Ahad, 3 Disember 2023 | 9:39am
Foto hiasan
Foto hiasan

Hindari sikap 'batu api' dalam kemelut poligami

Kisah poligami diakui sering menimbulkan gejolak emosi tidak terkawal dalam masyarakat apabila dilaporkan di media. Pembaca seolah-olah memberikan solidariti kepada isteri pertama, kononnya tersakiti dan merasai penderitaan akibat dimadukan. Sedangkan dalam amalan poligami, terdapat banyak kisah bahagia berbanding derita.

Akan tetapi banyak kisah dan pengalaman derita akibat poligami sering dipaparkan sehingga menimbulkan stigma dalam masyarakat mengaitkan poligami dengan kecurangan dan pengkhianatan suami. Apatah lagi jika ia membabitkan selebriti dan ikon popular dalam masyarakat atau media sosial.

Dalam menyatakan pendirian mereka terhadap kisah dilaporkan di media, secara tidak disedari ramai orang tidak bertindak menjadi pendamai atau membantu meredakan keadaan. Sebaliknya mereka menjadi batu api dengan menghasut pihak terbabit amalan poligami sehingga 'meruntuhkan masjid'.

Malangnya, selagi pasangan suami isteri tidak bercerai, mereka tidak akan berpuas hati dan akan terus menerus mencari keburukan serta kelemahan suami dan isteri kedua. Campur tangan dan hasutan masyarakat hanya akan meruntuhkan 'masjid' dan memusnahkan kehidupan rumah tangga.

Sewajarnya setiap perkahwinan perlu diselamatkan kerana yang menanggung penderitaan akhirnya adalah golongan isteri dan anak. Golongan penghasut dan batu api akan lepas diri. Justeru, masyarakat sebagai 'orang luar' usah terlalu 'menjaga tepi kain orang' kerana setiap rumah tangga mempunyai kisah tersendiri.

Orang luar perlu sedar dalam keluarga mereka juga ada nenek, ibu, kakak, adik, anak dan cucu perempuan. Maka, berhati-hatilah membuat ulasan dan bertindak balas kerana kes yang timbul dalam masyarakat adalah antara perempuan dengan perempuan lain. Ibaratnya perempuan disakiti perempuan lain.

Sering kali perempuan digelar sebagai 'penyondol' berbanding lelaki sedangkan pokok tidak bergoyang tanpa ditiup angin. Ibaratnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kedua-dua pihak, lelaki atau suami dan perempuan turut terbabit.

Apa yang lebih menghairankan, apabila kes poligami orang lain seperti selebriti atau ikon popular diperbesarkan, pihak suami yang tiada kena mengena dengan kisah terbabit turut menerima tempias kemarahan isteri atau wanita lain.

Sementara itu, perbincangan poligami adalah dalam ruang lingkup agama Islam dan penganut agama lain tidak perlu mencampuri atau mengkritik amalan ini kerana ia boleh menimbulkan kritikan balas, selain mengelirukan bukan orang Islam.

Namun, banyak orang mudah dipengaruhi dengan propaganda pihak mahu memburukkan amalan poligami yang dihalalkan dalam Islam. Apa yang membuka ruang kepada kes poligami di Malaysia adalah wujudnya sindiket menguruskan poligami luar negara.

Ia kesempatan perniagaan menguntungkan dan diuruskan secara terancang. Sindiket ini membabitkan penawaran pakej penuh bermula daripada perjalanan ke luar negara, pakej akad nikah sehinggalah urusan pendaftaran perkahwinan di Malaysia.

Justeru, kepada lelaki ingin berpoligami disarankan lebih bertanggungjawab dan tidak berkahwin melalui sindiket atau ke negara seberang untuk 'menambah isteri'.

Suami yang bertanggungjawab perlu mematuhi prosedur dan perundangan negara bagi mempertahan keharmonian rumah tangga dan menjadikan amalan poligami lebih bermaruah.

 Jaga batas pergaulan

Selain itu, bagi mengelakkan kecurangan berlaku dalam perkahwinan, pihak suami dan isteri hendaklah menjaga batas pergaulan sama ada di tempat kerja atau di mana sahaja serta tidak membuka ruang kepada terjerumus perbuatan maksiat sehingga terlanjur melakukan hubungan haram.

Banyak laporan diterima antara punca berlaku skandal hubungan suami dengan wanita lain termasuk isteri orang di tempat kerja membawa kepada gejala perzinaan dan akhirnya berlaku perceraian.

Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab ibu bapa juga untuk mendidik anak, terutama lelaki untuk menghormati golongan wanita dan tidak curang selepas berumah tangga, manakala anak perempuan dididik menjaga maruah, harga diri, menjauhi zina dan tidak meruntuhkan rumah tangga orang lain.

Mereka perlu diterapkan konsep 'jangan membina kebahagiaan atas penderitaan orang lain' kerana ia tidak akan kekal. Masyarakat pula perlu berpada-pada memberi komentar berkaitan isu rumah tangga dan poligami kerana ia tidak mendatangkan manfaat sebaliknya mengundang dosa dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Berilah peluang dan ruang kepada pasangan untuk menyelesaikan masalah mereka tanpa gangguan. Jika kita tidak mampu menjadi 'batu permata' menyelamatkan rumah tangga, jangan pula menjadi batu api merosakkan rumah tangga orang.

Berita Harian X