Khamis, 11 Januari 2024 | 12:18pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di Sepang, Isnin lalu. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (dua kanan). - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di Sepang, Isnin lalu. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (dua kanan). - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Agenda perkukuh tatakelola, tadbir urus tuntut integriti bersama

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) tahun lalu, antara tujuannya untuk memperkemas dan memperkukuh usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.

Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ini satu mesej jelas kepada semua peringkat kepemimpinan dan seluruh rakyat mengenai kepentingan tatakelola yang baik dalam apa juga urusan dilaksanakan.

Sistem pentadbiran kerajaan berteraskan tatakelola baik melalui prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan keberkesanan adalah agenda utama bagi mewujudkan pentadbiran cekap, berdisiplin dan berintegriti tinggi.

Empat terma rujukan bagi Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional ini iaitu Reformasi Institusi, Dasar dan Undang-undang, Sistem dan Prosedur Kerja, Pemantauan dan Penilaian serta Pembudayaan Amalan Nilai dan Tatakelola Baik jelas merangkumi pelbagai sudut berupaya mengekang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta ketirisan selama ini menghambat kemampanan pembangunan negara.

Dari sudut pelaksanaan, penubuhan JKKTN ini turut disusuli dengan rantaian pelbagai peringkat jawatankuasa peringkat negara, negeri hingga aras institusi bagi memastikan penghayatan dan pelaksanaannya menyeluruh dan bersepadu.

Dalam kerangka JKKTN ini, diwujudkan pula Pasukan Khas Perunding (PKP) JTK Peringkat Nasional iaitu instrumen penting bagi memastikan segala input diperoleh daripada pelbagai peringkat jawatankuasa dianalisis, diselaras dan dikemukakan cadangan penyelesaian.

Peluncuran JKTTN menuntut peranan Unit Integriti dan Governans berada di semua institusi perlu diperkasakan, khasnya dari sudut sumber manusia dan bidang kuasa.

Perlu gerakan bersepadu

Usaha pembanterasan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan culas kerja ini memerlukan gerakan bersepadu membabitkan dasar serta struktur organisasi jelas bersama penerapan nilai berterusan.

Arahan Perdana Menteri ini jelas membuktikan kerajaan hari ini tidak bersifat retorik apabila memperkatakan berkenaan melawan korupsi yang sistemik dan melaksanakan reformasi institusi.

Namun iltizam politik sahaja sudah pasti belum mampu menangani isu kelemahan tatakelola dan ketirisan tanpa kesedaran serta pembabitan menyeluruh lapisan masyarakat.

Maka dalam hal ini, kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada beberapa agensi yang sinonim dengan permasalahan penyalahgunaan kuasa dan ketirisan terutama bersangkutan dengan penguatkuasaan.

Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang lemah ditambah pula dengan masalah integriti penjawat awam serta pegawai penguatkuasa adalah barah perlu ditangani dengan serius.

Peraturan dan undang-undang tanpa penguatkuasaan yang cekap hanya akan menambah ketidakpercayaan rakyat terhadap kredibiliti agensi kerajaan. Penekanan terhadap peningkatan kompetensi kerja serta integriti kakitangan kerajaan mesti diutamakan dan dipupuk secara berterusan.

JKTTN perlu dilihat telus dan dan bersungguh dalam mencapai objektifnya. Jangan pula menjadi duplikasi terhadap sistem semak imbang sedia ada contohnya Laporan Audit Negara. Penubuhan jawatankuasa ini membabitkan penambahan kos, maka prosedur kerja tidak boleh sekadar kosmetik yang hanya cantik pada siri mesyuarat dan laporan sahaja.

Dalam situasi di mana negara berhadapan beban hutang amat tinggi ketika ini, masalah ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan penguatkuasaan lemah tidak lagi dapat dikompromi.

Dana dan hasil negara perlu diurus dengan penuh hemah dan bertanggungjawab. Tatakelola mulia dan bersih perlu menjadi budaya baharu rakyat demi memastikan masa depan negara lebih baik dan mapan.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan dan Kompetensi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X