Jumaat, 26 Januari 2024 | 10:01am

Kaji keberkesanan autonomi pastikan UA boleh berdikari

SETAKAT ini, sekurang-kurangnya dua kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pandangan agar universiti awam (UA) diberi kuasa penuh supaya dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan keutamaan masing-masing.

Penegasan ini jelas dinyatakan dalam Majlis Perasmian Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Wacana Pemikir Global 2024.

Umumnya Perdana Menteri mahukan KPT memberi lebih banyak ruang kepada pimpinan universiti melaksanakan program mempertingkat mutu pendidikan, sekali gus melahirkan graduan cemerlang dan berkeupayaan tinggi.

Dalam hal ini, KPT disyorkan hanya bertindak menyelaraskan sebarang pertindihan atau permasalahan berhubung usaha itu.

Ini juga boleh mengelakkan birokrasi, selain membolehkan prestasi UA berkembang dan menyumbang kepada pendidikan masa hadapan.

Anwar juga tegaskan sistem lama dan amalan birokrasi kementerian membuat keputusan bagi pihak universiti mesti diakhiri sekarang.

Hakikatnya, semua 20 UA sudah berstatus autonomi memberikan kuasa kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Lembaga Gabenor Universiti membuat keputusan.

Autonomi mencakupi empat skop, iaitu tadbir urus dalam aspek institusi, kewangan, sumber manusia dan akademik. Penurunan kuasa ini membolehkan universiti bergerak dengan berkesan mencapai kecemerlangan dan memperkasa institusi itu ke peringkat dunia.

Bagaimanapun, program pelaksanaan autonomi UA diperkenalkan pada 2012 di bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara perlu mematuhi prinsip asas kerana autonomi UA bukan mutlak, sebaliknya masih tertakluk kepada pengarahan am pendidikan tinggi, strategi dan dasar kerajaan serta kementerian.

Syor adakan sesi libat urus

Dalam merealisasikan hasrat pemberian kuasa penuh, kita perlu mengkaji semula keberkesanan status autonomi supaya dapat mengenal pasti isu berbangkit atau sejauh mana birokrasi masih wujud hingga mengekang universiti melonjak kecemerlangan.

KPT disyorkan mengadakan sesi libat urus dengan semua Pengerusi LPU dan Naib Canselor supaya dapat diperincikan kuasa penuh apa masih diperlukan, sekali gus menentukan tabir urus sebagai panduan dalam mempraktikkan penurunan kuasa. Pihak pengurusan universiti perlu mengambil peluang menerangkan kekangan atau birokrasi dihadapi jika ada supaya kedua-dua pihak dapat mencari titik penyelesaian.

Apapun, ia tidak boleh memisahkan atau melonggarkan hubungan kementerian dengan universiti kerana kawalan masih diperlukan sebagai agensi di bawah seliaannya.

Kuasa penuh sewajarnya diberikan kepada perkara yang dapat melonjakkan kecemerlangan universiti dengan menentukan hala tuju masing-masing berdasarkan matlamat dan sasaran ditetapkan perlu dicapai demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Misalnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) berpaksikan pertanian sebagai bidang tujahan utama, menetapkan sumbangan bermakna kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam majlis Perutusan 100 Hari Naib Canselor dan Amanat 2024 baru-baru ini, menegaskan komitmen dan hala tuju UPM itu.

Penulis yakin Menteri Pendidikan Tinggi baharu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mampu mengubah landskap pentadbiran pendidikan tinggi negara melalui sistem tadbir urus mesra universiti dan penurunan kuasa menyeluruh seperti dihasratkan Perdana Menteri.

Ini juga membolehkan setiap universiti bergerak dengan tangkas dan pantas bersama kepemimpinan KPT dalam mencapai lima fokus utama 2024 serta 20 landasan meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara seperti digariskan Zambry dalam Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2024 baru-baru ini.

Kementerian dan universiti perlu saling melengkapi memartabatkan ekosistem pendidikan tinggi negara dengan hubungan 'bapa-anak' terus disuburkan dalam kerangka lebih matang dan profesional memandangkan universiti boleh diibaratkan anak sudah meningkat dewasa dan boleh berdikari.

Hakikatnya kuasa penuh bukan satu keistimewaan, sebaliknya bakal mencabar kelaziman universiti keluar daripada norma biasa dan terus memburu kecemerlangan dan memberikan makna kepada tujuan utama penubuhannya.

Universiti perlu keluar dari zon selesa dan mencabar kelaziman supaya kekal berdaya saing, selain mampu memberikan sumbangan bermakna kepada rakyat dan negara.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X