Jumaat, 12 Januari 2024 | 10:06am
PADU adalah usaha inovasi kerajaan dalam rangkaian ekonomi dan sosial, iaitu memastikan pemberian subsidi lebih bersasar dan saksama. - Foto hiasan NSTP
PADU adalah usaha inovasi kerajaan dalam rangkaian ekonomi dan sosial, iaitu memastikan pemberian subsidi lebih bersasar dan saksama. - Foto hiasan NSTP

PADU lonjakan paradigma ke arah negara cemerlang dalam inovasi

SEJAK Pangkalan Data Utama (PADU) dilancarkan, banyak aduan daripada rakyat, pertubuhan hak asasi manusia dan Ahli Parlimen mengenainya. Ia sebenarnya normal apabila pembaharuan diperkenalkan sama ada dasar, teknologi, sistem mahupun projek kerajaan.

PADU mencerminkan kesungguhan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi pada 2030. Namun, kerajaan juga tidak mengehadkan pembangunan kepada penggunaan sains dan teknologi dalam sektor perindustrian sahaja, bahkan dalam pelbagai rencam kehidupan seperti menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Justeru, PADU adalah usaha inovasi kerajaan dalam rangkaian ekonomi dan sosial, iaitu memastikan pemberian subsidi lebih bersasar dan saksama. Ia juga menyaksikan pembudayaan serta penggunaan sains dan teknologi bagi meningkatkan perkongsian maklumat.

Kewujudan PADU mencerminkan revolusi digital dan inovasi teknologi di negara ini sejajar dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selaku instrumen sosioekonomi untuk meningkatkan pengetahuan, inovasi, penjanaan kekayaan, keterangkuman dan kesejahteraan masyarakat.

Tidak kurang penting, PADU juga hasil inovasi dengan kerajaan memberikan kepercayaan kepada bakat tempatan. Sistem ini dibangunkan penjawat awam sepenuhnya untuk mengurangkan risiko kebocoran data kepada pihak ketiga dan memberikan lebih kuasa kepada kerajaan mengawal sistem.

Ini seiring dasar sains teknologi dan inovasi bertujuan memperkasa bakat tempatan menerusi aktiviti inovasi. Ia mengesahkan Malaysia mempunyai penjawat awam berbakat, kompeten, mempunyai kemahiran inovasi tinggi dan mempunyai nilai kompetitif tinggi.

Dalam konteks ini, kita perlu melihat Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023 oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland merekodkan Malaysia berada di tangga ke-36 daripada 132 negara.

Inisiatif perkukuhkan kewangan negara

Skor keseluruhan dicapai negara meningkat kepada 40.9 berbanding skor 38.7 pada 2022. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan Malaysia menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah.

Bagi tahap ASEAN pula, Malaysia di kedudukan kedua selepas Singapura. Kita menunjukkan peningkatan bagi lima daripada tujuh tonggak berbanding 2022, iaitu institusi dengan merekodkan 29 berbanding 34; modal insan dan penyelidikan (32 berbanding 38); kecanggihan pasaran (18 berbanding 26); kecanggihan perniagaan (36 berbanding 41) dan sumber ilmu serta teknologi (37 berbanding 39).

Justeru, PADU antara perjuangan menaikkan kedudukan Indeks Inovasi Global negara ke peringkat lebih tinggi. Hari ini Switzerland, Sweden dan Belanda menjadi antara negara berinovatif tinggi, tidak mustahil PADU menjadi lonjakan paradigma ke arah negara cemerlang dalam cabang inovasi.

Inovasi ditakrifkan sebagai pembaharuan, hasil cipta baharu, modifikasi atau memperbaiki idea bakal memberikan manfaat kepada masyarakat. Setiap inovasi mementingkan jumlah kos dan penjimatan dapat dicapai. PADU menunjukkan bagaimana kerajaan boleh menjimatkan dana awam melalui inovasi dengan tidak perlu melantik vendor. Pemberian subsidi lebih bersasar akan menjurus kepada pengurusan sektor awam lebih cekap, sekali gus dapat mengimbangi kedudukan fiskal negara dan mengelakkan pembaziran wang awam.

Ini antara kriteria penting dalam inovasi dapat dipenuhi PADU. Tidak salah sekiranya kita melihat PADU ini sebagai inisiatif memperkukuhkan kewangan negara. Proses inovasi boleh berlaku secara radikal dan mendadak atau beransur-ansur hingga wujud transformasi terhadap produk, proses serta perkhidmatan. Apabila sistem ini sudah lengkap secara automatik, ia membantu kerajaan menganalisis membuat keputusan dan memberikan perkhidmatan lebih cekap serta telus.

Sudah lebih sejuta pengguna mendaftar dengan PADU, tetapi kerajaan perlu mempelbagaikan usaha terutama hebahan untuk membantu rakyat berbuat demikian, selain memperbanyakkan pembukaan kaunter pendaftaran.

Dalam mendepani kekangan sistem PADU, kerajaan sudah pastinya dalam proses menambah baik sistem ini secara perlahan-lahan, tetapi cabaran utama adalah untuk memupuk keyakinan rakyat terhadap keselamatan PADU agar diterima sepenuhnya. Penyaluran maklumat melalui saluran efektif kepada rakyat diperlukan, manakala pengguna pula perlu bersabar untuk melihat kesan baik PADU.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah

Berita Harian X