Khamis, 1 Februari 2024 | 10:55am
Foto hiasan. - Reuters
Foto hiasan. - Reuters

Heret Israel ke ICJ beri sinar baharu Palestin

Dalam perang Israel-Palestin, tiada kata mampu diungkapkan kerana bahasa kehilangan kalimahnya. Mungkin gambar visual lebih mampu menghayati senario hakikat penderitaan manusia tinggal di bumi Gaza.

Tiada perang setanding perang buta kemanusiaan ini sedang hangat berlaku pada saat kita hanya mampu melayani kandungan Tiktok, X, Reels, Instagram dan Facebook.

Pada hakikatnya, istilah perang di Gaza bukan lagi bermaksud perang lazim dilihat atau didedahkan sebelum ini sepanjang sejarah kemanusiaan.

Perang kali ini adalah satu pemusnahan sistematik menghapuskan segala-galanya tidak kira bernyawa atau tidak. Manusia dilihat ibarat anjing kurap, bangunan ibarat barang mainan, infrastruktur seperti lego bahkan segala-galanya ibarat permainan dalam komputer.

Sesungguhnya perang Israel-Palestin adalah perang kebencian, kemarahan dan dendam fitnah paling besar di sebalik penghapusan etnik, pemusnahan kemanusiaan, pembantaian setiap nyawa tidak berdosa dalam kalangan wanita, kanak-kanak, orang tua, remaja, bayi dan apa sahaja.

Inilah hakikat pahit terpaksa ditelan lebih tujuh bilion mata manusia di seluruh dunia tanpa mampu berbuat apa-apa. Begitu aneh bagaimana peristiwa ini boleh berlaku dan berterusan ketika ketamadunan kononnya sampai ke kemuncaknya. Siapa harus dipersalahkan dan dipertanggunjawabkan.

Dalam dentuman bom dan kehangatan darah mengalir dari tubuh rakyat Gaza setiap saat, ada sedikit sinar di hujung terowong. Afrika Selatan tiba-tiba muncul mengheret Israel ke muka pengadilan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.

Israel menghadapi tuduhan melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid. Sepantas itu juga puluhan negara memberikan sokongan moral kepada plaintif dengan membelakangkan 'samseng Uncle Sam' terpinga-pinga mencari sokongan.

Banyak negara berdiri teguh bersama Palestin tanpa segan silu. Kata-kata keramat Israel has the right to defend itself sudah kehilangan bisa dan tidak lagi dilayan masyarakat dunia.

Walaupun veto demi veto digunakan Amerika Syarikat (AS) untuk menggagalkan segala usaha murni masyarakat dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun akhirnya resolusi gencatan senjata berjaya diluluskan tetapi belum dapat dilaksanakan.

Lebih memeritkan lagi, muncul pula Indonesia mahu mengheret Israel dengan pertuduhan pengambilan haram tanah Palestin oleh Israel dan penempatan pendatang Yahudi di Tebing Barat.

Lembaran pertuduhan bersejarah ini akan membuka seluas-luasnya kepada pertuduhan lain termasuk mengheret AS dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai bersubahat serta menyokong genosid di Palestin.

Mereka meletakkan seluruh rakyat Palestin dalam penjara terbuka terbesar di dunia di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dengan pelbagai macam ragam sekatan, buli, kekasaran sehinggalah kepada pembunuhan terbuka.

Jiwa raga komuniti antarabangsa sudah menyuarakan apa yang mereka mahu iaitu gencatan senjata sekarang juga. Gema lafaz ini cuma sekelumit dan satu-satunya permintaan daripada masyarakat antarabangsa saat ini.

Kita hanya mahukan tempoh aman bagi membolehkan rakyat Gaza dihulurkan bantuan asas untuk hidup, memiliki bekalan makanan, minuman dan tempat selamat untuk meneruskan hidup.

Tiada seorangpun mempunyai masa memikirkan pembangunan Gaza yang hampir rata menjadi padang jarak padang terkukur. Yang hanya terfikir ialah keselamatan nyawa setiap insan di sana.

Namun di sebalik kezaliman Israel ini, negara haram itu memasuki permulaan fasa kemusnahan sama ada secara moral atau fizikal pada akhirnya.

Masyarakat dunia, khususnya Barat yang dahulunya sentiasa bersimpati dengan Israel tanpa segan silu menyertai tunjuk perasaan dalam jumlah amat besar di seluruh dunia.

Dengan kehinaan ini, rakyat Israel akhirnya tidak mahu lagi mengaku sebagai warga Israel apatah lagi mereka bersimpati dengannya, tidak akan mahu lagi mengaitkan diri mereka dengan Israel. Akhirnya, kewujudan Israel akan perlahan-lahan sunyi daripada kewujudannya di bumi ini.

Berita Harian X