Selasa, 26 Disember 2023 | 3:44pm
Kewujudan industri halal dalam pasaran dan perniagaan bukan sahaja dianggap memenuhi tuntutan agama, bahkan ia antara segmen penting dalam sumbangan terhadap ekonomi negara. - Foto hiasan
Kewujudan industri halal dalam pasaran dan perniagaan bukan sahaja dianggap memenuhi tuntutan agama, bahkan ia antara segmen penting dalam sumbangan terhadap ekonomi negara. - Foto hiasan

Pematuhan halal tanggungjawab sosial aktiviti perniagaan

KEWUJUDAN industri halal dalam pasaran dan perniagaan bukan sahaja dianggap memenuhi tuntutan agama, bahkan ia antara segmen penting dalam sumbangan terhadap ekonomi negara.

Hari ini, industri halal boleh dianggap satu keperluan dalam pasaran berdasarkan petunjuk terhadap sambutan tinggi pelanggan di dalam dan luar negara, di samping peningkatan permintaan dan kuasa membeli terhadap produk serta perkhidmatan halal.

Maka, tidak hairan Malaysia dianggap sebagai peneraju hab halal antarabangsa dan menjadi sumber rujukan penting luar negara, lebih-lebih lagi dalam aspek produk makanan dan persijilan halal.

Tanpa sijil halal, sudah tentu produk dijual di pasaran akan menimbulkan keraguan pelanggan, terutama orang Islam untuk membelinya. Ini kerana permohonan sijil halal memerlukan komitmen tinggi syarikat menjaga aspek kebersihan, keselamatan dalam proses penghasilan dan penyediaan sesuatu produk.

Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi kian mencabar dan kenaikan kos bahan mentah, pelanggan sentiasa terdedah dengan pelbagai cabaran untuk membeli produk halal kerana proses pengeluaran produk syarikat di luar jangkaan dan pengetahuan pelanggan.

Justeru, bagi syarikat pengeluar produk makanan yang lebih mementingkan keuntungan dan berasakan pematuhan terhadap peraturan dan prosedur halal adalah rumit, tidak mustahil mereka akan mengambil kesempatan mengabaikan aspek halal bagi menghasilkan produk makanan. Ini boleh menimbulkan kesangsian pelanggan yang tegas dalam aspek halal.

Perlu diakui, landskap persekitaran perniagaan negara ini dipelopori peniaga bukan Islam berbanding peniaga Islam, terutama dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Walaupun tiada halangan kaum bukan Melayu menceburi perniagaan dalam pengeluaran produk makanan halal, kefahaman dalam ilmu serta konsep halal dalam penghasilan dan penyediaan produk makanan amat penting bagi syarikat itu memenuhi prinsip halal.

Fahami objektif perniagaan

Oleh itu, syarikat pengeluar produk makanan halal harus berpandangan perniagaan mereka bukan sekadar untuk menjana keuntungan semata-mata, tetapi sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, terutama orang Islam.

Syarikat juga perlu memahami objektif perniagaan dalam industri makanan halal bukan sekadar bersifat retorik semata-mata dalam mendapatkan persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mungkin ada yang berpendapat tanggungjawab sosial ini lebih menjurus kepada amalan sesebuah syarikat bersifat prihatin dan beretika terhadap masyarakat memerlukan seperti golongan miskin, anak yatim, rumah orang tua, penjagaan persekitaran, pemeliharaan sumber tenaga asli dan sebagainya melalui sokongan moral serta kewangan.

Amalan tanggungjawab sosial korporat ini banyak diamalkan syarikat korporat mempunyai modal besar dan faktor kewangan kukuh, berbanding PKS mempunyai modal kecil dan sumber kewangan terhad.

Oleh itu, amalan tanggungjawab sosial ini jarang diamalkan PKS berbanding syarikat korporat atas faktor kewangan dan saiz syarikat.

Dalam konteks halal, amalan pematuhan prinsip halal dalam penghasilan produk makanan berstatus halal perlu memenuhi skop amalan tanggungjawab sosial melalui operasi perniagaan yang selari prinsip halal.

Dengan ini, syarikat akan lebih peka terhadap isu berkaitan halal, kebersihan dan keselamatan sesuatu produk makanan serta mematuhi segala prosedur dan standard halal bagi menjamin integriti halal dalam pengeluaran produk makanan, selari pematuhan Akta Perdagangan Deskripsi 2011.

Seterusnya ia juga dapat membantu syarikat mengekalkan status persijilan halal mereka dan meningkatkan pencapaian syarikat melalui kepercayaan pelanggan terhadap produk keluaran mereka. Pada masa sama, pelanggan Muslim tidak boleh mengambil mudah prinsip halal dalam urusan pembelian setiap hari.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang

Berita Harian X