Ahad, 26 November 2023 | 12:31pm
Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto hiasan
Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto hiasan

Salah guna kuasa veto punca PBB gagal jaga keamanan dunia

Apakah sudah sampai masanya masyarakat antarabangsa memerlukan satu pertubuhan antarabangsa baharu yang mampu menyelesaikan segala kemelut melanda dunia dengan baik dan adil?

Serangan terbaru rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin, terutama di Gaza meskipun mencapai gencatan senjata sementara mengulang kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan peranan efektif menyelesaikan konflik.

Malangnya, sudah tujuh dekad rentetan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin seumpama lukisan lama dipamerkan kembali dengan bingkai sama.

Majlis Keselamatan PBB menjadi organ utama bertanggungjawab menjaga keamanan dan perdamaian antarabangsa, tetapi gagal menjalankan fungsi sebenar meskipun ia termaktub dalam Bab V, Artikel 24 Piagam PBB.

Serangan berlarutan lebih 40 hari, tetapi Majlis Keselamatan 'buntu' mengambil langkah pencegahan hingga jumlah kematian mencecah lebih 14,000 jiwa dengan lebih separuh adalah kanak-kanak dan wanita.

Ini memperlihatkan Majlis Keselamatan PBB tidak berupaya melaksanakan tindakan sewajarnya selaras ketentuan Bab VII Piagam PBB mengenai tindakan berkaitan ancaman dan pelanggaran terhadap keamanan serta tindakan pencerobohan.

Malah, Majlis Keselamatan dengan lima anggota tetap yang juga kuasa besar dunia juga gagal menerapkan Prinsip Tanggungjawab untuk Melindungi (R2P), meskipun ia disepakati bersama ketika Sidang Kemuncak Dunia 2005.

Antara keputusan terpenting adalah kesepakatan pemimpin dunia bersiap sedia melaksanakan tindakan kolektif ketika sesebuah negara gagal atau tidak mampu melindungi rakyatnya daripada empat bentuk jenayah antarabangsa utama, iaitu genosid, jenayah perang, penghapusan etnik dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Komitmen itu disahkan dan dimasukkan ke dalam Resolusi Perhimpunan Agung PBB, No A/60/I bertarikh 24 Oktober 2005, khususnya Perenggan 139 tertulis: "Kami bersedia mengambil tindakan kolektif, tepat dan tegas melalui Majlis Keselamatan PBB, ketika cara damai tidak lagi mencukupi dan autoriti nasional secara jelas gagal melindungi rakyatnya daripada genosid, jenayah perang, penghapusan etnik dan jenayah terhadap kemanusiaan."

Komitmen itu ditegaskan semula dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB, No 1674 pada 28 April 2006 mencatatkan kesediaan Majlis Keselamatan menangani pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran dapat menimbulkan ancaman terhadap keamanan antarabangsa.

Walaupun R2P lazimnya membabitkan kes pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran dilakukan rejim pemerintah terhadap rakyatnya, dalam konteks Palestin, ia seharusnya diterapkan apabila jelas berlaku genosid dan jenayah perang oleh rejim Zionis Israel yang menjajah dan menguasai 70 peratus wilayah Palestin.

Namun, pelaksanaan R2P di Palestin ibarat mimpi siang hari apabila anggota tetap Majlis Keselamatan yang mendukung prinsip berkenaan sebenarnya adalah tulang belakang terhadap jenayah dilakukan rejim Zionis.

Ini dicerminkan melalui penentangan terhadap beberapa resolusi Majlis Keselamatan menggesa gencatan senjata di Gaza oleh Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang juga sekutu kuat rejim Zionis.

Ia menggambarkan sikap selektif kuasa besar bernaung di bawah Majlis Keselamatan dalam menghadapi isu antarabangsa. Segala keputusan diambil hanya berpaksikan kepentingan sendiri, bukan didasari semangat kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Ia pernah diungkapkan pemikir politik antarabangsa, John Mearsheimer dalam bukunya, The Tragedy of Great Power Politics bahawa dalam politik antarabangsa, kuasa besar cenderung menggunakan kekuatannya demi kepentingan negaranya sendiri bukan undang-undang atau moral antarabangsa.

Tiada kesepakatan sesama anggota

Natijahnya, Majlis Keselamatan sering 'lumpuh' untuk bertindak menyelesaikan konflik disebabkan tiada kesepakatan sesama anggota dalam menetapkan suatu keputusan tuntas untuk kebaikan masyarakat antarabangsa hingga mereka diumpamakan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Dalam dunia ideal, Majlis Keselamatan mesti bertindak sebagai 'pengadil adil' dalam menerapkan undang-undang antarabangsa tanpa memilih bulu. Namun, realiti politik menunjukkan hambatan jelas dalam sistem antarabangsa. Antaranya, penggunaan atau istilah lebih tepat 'penyalahgunaan kuasa' veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan.

Oleh itu, masyarakat dunia perlu mendorong reformasi sistem veto. Ia dapat dilakukan dengan memastikan hak veto tidak sepenuhnya menghentikan Majlis Keselamatan bertindak menjaga keamanan dan perdamaian antarabangsa.

Bertitik tolak siri kegagalan Majlis Keselamatan memenuhi peranan diharapkan, tiba masanya peranan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dianggotai 193 negara lebih diperkasakan untuk memelihara keamanan dan perdamaian antarabangsa selaras peruntukan termaktub dalam Bab IV, Artikel 11 (2) Piagam PBB.

Ini turut disokong Resolusi UNGA No 377 A (V) diluluskan pada 3 November 1950 dikenali sebagai Resolusi Uniting for Peace, iaitu menguatkan peranan perlu digerakkan Perhimpunan Agung ketika Majlis Keselamatan gagal melaksanakan tanggungjawab utamanya.

Melalui mekanisme 'satu negara satu undi' lebih demokratik dalam UNGA, maka resolusi ini memandang tidak lagi relevan bagi hak veto dimiliki lima anggota tetap Majlis Keselamatan ketika badan dunia itu gagal memenuhi kewajipannya dalam memelihara keamanan dan perdamaian antarabangsa.

Atau apakah masyarakat antarabangsa memerlukan suatu pertubuhan antarabangsa dilihat mampu menjalankan fungsi dengan baik dan adil dalam menyelesaikan segala kemelut melanda dunia selain PBB?

Berita Harian X