Selasa, 19 September 2023 | 10:25am
Foto Hiasan. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Foto Hiasan. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Terap kesedaran pulihara alam sekitar dalam pendidikan Islam

Islam adalah agama syumul merangkumi semua aspek kehidupan, termasuk aspek hubungan manusia dengan Tuhan hubungan manusia dengan manusia dan juga hubungan manusia dengan alam sekitar. Melalui lima Rukun Islam, semuanya amat berkait dengan hubungan manusia dengan Tuhan dan alam sekitar.

Namun, apa yang mengecewakan, kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan penganut agama Islam masih rendah. Sekiranya dilihat kepada indeks alam sekitar pada peringkat global, negara Islam rata-ratanya berada pada kedudukan tercorot.

Ketika negara bukan Islam semakin rancak mencipta negara lestari, negara Islam masih tidak dapat menyelesaikan isu alam sekitar.

Kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta perubahan iklim perlu dipupuk dari kecil. Bak kata pepatah, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Kesedaran ini perlu disemai dan diajar bukan sahaja melalui pendidikan formal menerusi subjek Pendidikan Alam Sekitar, tetapi juga perlu diajar secara tidak formal di luar bilik darjah melalui pembelajaran melalui pengalaman.

Namun, pendidikan alam sekitar lazimnya tidak berasaskan kepada pendidikan agama. Hal ini kerana, hubungan alam sekitar tidak dilihat berkait secara langsung dengan pendidikan agama.

Sebenarnya, kesedaran terhadap alam sekitar dan perubahan iklim boleh diterapkan dalam silibus Pendidikan Islam sedia ada dan boleh digarap dalam elemen merentas kurikulum (EMK).

Elemen kasih sayang

Dalam bab Tauhid misalnya, guru pendidikan Islam boleh menghuraikan aspek 'tauhid uluhiyyah' dan 'tauhid rububiyyah' serta kaitannya dengan ekosistem alam teratur dan seimbang mengikut sunnatullah.

Dalam bab fikh, guru Pendidikan Islam boleh menerapkan kesedaran alam sekitar melalui topik 'Taharah' atau kesucian. Guru bukan sahaja perlu mengajar cara berwuduk dengan betul, tetapi menekankan pentingnya penjimatan air ketika berwuduk.

Melalui bab akhlak misalnya, guru pendidikan Islam boleh menekankan elemen kasih sayang dan ihsan bukan hanya untuk sesama manusia, tetapi kasih sayang kepada Allah SWT dan juga kepada haiwan.

Peranan guru agama dalam menerapkan kesedaran alam sekitar dan pemanasan global ini memang begitu imperatif. Mereka perlu terlebih dahulu mempunyai kesedaran terhadap peri pentingnya menjaga alam sekitar dari sudut pandang Islam.

Justeru, pemerkasaan guru agama dalam memahami isu alam sekitar semasa juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Menyedari kepentingan integrasi pendidikan Islam dan pendidikan alam sekitar, dua penyelidik Universiti Malaya telah menjalankan satu kajian kes di Sekolah Menengah Agama Negeri (Tahfiz) Pekan Kunak, Sabah. Program Pemindahan Ilmu Islam dan Alam Sekitar dikenali sebagai 'Rekayasa Eko-Tahfiz' dilaksanakan dengan jayanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan amalan lestari dalam kalangan warga sekolah antaranya tazkirah laskar alam, pertanian berasaskan hidroponik, pertanian pintar, menceriakan kawasan surau, pertandingan penghasilan video kreatif laskar alam dan mereka bentuk surau lestari.

Kajian ini mendapati sekolah aliran agama mempunyai potensi besar untuk mencapai matlamat sekolah lestari dalam erti kata sebenar kerana kesedaran alam sekitar dapat dipupuk dengan lebih mendalam di hati manusia menerusi ayat al-Quran.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya serta Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Berita Harian X