Isnin, 27 November 2023 | 11:03am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Serangan peribadi, sindiran strategi raih undi PRK Kemaman

Pelbagai ragam dan drama mewarnai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman masuk hari kesembilan. Barisan Nasional (BN) dan PAS bekerja keras memikat hati pengundi menggunakan cara kaedah serta strategi tersendiri.

Jika misi PAS mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN pula berusaha merampas kembali Parlimen yang pernah menjadi kubu kuat UMNO itu.

Musim Monsun Timur Laut sinonim dengan Terengganu tidak menghalang dan menjejaskan semangat calon bersama jentera parti bertemu pengundi. Hujan tidak menyejukkan 'suhu' meskipun bahang sudah masuk 'pilihan raya ketiga' dihadapi pengundi Kemaman dalam tempoh setahun.

Kempen calon BN, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor lebih agresif sepanjang minggu pertama dengan menyantuni pengundi di lokasi tumpuan seperti kedai makan, masjid dan pasar.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan slogan 'Kemaman untuk Kemaman' bertemu dan mendekati seramai mungkin pengundi, selain menggunakan media sosial untuk meraih kepercayaan pengundi. Rakan gabungan, Pakatan Harapan (PH) turut berkempen dengan misi sama.

Lain pula kempen calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, dilihat agak suram dan tidak rancak, terutama beberapa hari selepas penamaan calon, 18 Disember lalu.

Naib Presiden PAS memaklumkan parti itu mempunyai cara kerja tersendiri dengan kempen lebih kepada 'sentuhan peribadi' dan 'impromptu' (spontan), selain jentera parti sudah bergerak awal mendekati pengundi. Malah, Ahmad Samsuri yang juga dikenali Dr Sam dilihat lebih berhati-hati apabila tidak berkempen di kedai makan dan restoran bagi mengelak pertikaian.

Namun, Ahmad Samsuri tetap menjalankan tugas Menteri Besar dengan menghadiri pelbagai program kerajaan negeri dan berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Itu 'harga' perlu dibayar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu apabila diberi tugas mempertahankan Kemaman.

PAS juga dibantu rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) yang mahu melihat kejayaan calon mereka menggunakan slogan 'Dr Sam untuk Semua' mempertahankan Parlimen itu.

Isu pimpinan turut jadi topik

Kempen turut diselitkan serangan peribadi dan mengata parti lawan bagi meraih undi. BN dilihat menyerang Ahmad Samsuri dengan menyifatkannya 'tamak' kerana turut bertanding di Parlimen, selain dicabar melepaskan jawatan Menteri Besar.

Beberapa pemimpin BN dan PH mempersoalkan keupayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sekiranya menang.

Jika Ahmad Samsuri dipersoalkan kemampuannya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen selain bukan anak tempatan Kemaman, Raja Mohamed Affandi pula dikatakan diperalatkan BN menanggung malu kekalahan parti itu pada PRU15.

Raja Mohamed Affandi dikatakan alat menyelamatkan maruah UMNO dan BN yang didakwa tersilap langkah memfailkan petisyen menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan. Ada pemimpin PAS beranggapan beliau calon payung terjun dipilih kerana BN ketandusan pemimpin.

Isu terhadap parti dan pimpinan utama diwakili kedua-dua calon juga menjadi antara topik setiap kali ceramah diadakan.

Pada ceramah PAS dan PN, kerjasama BN-PH masih menjadi modal selain menegaskan PRK kononnya terpaksa diadakan kerana keengganan UMNO menerima kekalahan.

Pemilihan Ahmad Samsuri sebagai calon PRK turut diberikan justifikasi bukan sahaja untuk memudahkan urusan pentadbiran negeri dan Persekutuan, bahkan menguatkan PN di peringkat pusat.

Sementara itu, BN dan PH mempersoalkan ketiadaan pembangunan dan peluang pekerjaan di Terengganu selain pendirian PAS dalam soal politik.

Malah, kelebihan bakal diperoleh penduduk Kemaman sekiranya memilih calon BN, iaitu akan menjadi 'anak emas' sekiranya BN menang kerana menjadi satu-satu kerusi miliknya di Terengganu.

Menyentuh sokongan pengundi pula, mood pengundi masih dilihat berpihak kepada PAS walaupun pengundi diberitahu kemenangan Ahmad Samsuri tidak akan membawa apa-apa pembangunan di Kemaman.

Namun, kedua-dua parti perlu menggunakan baki yang ada memenangi hati pengundi, terutama pengundi muda dan atas pagar kerana mereka penentu kepada kemenangan calon.

Penulis adalah wartawan BH

Berita Harian X