Isnin, 4 Disember 2023 | 10:02am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pindaan AUKU peluang mahasiswa sumbang pembangunan universiti

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, pendidikan tinggi di Malaysia mengalami perubahan signifikan dengan tumpuan diberikan kepada agenda pemerkasaan mahasiswa. Menerusi perubahan ini, suara pemimpin pelajar semakin diberikan tempat dan peluang sebagai usaha menjadikan mereka pemimpin matang.

Bagi mencapai aspirasi itu, kerajaan bercadang meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), bagi membawa perubahan signifikan dalam struktur pengurusan institusi pendidikan tinggi menerusi kebersamaan pelajar dengan pengurusan universiti.

Satu daripada perubahan terpenting diperkenalkan melalui pindaan AUKU adalah hak kebebasan untuk mahasiswa berucap dan berkumpul. Kebebasan berucap adalah aspek utama dalam masyarakat demokratik menghormati hak asasi manusia.

Namun, mahasiswa terutama pemimpin pelajar harus memanfaatkannya secara bertanggungjawab tanpa pengabaian hak dan kebebasan orang lain. Pada masa sama, perlindungan terhadap hak asasi manusia harus diintegrasikan dengan kebudayaan dan norma setempat.

Pindaan baharu AUKU turut membawa perubahan signifikan dengan memberi ruang lebih besar bagi mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan penting bersama jawatankuasa universiti. Nanti, mahasiswa tidak hanya menjadi pengguna perkhidmatan pendidikan, tetapi dapat mengukuhkan nilai demokrasi membuat keputusan.

Secara tidak langsung, penyertaan dalam pengurusan membolehkan mahasiswa menyumbang kepada pembangunan strategik universiti. Ini termasuk penyediaan visi, misi dan matlamat jangka panjang institusi, memastikan pencapaian kecemerlangan akademik dan keberkesanan operasi sesebuah institusi pendidikan.

Galak inovasi pembelajaran universiti

Justeru, pembabitan mahasiswa dalam pengurusan akan membuka peluang untuk mencipta dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran, penyelidikan dan pengurusan universiti, penambahbaikan kurikulum, kaedah pengajaran dan penilaian pencapaian pelajar.

Membabitkan pelbagai pihak dalam proses membuat keputusan membantu dalam keberkesanan dan kelestarian universiti, serta memastikan pengalaman pembelajaran berkualiti.

Pembangunan sahsiah pelajar adalah aspek penting dalam pendidikan yang bukan sahaja membentuk kecerdasan akademik, tetapi juga melahirkan individu beretika, bertanggungjawab dan berdaya saing.

Hal ini selari dengan Strategi 4P Menjayakan Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi digariskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin iaitu penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu dan pengantarabangsaan.

Pendidikan bukan sahaja menyentuh aspek penguasaan ilmu akademik, tetapi pembentukan nilai moral dan etika, integriti, kejujuran, tanggungjawab serta hormat terhadap orang lain.

Pembangunan karektor pelajar juga boleh merangsang kreativiti dan inovasi. Pelajar yang diberi ruang untuk berfikir secara kreatif dan mencipta sesuatu yang baharu cenderung mempunyai keinginan untuk terus belajar serta mencapai tahap pencapaian tinggi.

Mereka juga cenderung lebih bersedia mengambil risiko, mempunyai inisiatif dan semangat untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya serta kehidupan.

Dengan memfokuskan kepada pembentukan nilai dan sifat positif, sistem pendidikan mampu melahirkan generasi pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai perwatakan mantap untuk menghadapi dunia semakin kompleks.

Ini seterusnya dapat menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan, meningkatkan peratusan pelajar mampu memperoleh pekerjaan dengan gaji setimpal dengan bidang dipelajari.

Dalam perjalanan kehidupan universiti, mahasiswa tidak hanya menjadi penerima ilmu, tetapi juga pelaku perubahan yang dinamik. Hala tuju mahasiswa memainkan peranan utama dalam membentuk landskap pendidikan dan masyarakat.

Justeru, menerusi pindaan AUKU, hala tuju mahasiswa bukan hanya berkisar kepada bidang akademik semata-mata. Cabaran sosial, sifat bertanggungjawab dan kepekaan terhadap isu global adalah dimensi mampu membentuk perspektif lebih holistik seterusnya menjadi agen perubahan proaktif dalam masyarakat.

Di hujung setiap perjalanan, mahasiswa akan menyedari bahawa kejayaan sejati bukan hanya diperoleh daripada pencapaian akademik sahaja, tetapi juga daripada pencapaian diri yang menyeluruh dan kesan positif ditinggalkan dalam komuniti.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Berita Harian X