Jumaat, 1 Disember 2023 | 9:32am
Foto hiasan. - Foto NSTP/Azrul Edham
Foto hiasan. - Foto NSTP/Azrul Edham

Pengundi muda, atas pagar penentu kemenangan calon di Kemaman

Esok menjadi hari penentuan calon dan parti mana bakal menjadi pilihan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman. Segala usaha dan penat lelah kedua-dua calon sama ada daripada PAS atau Barisan Nasional (BN) akan terjawab.

Dalam tempoh kempen berbaki tidak sampai satu hari sebelum ia berakhir jam 11.59 malam ini, kedua-dua parti tentunya melakukan pecutan terakhir dalam usaha meraih undi.

Walaupun kempen calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, lebih agresif, momentum pengundi dilihat masih berpihak kepada calon PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Walaupun secara kasarnya PAS masih berada di depan dan memiliki peluang cerah mengekalkan Parlimen Kemaman, calon BN juga dilihat semakin mendapat tempat di hati mengundi.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu komited dalam misinya untuk memberi kemenangan kepada UMNO dengan menjelajah setiap pelusuk Parlimen Kemaman untuk bertemu pengundi. Usaha gigih Raja Mohamed Affandi itu mungkin mampu mencairkan hati pengundi terutama atas pagar untuk berpihak kepadanya.

Tidak mustahil, pengundi di Kemaman akan memberi peluang kepada calon BN pada PRK kali ini kerana Terengganu antara 'swing state' kerana mood pengundinya kerap berubah.

Selain itu, kelebihan kempen di pihak Raja Mohamed Affandi juga dihangatkan dengan kehadiran ramai pemimpin politik daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri memberi bayangan Raja Mohamed Affandi akan diberikan tugas sebagai 'penghubung' sekiranya rakyat memilihnya sebagai Ahli Parlimen Kemaman. Ia sedikit sebanyak boleh mengubah mood pengundi untuk memilih calon BN.

Tidak perlu memburukkan lawan

Dalam soal kempen PRK pula, terdapat beberapa insiden menghangatkan walaupun Terengganu kini mengalami musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan keadaan cuaca tidak menentu.

Seperti biasa, ceramah PRK sama ada di pihak BN atau PAS menjadi pentas untuk menerangkan dan menjawab segala tuduhan daripada parti lawan. Ia juga dijadikan pentas mengungkit dan memburukkan lawan masing-masing.

Sebenarnya, ahli politik tanpa mengira parti diwakili tidak perlu mengungkit atau memburukkan lawan kerana rakyat kini boleh menilai dan mempunyai segala akses untuk menyemak fakta serta kebenaran.

Pengundi ketika ini tidak menginginkan wakil rakyat hanya pandai bercakap atau menabur janji semata-mata tetapi sebaliknya mahu pemimpin dapat membantu mereka.

Berbaki kurang 24 jam tempoh kempen, semua calon bersama jentera parti giat melakukan kempen saat akhir dengan cara tersendiri. Selagi wisel penamat belum berbunyi, kedua-dua calon perlu memenangi hati pengundi sebaik mungkin untuk meraih undi.

Tentunya pengundi muda bakal memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan PRK sama ada berpihak kepada BN atau PAS. Pengundi di Kemaman sekali lagi bakal menjadi watak utama menentukan nasib Ahmad Samsuri atau Raja Mohamed Affandi.

Tanda tanya sama ada 'gelombang hijau' terus menakluk bumi Terengganu atau tidak hanya akan terjawab esok. Masih tidak mustahil jika berlaku kejutan dan kebangkitan semula 'gelombang biru' di Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman adalah perang menebus maruah antara UMNO dan PAS. Esok akan menentukan adakah BN mampu 'memecahkan telur' di Terengganu. Tiada yang mustahil boleh berlaku dalam politik dan pilihan raya.

Berita Harian X