Isnin, 4 Disember 2023 | 11:04am
Penambahan undi diperoleh PAS menunjukkan pengundi Kemaman bukan sekadar melihat calon, tetapi lebih ke arah menyokong parti kerana undi diraih Dr Sam turut menunjukkan pengundi atas pagar memihak kepadanya. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penambahan undi diperoleh PAS menunjukkan pengundi Kemaman bukan sekadar melihat calon, tetapi lebih ke arah menyokong parti kerana undi diraih Dr Sam turut menunjukkan pengundi atas pagar memihak kepadanya. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Keputusan PRK Kemaman isyarat penolakan rakyat terhadap BN

TEKA-TEKI siapa menjadi pilihan hati pengundi di Parlimen Kemaman terjawab apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi mandat untuk membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.

Ahmad Samsuri atau digelar 'Dr Sam' menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dengan memperoleh 64,998 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi dengan majoriti 37,720 undi.

Ahmad Samsuri bukan sekadar mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15 (sebelum kemenangan dibatalkan), tetapi meraih majoriti lebih 30,000 undi.

Jika pada PRU15, Che Alias Hamid memperoleh majoriti 27,179 undi, namun Ahmad Samsuri menarik undi majoriti lebih besar sehingga 37,220 undi.

Pertama kali bertanding pada peringkat Parlimen, ia dilihat penganalisis sebagai satu pencapaian membanggakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, di samping menunjukkan 'gelombang hijau' semakin mencengkam di Terengganu.

Keputusan PRK Parlimen Kemaman kelmarin menimbulkan persoalan apakah faktor yang menjadi pendorong pengundi terus memberi sokongan kepada PAS atau Perikatan Nasional (PN).

Penambahan undi diperoleh PAS menunjukkan pengundi Terengganu bukan sekadar melihat calon, tetapi lebih ke arah menyokong parti diwakili kerana undi diraih turut menunjukkan pengundi atas pagar memihak kepadanya. Bahkan, tidak mustahil, undi diterima Dr Sam mungkin datang daripada penyokong BN atau UMNO.

Apatah lagi, Ahmad Samsuri turut dicanang pimpinan tertinggi PAS yang beliau adalah figura layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Namun berdasarkan keputusan PRK ini, faktor penting kemenangan Ahmad Samsuri adalah pengaruh dan kedudukannya sebagai Menteri Besar memasuki penggal kedua di samping, yang mana pentadbirannya disenangi rakyat Terengganu. Dr Sam di bawah panji PAS memiliki aura tersendiri untuk meraih sokongan pengundi Kemaman.

Teka-teki siapa menjadi pilihan hati pengundi di Parlimen Kemaman terjawab apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi mandat untuk membawa suara mereka ke Dewan Rakyat. - NSTP/Rohanis Shukri
Teka-teki siapa menjadi pilihan hati pengundi di Parlimen Kemaman terjawab apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi mandat untuk membawa suara mereka ke Dewan Rakyat. - NSTP/Rohanis Shukri

Menyentuh mengenai kekalahan BN, parti itu bukan sahaja gagal merampas kerusi Parlimen Kemaman yang pernah menjadi kubu mereka sebelum ini, bahkan hilang 10,757 undi berbanding 38,535 undi diterima Datuk Seri Dr Ahmad Said pada PRU15 lalu.

Percaturan BN meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai calon masih belum dapat 'meruntuhkan' benteng pertahanan PAS. Raja Mohamed Affandi tidak wajar dipersalahkan berikutan kemerosotan undi diperoleh BN.

Bagaimanapun, keputusan PRK Parlimen Kemaman juga menjadi satu petunjuk atau isyarat adakah ia tanda penolakan rakyat di kawasan majoriti pengundi Melayu terhadap BN/UMNO walaupun bukan secara total.

Jika benar seperti didakwa, maka tidak kira siapa sahaja menjadi calon, individu terbabit akan menjadi mangsa dan 'dihukum' pengundi seperti berlaku di Kemaman.

Walaupun dimomokkan kemenangan Raja Mohamed Affandi akan menjadikan kawasan Parlimen Kemaman sebagai 'anak emas' kerajaan Pusat, nampaknya ia masih tidak dapat 'mencairkan' hati pengundi.

Malah, jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memberikan Raja Mohamed Affandi tugas khas selaku penghubung antara Terengganu dan kerajaan Pusat jika memenangi PRK berkenaan, masih tidak mampu menarik hati pengundi Kemaman untuk menyokong BN/UMNO.

Isu sabotaj tidak boleh diabaikan UMNO/BN

Kekurangan undi diterima BN pada PRK kali ini mungkin memberi isyarat hanya ahli dan penyokong parti akar umbi itu sahaja mengundi calon mereka, tetapi pengundi atas pagar atau muda memihak kepada PAS. Namun, isu sabotaj dari dalam UMNO/BN juga tidak boleh diabaikan begitu sahaja oleh parti.

Hakikat pahit perlu ditelan Pakatan Harapan (PH) dan BN adalah gabungan parti terbabit masih tidak dapat membeli jiwa pengundi terutama pengundi atas pagar atau tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti berbanding PAS yang menunjukkan peningkatan undi kali ini.

Keputusan PRK Parlimen Kemaman sepatutnya menjadi wake-up call kepada BN dan PH betapa merosotnya sokongan pengundi terhadap blok parti Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO.

Berdasarkan trend sokongan pengundi pasca PRU14, Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu sehingga ke PRK kelmarin, BN perlu berbuat sesuatu yang luar biasa jika mahu merampas kembali Kemaman bahkan Terengganu pada PRU akan datang.

Semua pimpinan UMNO pada semua peringkat di Terengganu perlu mencari ramuan terbaik bagaimana hendak memastikan parti mereka terus relevan untuk mendapat sokongan pengundi seperti sebelum PRU14.

UMNO/BN perlu melakukan post mortem dengan segera bagi menilai kekalahan mereka berturut-turut, adakah disebabkan peralihan sokongan pengundi, apakah faktor penolakan terhadap parti sama ada peningkatan kecenderungan pengundi terhadap PAS sebagai alternatif mewakili kepentingan Melayu Islam di negara ini atau sebab lain.

Ini bukan masanya untuk UMNO/BN dan PH saling menuding jari mencari kesalahan tetapi untuk parti BN bangkit kembali serta memperkukuhkan kerjasama dengan PH jika benar-benar ikhlas bekerjasama dalam satu gabungan.

Mereka perlu membuktikan gabungan BN dan PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan boleh menjadi tempat bergantung harap untuk membela nasib rakyat terutama Melayu jika mahu pengundi memilih mereka pada PRU akan datang.

Penulis adalah wartawan BH

Berita Harian X