalah Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X