Isnin, 25 Disember 2023 | 10:09am

AI sektor kesihatan bawa cabaran besar

DALAM era penuh inovasi ini, revolusi perubatan semakin berkembang pesat dengan kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI). Ternyata, AI semakin mengubah landskap kehidupan dan cara kerja manusia.

Antara pengaruh besar AI ketika ini dan akan datang adalah dalam bidang perubatan membawa pelbagai kelebihan dan potensi besar untuk meningkatkan prestasi dan kualiti penjagaan kesihatan.

Penerapan AI dalam perubatan bukan sahaja membuka pintu kepada diagnosis lebih tepat, tetapi membentuk semula cara pengurusan penyakit, peramalan penyakit dan penghasilan ubat.

Kemampuan AI untuk menganalisis data dengan pantas dan memberikan pandangan mendalam menyaksikan bidang pengimejan perubatan, pengesanan penyakit dan pengelolaan data kesihatan pesakit semakin mudah.

Pengenalan teknologi ini membawa bersama potensi untuk memberikan rawatan lebih personal, efisien dan tepat sasaran kepada individu. Namun, seiring kemajuan ini, timbul cabaran etika dan keperibadian perlu diatasi untuk memastikan penggunaan AI dalam perubatan adalah selamat dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Pengenalan revolusi perubatan dalam AI mencerminkan peralihan menuju masa depan perubatan lebih canggih, adaptif dan memfokuskan kebajikan pesakit. Beberapa syarikat teknologi terkemuka mengambil langkah proaktif dalam pengembangan model asas untuk pengimejan perubatan membabitkan pelbagai jenis imej seperti gambar kulit, imbasan retina, X-ray dan slaid patologi.

Penyelidik negara digalak adaptasi teknologi

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan penyelidik Malaysia mengadaptasikan teknologi AI dalam bidang perubatan, terutama pengimejan perubatan memerlukan ketepatan tinggi.

Teknologi AI mampu memberikan maklumat diagnostik penting membolehkan pengesanan awal penyakit, panduan prosedur perubatan dan pemantauan perubatan tepat.

Kemajuan teknologi AI dalam perubatan ini dijangka mencipta peluang ekonomi di Malaysia dengan meningkatkan produktiviti dan merendahkan kos dalam bidang perubatan, membuka peluang untuk lebih banyak masyarakat mendapat manfaat.

Keupayaan AI untuk menganalisis data secara cepat dan efisien, adalah suatu tugas memerlukan usaha manusia yang besar, menjadikannya alat berharga untuk pelbagai sektor.

Dalam konteks revolusi perubatan AI, penyelidik Malaysia didorong untuk meningkatkan kajian dalam pengimejan perubatan dan aplikasi AI, dengan potensi untuk menyumbang kepada sektor perubatan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Teknologi AI bukan sahaja membawa peluang besar untuk peningkatan diagnostik, pengurusan penyakit dan pembangunan ubat, tetapi juga memerlukan pengurusan teliti terhadap cabaran etika penggunaannya.

Inisiatif seperti REMEDIS dan teknologi AI pertama untuk mengesan kanser paru-paru menunjukkan peranan Malaysia dalam inovasi perubatan global.

Ketika galakan ditingkatkan kepada penyelidik membangun teknologi AI dalam bidang kesihatan, teknologi kesihatan digital menunjukkan keperluannya dalam dalam era kerja jarak jauh. Penerapan AI dalam perubatan di Malaysia memberi potensi ekonomi signifikan, sejajar dengan usaha pemerintah dalam mencapai matlamat Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0).

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah

Berita Harian X