Khamis, 28 Disember 2023 | 1:31pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Kos punca penggunaan bas elektrik masih rendah

Di sebalik komitmen negara sifar karbon menjelang 2050, kita masih tiada penyelesaian tuntas menangani cabaran dalam pelbagai sektor termasuk pengangkutan awam yang beroperasi secara konvensional.

Bas umpamanya menjadi penyumbang terbesar pelepasan karbon kerana kebergantungan tinggi kepada petrol dan diesel berbanding bas elektrik, sekali gus menyukarkan usaha ke arah kemudahan mobiliti hijau.

Pelepasan karbon dioksida daripada sektor pengangkutan mewakili 28.8 peratus daripada jumlah pembakaran bahan api fosil di negara ini, melebihi purata global (24.5 peratus).

Audit 2022 turut menunjukkan penggunaan kenderaan cekap tenaga bagi pengangkutan awam darat masih rendah, hanya 66 bas elektrik (EV) berbanding kebanyakan negara maju.

Di Eropah misalnya, dianggarkan lebih 8,500 bas elektrik, manakala 340 bas elektrik didaftarkan hampir setiap hari di China berdasarkan laman web sustainable-bus.com.

Mengapakah Malaysia masih terkebelakang sedangkan komitmen sudah banyak kali diwarwarkan?

Pakar industri pengangkutan berpendapat beberapa faktor menjadi penghalang antaranya pasaran EV agak kompetitif dan ketidakseimbangan ekosistem kerana harga bas EV tinggi hingga sukar pengusaha beralih kepada bas jimat elektrik dan mesra alam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengakui kos pembelian sekali ganda berbanding bas konvensional antara kekangan kerajaan.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali, harga sebuah bas EV buatan Eropah boleh mencecah RM2.5 juta, manakala daripada China pula sekitar RM1.8 juta.

Walaupun peruntukan pembelian bas elektrik disebut dalam Belanjawan 2024, ia hanya diberikan kepada syarikat bernaung di bawah Kementerian Pengangkutan seperti Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA).

Justeru, PMBOA memohon peruntukan khas diberikan kepada syarikat dan operator bas persiaran, henti-henti serta ekspres termasuk insentif pembelian atau penggantian kenderaan elektrik dan alat ganti.

"Harga bas EV keluaran Eropah sebelum pandemik sekitar RM900,000 dan RM750,000 (China) tetapi kini, ia meningkat sekali ganda," katanya.

Turut dibangkitkan ialah jumlah fasiliti pengecasan awam EV masih lagi kurang atau tiada khususnya di luar Lembah Klang.

Berdasarkan aplikasi PlugShare, stesen pengecas EV tertumpu di sekitar Lembah Klang dengan jumlah melebihi 70 stesen sementara di bahagian tengah Semenanjung sangat sedikit manakala di Pantai Timur, lebih tertumpu di sepanjang pesisiran pantai. Sarawak ada sekitar 35 stesen berbanding Sabah hanya tiga stesen pengecasan.

"Saya ambil contoh 'trip' dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, bas EV hanya mampu menempuh 400 kilometer sebelum perlu dicaj semula tetapi sukar sekiranya tiada stesen pengecasan.

"Keadaan tambah parah sekiranya kesesakan trafik yang boleh menghabiskan tenaga elektrik dengan pantas," katanya.

Berkaitan infrastruktur pengecasan, kerajaan melalui Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 menetapkan sasaran 10,000 stesen pengecas awam menjelang 2025 dan komitmen pihak berkaitan amat perlu bagi merealisasikannya.

Namun, Pensyarah Kanan Kejuruteraan Pengangkutan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim, berkata usaha itu perlu selari dengan lokasi strategik, pembekal perkhidmatan dan caj penggunaan berpatutan.

Penyediaan stesen pengecas di sepanjang lebuh raya dan pinggir bandar perlu diberi penekanan untuk jangka panjang berikutan penggunaan kenderaan EV di lokasi berkenaan akan lebih meluas.

Sekiranya ia dapat dilaksanakan, tidak mustahil kerajaan mampu merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) menyasarkan 20 peratus permit pengangkutan awam beralih kepada kenderaan elektrik menjelang 2030.

Beliau berkata, kajian sebelum ini menunjukkan EV berpotensi mengurangkan pelepasan CO2 antara 30 hingga 50 peratus melalui penggunaan kenderaan EV dan peningkatan kecekapan bahan api (40 hingga 60 peratus) berbanding kenderaan konvensional.

Kerajaan disarankan mempertimbangkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) EV dan bekerjasama dengan pengeluar automotif tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar luar negara.

Menurut Ashfar, aspek pembaikan dan penyelenggaraan perlu diambil kira kerana tidak ramai mempunyai kemahiran membaiki kenderaan EV, sekali gus menjadikan kos upah agak tinggi. - BERNAMA

Berita Harian X