Isnin, 25 Disember 2023 | 9:56am

Kekalutan politik negara 2023 digilap semula Kerajaan Perpaduan

RAMAI meramalkan politik tanah air akan reda selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu selepas Parlimen penggal ke-14 menyaksikan pertukaran tiga pentadbiran kerajaan dengan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal.

Namun, drama politik tidak berakhir selepas PRU15, apabila Parlimen tergantung susulan tiada parti mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan. Tidak mengambil masa lama, selepas empat hari Parlimen tergantung, maka terbentuk Kerajaan Perpaduan susulan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan 148 ahli Parlimen.

Anwar menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 dan pembentukan Kabinet diumumkan pada 2 Disember 2022.

Sambutan Tahun Baharu 2023 menyaksikan Anwar memberikan amanat Tahun Baharu dengan penegasan mengenai keazaman dan tekad Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah, meningkatkan integriti dan tatakelola kerajaan.

Pada 18 Januari, Anwar mengumumkan gagasan 'Membangun Malaysia MADANI', dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara. Sebelum itu, pada 14 Januari 2023, UMNO parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan dalam Perhimpunan Agung, membuat ketetapan menyokong kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ketetapan itu penyataan rasmi UMNO selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan, sekali gus bergandingan dengan DAP, seteru politik parti itu sejak sekian lama.

Tahun 2023 disifatkan sebagai tahun 'pembersihan' UMNO apabila beberapa nama besar parti seperti bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti.

Turut menerima nasib sama adalah lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang.

Turut dikenakan tindakan disiplin digantung keahlian enam tahun ialah, Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Memasuki Mac, drama politik UMNO bersambung apabila pemilihan UMNO pada 18 Mac menyaksikan tiga kerusi Naib Presiden diisi dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani selain penyandangnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tahun ini juga menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan di enam negeri pada 12 Ogos lalu, menyaksikan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mendominasi kuasa di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, manakala Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain PRN, turut mencuri tumpuan, enam Pilihan Raya Kecil (PRK) dilangsungkan dalam tempoh 12 bulan selepas PRU15, termasuk dua kerusi Parlimen selepas dibatalkan kemenangannya oleh Mahkamah Pilihan Raya, masing-masing Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman dimenangi PAS-PN.

Empat lagi PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya iaitu PRK Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, DUN Pelangai dan DUN Jepak.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor diadakan susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Kedua-dua kerusi itu kekal milik PH selepas PRK serentak pada 9 September lalu.

Calon AMANAH, Suhaizan Kayat mempertahankan Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram. PRK DUN Pelangai diadakan 7 Oktober lalu susulan kematian Datuk Johari Harun dalam nahas kapal terbang di Bandar Elmina, Shah Alam dan BN mengekalkan penguasaan di kawasan itu menerusi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam.

Sokong Anwar sebagai PM

Politik negara turut digegarkan dengan keputusan lima Ahli Parlimen pembangkang daripada BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. Mereka ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. Anehnya mereka masih kekal sebagai ahli BERSATU.

Nama bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mewarnai politik tanah air dengan pengumuman peletakan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), kemudian mengumumkan menyokong PN dan dilantik sebagai ahli penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir PN iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis.

Seorang lagi pemimpin mendapat perhatian dalam arena politik tanah air ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.

Pemilihan PAS pada Oktober lalu menyaksikan lima jawatan kepemimpinan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden dan tiga Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandang pada pemilihan parti akan datang, namun ditolak perhimpunan itu. Muhyiddin dikatakan berbuat demikian kerana faktor kesihatan dan spekulasi menyatakan tindakan itu sebagai memberi laluan kepada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) pada November lalu, kira-kira dua bulan selepas bekas wakil rakyat di DUN Perai itu keluar parti dan meletakkan semua jawatan dalam DAP.

Secara keseluruhannya, politik tanah air sepanjang 2023 masih berkocak kesan pasca PRU15, tetapi kewibawaan Anwar memimpin Kerajaan Perpaduan menonjolkan kesan positif kepada kestabilan politik negara. Rombakan Kabinet pada 11 Disember lalu antara reformasi terbaru Anwar selepas setahun menerajui kepemimpinan negara.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

Berita Harian X