Rabu, 20 September 2023 | 10:24am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tumpu kaedah kawalan pelaksanaan semula GST

Belanjawan yang ditunggu-tunggu rakyat saban tahun, menjadi petunjuk penting kepada usaha memulihkan ekonomi negara, terutama ketika kita menghadapi cabaran ekonomi signifikan seperti dihadapi beberapa tahun lalu.

Dalam usaha mencapai kestabilan fiskal dan pertumbuhan ekonomi mampan, kerajaan perlu bijak dan teliti mengatur langkah dengan memberi fokus kepada tatakelola baik dalam penyusunan belanjawan.

Pemantapan pendapatan adalah langkah pertama perlu diberi perhatian. Lebihan perbelanjaan melebihi pendapatan negara hanya akan meneruskan defisit fiskal mengeruh situasi ekonomi semasa.

Dalam hal ini, kerajaan perlu memikirkan kaedah meningkatkan pendapatan negara yang dapat diperkenalkan agar kesenjangan perbelanjaan dan pendapatan dapat dirapatkan.

Oleh itu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenal semula Cukai Nilai Tambah (VAT) atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ia langkah proaktif berpotensi memberikan pendapatan tambahan kepada negara. Namun, langkah pengenalan semula cukai perlu dilaksanakan dengan telus, manakala kerajaan sendiri perlu bersedia dengan perancangan baik bagi menghadapi kesan inflasi jangka pendek yang mungkin berlaku hasil perkenalan semula itu.

Penekanan kepada kaedah kawalan dan penguatkuasaan undang-undang turut perlu diberi tumpuan oleh agensi berkenaan bagi mengelakkan kesan inflasi berpanjangan.

Selain itu, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan, kerajaan perlu menyokong pembangunan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor strategik seperti teknologi maklumat, industri hijau dan pendidikan tinggi.

Tingkat daya saing ekonomi negara

Ini adalah langkah boleh meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dalam jangka pendek dan panjang. Antaranya menambah peluang pekerjaan dan dapat mengurangkan pengangguran, selain meningkatkan kemajuan teknologi mampu menambah baik produktiviti dalam pelbagai industri.

Pembangunan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor strategik ini akan lebih bermanfaat dengan penekanan diberikan kerajaan kepada ruang inovasi dan penyelidikan.

Mengurangkan defisit fiskal juga cabaran besar perlu dihadapi. Pemantauan defisit secara berterusan dan memastikan ia kekal dalam had berpatutan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu dilaksanakan dengan berhemah.

Sebagai petunjuk komitmen kerajaan, mereka perlu mengurangkan defisit secara berperingkat dan dalam tempoh munasabah.

Bagi memastikan tatakelola baik dalam kewangan negara, kerajaan perlu meningkatkan hemat dalam pengurusan kewangan dengan menggunakan teknologi dan sistem kecerdasan buatan (AI) yang mampu memberi maklumat cepat serta tepat dalam menguruskan kewangan dengan lebih pintar.

Kerajaan juga perlu lebih telus dan terbuka dengan pemantauan dan akaun awam kepada masyarakat umum bagi meningkatkan akauntabiliti perbelanjaan dana awam.

Dalam memberi fokus kepada pendapatan kerajaan dan perbelanjaan sektor besar, kerajaan perlu memastikan sokongan sosial sewajarnya diberikan kepada kumpulan memerlukan, termasuk bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan program bantuan sementara dalam situasi krisis oleh rakyat.

Dengan mengambil kira langkah dicadangkan ini, Malaysia boleh terus bergerak ke arah mencapai kestabilan fiskal dan pertumbuhan ekonomi mampan untuk masa depan lebih cemerlang.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Generasi Impian Malaysia (MYGEN)

Berita Harian X