Ahad, 17 Disember 2023 | 9:19am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kita pempengaruh sebenar jadikan masyarakat lebih baik

Membesar secara sederhana di pekan kecil Port Dickson pada lewat 1970-an dan awal 1980-an, antara hiburan menjadi sajian mengisi masa lapang ialah mendengar lagu menerusi kaset dan membaca komik, tempatan mahu pun antarabangsa sebagai cara didikan menguasai bahasa Inggeris.

Antara kaset kegemaran sekeluarga ialah siri Allahyarham Datuk Jamali Shadat, ventrilokis terkenal dengan karakter 'Atok dan Atan', selain beberapa watak mewakili kaum Cina, India dan masyarakat Jawa.

Di sebalik jenaka pelbagai watak itu, terselit mesej harmoni disampaikan Jamali mudah diterima tanpa prasangka kerana sketsa dikongsi menggambarkan persekitaran sebenar. Beliau mengajak dan mengajar kita mentertawakan diri sendiri.

Turut mengisi kedewasaan ialah kartun Seniman Diraja Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, disiar akhbar Berita Minggu dan New Straits Times. Pada era Jamali dan Lat, istilah 'pempengaruh' belum kedengaran, namun hakikatnya mereka adalah antara 'influencer' merentas batas kaum dan agama masyarakat.

Perbezaan warna kulit, bahasa, kaum atau agama diterima sebagai kepelbagaian, bukan tantangan. Penulis dapati adalah lebih mudah dan menyenangkan andainya kita menerima tanpa terlalu banyak berkira.

Peredaran zaman membawa bersama pelbagai perubahan, tetapi nilai murni seperti budi bahasa, amalan saling menghormati dan meraikan perbezaan tidak lapuk daripada kehidupan.

Ketika dunia 'menutup pintu' saat pandemik COVID-19 memuncak, kita mengenali lebih dekat kuasa pempengaruh aliran terkini menggunakan sepenuhnya pelantar media sosial untuk bertapak lebih kukuh.

Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairulaming, mencipta fenomena tersendiri dengan video masakannya disenangi segenap peringkat usia tanpa mengira agama, kaum atau kedudukan, terutama sepanjang Ramadan.

Pada usia 31 tahun, pencipta kandungan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) daripada Vanderbilt University, Amerika Syarikat itu mampu bergelar jutawan hasil jualan produk sambal keluarannya.

Kejayaan tidak mengubah personaliti Khairulaming yang kekal merendah diri dan terus menampilkan pelbagai sisi positif, termasuk mengingatkan pelajar menamatkan persekolahan dan melengkapi diri dengan ilmu secukupnya sebelum meneruskan minat sebagai pencipta kandungan.

Sama juga aura positif dibawa Muhammad Alif Mohd Satar atau Alif Satar. Penyanyi, pelakon dan pengacara itu kerap dikata mempunyai pakej lengkap bersama keseimbangan untuk menjadi pempengaruh wajar diteladani.

Pada usia 33 tahun, Alif menampilkan kehidupan biasa orang berkeluarga – anak menghormati ibu bapa, suami mementingkan masa bersama isteri dan anak-anak, rakan artis sentiasa memberi sokongan dan teman gemar bersukan.

Dalam satu muat naik di Instagram kira-kira tiga minggu lalu, Alif berkongsi cerita mengenai seorang ustaz antara lain menyebut kepentingan menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid sebagai permulaan kekuatan umat Islam, lebih-lebih lagi dengan apa yang menimpa rakyat Palestin.

Alif turut meletak tanda pagar #gengSubuhmacamJumaat, mengajak umat Islam terutama pengikutnya di media sosial supaya beramai-ramai memulakan hari dengan bersolat Subuh di masjid.

Ajakan jadi ikutan

Apa yang bermula sebagai pesanan biasa nyata menghasilkan kesan luar biasa. Ajakan Alif menjadi ikutan apabila saf Subuh di masjid seluruh negara mulai berlapis, tanda ramai melawan rasa mengantuk untuk bangun dan bersolat Subuh jemaah di masjid.

Mereka turut berkongsi gambar menggunakan tanda pagar sama, malah ramai yang bersedekah juadah sarapan hingga ada yang menikmati kambing golek usai berjemaah. Saat ini, Alif membawa keluarganya bercuti di Korea Selatan dan beliau tetap ke masjid menunaikan solat Subuh, membawa bersama istiqamah selain dapat meluangkan masa bersama rakyat Malaysia di sana.

Sekadar menjadi beberapa contoh, Jamali, Lat, Khairulaming dan Alif tampil mewarnai kehidupan kita dalam era berbeza, namun kehadiran mereka membawa kesan positif hampir sama.

Mereka menggunakan nama dan reputasi yang ada untuk berkongsi kebaikan tanpa bersikap keterlaluan. Apa yang dipapar bukan harta atau kedudukan, sebaliknya nilai biasa kehidupan harian yang ada kalanya terlepas daripada genggaman.

Keperibadian anak muda seperti Khairulaming dan Alif mengalirkan nilai positif membentuk jati diri dalam kalangan pengikut di media sosial. Mereka tidak menghukum, tetapi membimbing semampu daya. Mereka tidak mencemuh, sebaliknya menaikkan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Ramai lagi pempengaruh di luar sana memiliki nilai murni seperti Khairulaming dan Alif. Benar, kita tidak perlu bergantung kepada pempengaruh untuk menentukan haluan hidup masing-masing, namun kita boleh menyerap kebaikan dikongsi supaya perjalanan akan datang terasa lebih menyamankan.

Melangkah ke tahun baharu, tidak salah menanam hasrat menjadi pempengaruh bagi skala lebih kecil – dalam keluarga, bersama rakan atau mungkin sekadar meyakinkan diri sendiri untuk berusaha ke arah menjadi versi lebih baik berbanding sebelumnya.

Pada akhirnya, kita berhak menentukan pengaruh mana wajar diikut dan mana perlu ditepis. Bukan semuanya buruk di media sosial jika kita bijak memilih. Mungkin kita juga perlukan tanda pagar #jadilebihbaik untuk terus melangkah.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X