Kesedaran masyarakat untuk menjadikan rumah atau komuniti lebih berdaya tahan menghadapi banjir menjadi antara cabaran pada masa kini kerana ramai beranggapan bencana itu tidak akan berlaku di kawasan mereka atau bukan tanggungjawab mereka untuk menanganinya.
Hakikatnya, masyarakat perlu dididik untuk mengambil tahu bagaimana air hujan diuruskan, dipindahkan dan disimpan di kawasan tadahan supaya lebih memahami situasi serta risiko bakal mereka hadapi.
Mereka juga perlu diingatkan hanya kerana tapak atau harta benda berada di kawasan berisiko rendah untuk banjir, ia tidak bermakna mereka tidak boleh berperanan dalam meminimumkan kesan banjir berdasarkan penjagaan kawasan tadahan air.
Perubahan minda dapat dilakukan sekiranya penumpuan umum tidak hanya setakat imej atau video kejadian banjir seperti jalan ditenggelami air atau kenderaan terapung, sebaliknya ia perlu diteruskan dengan bagaimana daya tahan dan langkah menangani banjir diberikan pengiktirafan.
Jika usaha masyarakat terbabit dalam mewujudkan daya tahan menghadapi banjir diberikan ganjaran umpamanya, ia boleh bertindak sebagai insentif untuk menyesuaikan diri dan kaedah promosi amalan terbaik dan strategi berdaya maju.
Pupuk budaya kesiapsiagaan
Malah, kempen kesedaran itu perlu mengingatkan masyarakat bahawa rumah dan bangunan yang terjejas akibat banjir akan menjadi aset rentan kepada pemilik. Jika daya tahan tidak dibina hingga menyebabkan sesuatu kawasan sering dilanda banjir, pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai sukarelawan banjir perlu berulang kali menanggung kos pembaikan.
Kempen ini juga perlu menunjukkan 'peta banjir' bukan sahaja dalam usaha meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai risiko, bahkan membolehkan mereka melihat naratif alternatif bagaimana dapat hidup selamat dengan banjir, mengurangkan kesan dan mempercepatkan pemulihan pascabencana.
Dalam usaha mewujudkan komuniti lebih berdaya tahan, kita perlu memupuk budaya kesiapsiagaan pada skala tempatan, nasional dan antarabangsa. Komuniti yang sering mengalami banjir sebagai ancaman bermusim akan mempunyai pemahaman serta kesedaran semula jadi supaya lebih bersedia dengan sewajarnya.
Contohnya penduduk yang secara tradisinya berdepan fenomena banjir setiap tahun seperti penduduk Kampung Temai Hulu, Pahang dalam satu temu bual menegaskan mereka sudah bersedia menghadapi banjir setiap hujung tahun pada musim tengkujuh.
Bagaimanapun, komunikasi berterusan perlu wujud kerana banjir tidak hanya berlaku pada musim tengkujuh, sebaliknya masyarakat turut berdepan risiko banjir kilat seperti dialami penduduk Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada Disember 2021.
Dalam konteks ini, sistem amaran awal perlu dipastikan wujud kerana ketika itu seperti diakui penduduk kampung berkenaan, tiada amaran awal dipasang untuk memaklumkan risiko banjir, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai jurang maklumat yang berlaku.
Hakikatnya, tanggapan banjir besar sebagai peristiwa sekali seumur hidup akan menyebabkan masyarakat mudah mengabaikan kelemahan yang berlaku. Sebahagian akar masalah ini boleh dikaitkan kekeliruan mengenai cara risiko diuruskan dan bahasa digunakan untuk menyampaikannya.
Memandangkan jumlah banjir terus meningkat, terdapat keperluan mendesak untuk menilai daya tahan banjir masyarakat, meningkatkan kesedaran awam dan menawarkan strategi praktikal untuk mengurangkan kesan banjir.
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa di Royal Institute of British Architects (RIBA)