Sabtu, 2 Disember 2023 | 9:32am
Foto Hiasan. - Foto BERNAMA
Foto Hiasan. - Foto BERNAMA

Hubungan luar Malaysia catat prestasi memberangsangkan

Sejak pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulang tahun pertama pada 24 November lalu, kita mendengar banyak pandangan dan ulasan sama ada pujian atau kritikan mengenai polisi dan politik, tetapi persoalan hubungan luar Malaysia kurang didendangkan sedangkan ia sebenarnya positif serta boleh dibanggakan.

Hakikatnya, Anwar dan Kerajaan Perpaduan menunjukkan prestasi memberangsangkan dari aspek hubungan luar Malaysia khususnya dalam menguruskan cabaran daripada ketidaktentuan ekonomi dan politik global.

Anwar dan kerajaan bukan hanya berjaya mewakili serta menyampaikan suara dan aspirasi rakyat dan negara, bahkan negara membangun lain. Dalam hal ini, Anwar memanfaatkan sepenuhnya platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN dengan mengenengahkan serta membahaskan pelbagai isu secara kritikal.

Beliau menyampaikan dan menegaskan pendirian serta nilai Malaysia dalam pelbagai isu antaranya persaingan geopolitik kuasa besar, perang Ukraine-Russia, isu Gaza dan Palestin, situasi kemanusiaan di Afghanistan, rampasan kuasa di Myanmar serta perubahan iklim.

Ketika membahaskan isu ini, Anwar bijak dalam memperkenalkan, berkongsi dan mempromosikan dasar negara seperti Malaysia MADANI dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) sebagai penyelesaian dari Malaysia.

Kerajaan juga berjaya menguruskan isu tuntutan pampasan dengan pihak luar dan pertikaian persempadanan. Dalam kes tuntutan kumpulan Sulu, kerajaan berjaya mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara dengan menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah diberikan kepada kumpulan berkenaan yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Kita juga berjaya mempertahankan aset PETRONAS di Luxembourg dan Belanda serta aset diplomatik, termasuk bangunan kedutaan di Perancis.

Perkasa hubungan ekonomi

Dalam isu pertikaian persempadanan dengan Indonesia, kerajaan berjaya memeterai triti dengan Indonesia membabitkan Selat Melaka dan Laut Sulawesi selepas rundingan dibuat selama 18 tahun. Bagaimanapun, perlu diakui komunikasi kerajaan membabitkan isu Ambalat agak lemah hingga isu ini dipolitikkan pembangkang.

Dalam tempoh setahun ini juga, Anwar dan Kerajaan Perpaduan berjaya memperkasakan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan rakan utama dari Barat, Asia Barat dan Asia Timur merangkumi Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta China.

Menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke AS serta lawatan rasmi Anwar ke AS sempena Persidangan APEC, negara meraih pelaburan RM63.02 bilion. Ini tidak termasuk potensi pelaburan RM216.04 bilion diraih negara menerusi lawatan Perdana Menteri ke luar negara, termasuk China dan UAE.

Selain memperkukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan, usaha ini juga penting untuk mempelbagaikan sumber perdagangan dan pelaburan, seterusnya mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada satu-satu negara.

Dalam konteks perang perdagangan dan teknologi AS-China, Anwar menegaskan Malaysia akan sentiasa mengamalkan pendirian berkecuali, manakala negara tidak seharusnya diheret dan dilibatkan dalam 'perang dingin' antara kuasa besar.

Ini dapat dilihat menerusi komitmen dan sokongan Anwar dan Kerajaan Perpaduan terhadap Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) diterajui China dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik Bagi Kemakmuran (IPEF) diterajui AS.

Kejayaan negara meraih komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan memperdalamkan kerjasama BRI, termasuk dalam pembangunan hijau dan ekonomi digital. Dalam usaha mengimbangi pengaruh ekonomi China ke atas negara, kerajaan komited merealisasikan IPEF dengan menandatangani Perjanjian Teras 2 (Rantaian Bekalan), memuktamadkan rundingan Teras 3 (Ekonomi Lestari) dan Teras 4 (Ekonomi Saksama) serta sedang merundingkan Teras 1 (Perdagangan).

Tuntasnya, setahun pentadbiran, Anwar dan Kerajaan Perpaduan menunjukkan keupayaan serta kejayaan dalam mengemudi negara mengharungi ketidaktentuan ekonomi-politik global, sekali gus meletakkan kembali nama Malaysia di peta dunia.

Ini tidak dapat dilaksanakan tanpa amalan dasar luar Malaysia bebas, berprinsip dan pragmatik. Justeru, rakyat tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi menghadapi cabaran luar mendatang dalam usaha kita mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X