Ahad, 24 Disember 2023 | 8:38am
Tetamu tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama keluarga di lobi sebuah hotel yang dihiasi dekorasi bertemakan perayaan Krismas. - Foto BERNAMA
Tetamu tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama keluarga di lobi sebuah hotel yang dihiasi dekorasi bertemakan perayaan Krismas. - Foto BERNAMA

Patuhi fatwa MKI ucap selamat, rai perayaan agama bukan Islam

SABAN tahun, persoalan berlegar dalam kalangan orang Islam pasti muncul, iaitu apakah hukum mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada saudara dan sahabat bukan Muslim. Penjelasan berhubung hukumnya sudah diterangkan agamawan, ahli akademik dan agensi Islam setiap tahun.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 mengeluarkan ketetapan iaitu: "Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat telekomunikasi kepada orang bukan Islam sempena perayaan agama mereka adalah harus dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan itu".

Keputusan Muzakarah ini selaras dengan fatwa Dar al-Ifta' al-Misriyyah, Mesir iaitu harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam merayakan perayaan mereka dengan lafaz tidak bertentangan akidah Islam.

Majlis Fatwa Eropah juga mengharuskan ucapan itu, sesuai dengan Fiqh al-Aqalliyyat bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim di negara bukan Islam.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 13 bermaksud: "Wahai manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa supaya kamu berkenal-kenalan".

Ayat ini memperluaskan aplikasi fiqh hidup bersama dalam aman dan damai (Fiqh al-Ta'ayush). Pendekatan ini mengambil kira kepelbagaian etnik dan agama melihat kepada kehidupan masyarakat minoriti bukan Islam di negara majoriti Islam seperti Malaysia. Ia sangat relevan bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan.

Dalam demografi masyarakat terdiri daripada 70 peratus Muslim dan 30 peratus bukan Islam, hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni menjadi satu keperluan, bukan pilihan. Perkara 3(1) Perlembagaan juga menjamin Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Sebagai negara berbilang kaum, etnik dan agama, sudah semestinya sambutan perayaan keagamaan semua pihak adalah lumrah. Ucapan Selamat Hari Natal, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan sebagainya oleh masyarakat Islam kepada rakan bukan Muslim sudah menjadi kebiasaan, begitu juga ucapan Selamat Hari Raya dan Selamat Berpuasa daripada rakan bukan Muslim kepada masyarakat Islam.

Bagaimanapun, apabila membabitkan upacara atau perayaan keagamaan, polemik sama ada boleh atau tidak mengucapkannya senantiasa timbul, tidak seperti sambutan dan ucapan Tahun Baharu Cina yang tiada isu keagamaan.

Oleh demikian, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengemukakan Garis Panduan Umum bagi orang Islam ingin mengucapkan atau menyertai rakan bukan Islam ketika sambutan perayaan keagamaan mereka, iaitu harus mengucapkannya apabila terdapat keperluan berbuat demikian dengan tujuan demi mengekalkan hubungan baik dan mengelakkan ketegangan sosial dalam masyarakat majmuk.

Ucapan itu juga bukan bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain, manakala penyertaan orang Islam pada majlis sambutan Krismas hanya pada kadar diperlukan seperti bergambar atau jamuan, tetapi tidak memakai pakaian khas sering digayakan penganut Kristian.

Berkenaan tempat sambutan pula, dibolehkan hadir ke majlis orang bukan Muslim di luar rumah ibadat seperti rumah, pejabat, padang, dewan orang ramai untuk tujuan jamuan makan dihidangkan makanan halal.

Semangat Malaysia MADANI

Mengambil semangat Malaysia MADANI berteraskan enam rukun, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, pendekatan konsep Fiqh al-Ta'ayush merujuk kepada pengertian hidup bersama dengan orang lain dalam keadaan harmoni di samping dapat menerima kewujudan satu sama lain tanpa mengira latar belakang etnik dan agama.

Ia dilihat dapat sintesis dan menggabungjalinkan hubungan persaudaraan sesama kita meskipun berbeza warna kulit, bangsa, jalur politik dan agama. Ucapan seorang Islam kepada bukan Muslim pastinya dapat menyuburkan sifat toleransi dan kasih sayang antara satu sama lain.

Mengambil pendapat Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengharuskan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurutnya, Nabi Muhammad SAW senantiasa bersikap baik dan bersifat mulia terhadap orang bukan Islam.

Ini amat bertepatan dengan Surah al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang tidak memerangi kamu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu...".

Dalam konteks di Malaysia, keharmonian dan kedamaian wujud perlu senantiasa dipelihara dan dijaga supaya perbezaan dimiliki dapat diraikan demi kemakmuran bersama.

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X