Sabtu, 30 Disember 2023 | 11:17am
Sentiasa berwaspada ketika banjir dan mematuhi arahan pihak berwajib, terutama keperluan berpindah segera. - Foto hiasan NSTP
Sentiasa berwaspada ketika banjir dan mematuhi arahan pihak berwajib, terutama keperluan berpindah segera. - Foto hiasan NSTP

Utama kebersihan elak risiko penyakit bawaan air

BENCANA banjir akan menyebabkan sampah-sarap dan takungan najis keluar bersama limpahan air, sekali gus mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit mudah merebak baik ketika banjir atau selepas surut.

Penyakit berjangkit disebabkan virus dan bakteria biasa ditemukan dalam air bah, seterusnya berpindah ke tubuh manusia menerusi makanan dan minuman dicemari atau melalui luka terbuka individu.

Antaranya, jangkitan pernafasan akut, sakit mata, leptospirosis (kencing tikus), cirit-birit, disentri, Hepatitis A, taun dan demam kepialu serta denggi, selain keracunan makanan, jangkitan kulit dan demam campak.

Ini semua menjadi risiko bukan sahaja kepada mangsa, bahkan memberikan cabaran kepada agensi bertanggungjawab menguruskan mereka, apatah lagi dengan peningkatan kes COVID-19.

Kita perlu mengambil perhatian daripada apa berlaku sebelum ini misalnya sebanyak 461 kes COVID-19 membabitkan mangsa banjir direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Januari lalu.

Justeru, semua mangsa banjir perlu bekerjasama kepada pihak berkuasa terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di PPS iaitu, digalakkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal, mengelakkan berkumpul beramai-ramai dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun atau pembasmi kuman terutama di tempat guna sama seperti tandas.

Malah kerjasama itu perlu diberikan sebelum bencana lagi kerana beberapa negeri diramalkan mengalami beberapa gelombang banjir, sekali gus menjadikan orang ramai di kawasan berisiko tinggi perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berwajib, terutama keperluan berpindah segera.

Sekiranya terpaksa mengharung air banjir untuk ke tempat selamat, pastikan memakai pakaian sesuai seperti baju lengan panjang, seluar panjang, pelindung wajah dan kasut bertutup bagi mengurangkan risiko air banjir atau kotoran terkena kulit serta memasuki mata.

Rancang berpindah awal

Bagi golongan berisiko seperti wanita mengandung, warga tua dan pesakit kronik, perancangan teliti perlu dibuat untuk berpindah lebih awal supaya rawatan susulan tidak terputus. Bekalan ubat pula perlu dipastikan mencukupi dan sekiranya terputus atau rosak, ia perlu dimaklumkan kepada pasukan perubatan.

Apa yang penting, masyarakat perlu mengambil langkah penjagaan kesihatan kendiri termasuk mengelak atau melarang ahli keluarga bermain dengan air banjir terutama jika mempunyai luka atau masalah kulit yang berisiko dijangkiti kuman leptospirosis dan melioidosis.

Malah, banjir juga bukan alasan untuk tidak menjaga kebersihan persekitaran kerana pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit pembiakan vektor, selain memastikan sumber minuman dimasak dan makanan digunakan bersih.

Pada awal tahun ini, kejadian wabak keracunan makanan dilaporkan berlaku di PPS Sekolah Kebangsaan Pengkalan Besar Tangkak, Johor membabitkan empat daripada 63 mangsa banjir dan lima petugas yang dikesan berpunca kebersihan pesakit tidak terjaga dan makanan terbiar lama.

Komplikasi penyakit bawaan air dan makanan dalam kalangan kanak-kanak lima tahun ke bawah dan warga emas juga perlu diberi perhatian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan mereka berisiko tinggi kerana sistem imunisasi masih rendah hingga boleh membawa maut.

Apatah lagi amalan kebersihan diri, sanitasi rendah dan kesedaran penyakit terhad menjadikan kanak-kanak berisiko mendapat jangkitan penyakit itu. Warga emas terutama yang menghidapi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau buah pinggang juga berdepan risiko sama.

Justeru, golongan itu disaran mendapatkan suntikan vaksin untuk penyakit berjangkit seperti Hepatitis A dan B, Influenza dan Ensefalitis Jepun.

Secara umumnya, mangsa disyorkan menetap sementara di PPS kerana kemudahan lengkap terutama bekalan air, elektrik dan tandas disediakan termasuk pemantauan petugas kesihatan terutama keluarga mempunyai anak kecil dan ibu bapa berusia serta mengidap penyakit bagi mengelak terdedah kepada penularan dan wabak selepas banjir.

Penulis adalah Profesor Madya Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X