Perancangan pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang tertumpu kepada kemampanan ekonomi dan sumber manusia, pembangunan sosial inklusif, pembangunan infrastruktur awam adalah paksi jelas dalam mencorakkan hala tuju kemajuan negara pada masa depan.
Berdasarkan kepada Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia menjurus kepada pemantauan dan penilaian pencapaian bagi tempoh dua tahun pertama, merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi inklusif serta mampan.
Dalam usaha kerajaan menumpukan kepada pencapaian status negara maju dan inklusif melalui RMK12, peluang serta akses kepada pendidikan dan pembangunan modal insan melalui latihan profesional perlu terus diletakkan sebagai keutamaan selepas negara melalui cabaran getir sama ada politik dan kesihatan sehingga menjejaskan sedikit sebanyak aspirasi RMK12.
Cabaran dan kemelut ekonomi dan politik global seperti kemelesetan ekonomi dunia serta keperluan pendekatan baharu bagi mendepani cabaran pasca pandemik COVID-19 memerlukan penjajaran semula tindakan dan usaha memastikan kejayaan RMK12.
Penyediaan pelan penjajaran sebagai intervensi keberkesanan RMK12 seharusnya mempertimbangkan dapatan dan kajian daripada penilaian serta semakan semula pelbagai aspek merangkumi analisis jurang, cadangan penambahbaikan dan hala tuju pemerkasaan pendidikan.
Sokong Dasar Pendidikan Digital
Usaha kerajaan dalam pembentukan Dasar Pendidikan Digital (DPD) wajar disokong tetapi ia memerlukan pelan tindakan jelas bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Oleh itu, pendidikan disediakan patut mampu mewujudkan peluang pekerjaan berorientasikan pendigitalan bagi membolehkan lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak bergantung kepada pekerjaan 'makan gaji' semata-mata.
Penjanaan pendapatan melalui ekonomi gig memiliki potensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini. Maka, usaha pemerkasaan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) perlu juga merangkumi penawaran pekerjaan bagi bidang berkenaan.
Selain itu, usaha berterusan perlu dilakukan kerajaan dan pemegang taruh untuk menjenamakan semula sektor pekerjaan kotor, bahaya dan sukar (3D) bagi menarik minat tenaga buruh tempatan merebut peluang pekerjaan itu melalui kadar gaji dan upah serta insentif lebih berbaloi ditawarkan dalam sektor pekerjaan berkenaan.
Sementara itu, pendidikan TVET seperti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) juga perlu diperkasakan dengan menyediakan pembelajaran di tempat kerja sebenar sehingga 80 peratus penawaran latihan amali.
Apa yang penting, usaha bersepadu bagi melahirkan lebih ramai lagi belia berdaya tahan perlu ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan kerana ia faktor penting bagi memacu kemajuan negara dengan menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta serta kreativiti generasi muda.
Penulis adalah Pensyarah (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia