ISU kekurangan bekalan beras negara kembali menjadi perhatian umum apabila beras dilaporkan sukar diperoleh pengguna di kedai. Sejak krisis beras melanda dunia pada 2008, kebergantungan tinggi kepada import beras menjadi satu masalah semakin serius.
Hari ini, lebih 30 peratus keperluan beras Malaysia diimport, sekali gus menyebabkan negara terdedah kepada risiko kebergantungan luar berpotensi membawa kepada krisis makanan dalam jangka masa terdekat.
Isu kekurangan bekalan beras negara dan kenaikan harga beras import turut mendapat perhatian ahli Parlimen pada sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Mereka berpendapat masalah itu perlu ditangani dengan kadar segera bagi meredakan keresahan dalam kalangan rakyat memandangkan beras ialah makanan ruji di negara ini.
Justeru, penting untuk kerajaan bertindak segera dan berusaha mencapai 100 peratus kadar mampu diri (SSL) dalam bekalan beras. Bagi mencapai matlamat ini, dua strategi utama perlu diambil.
● Pengurusan padi lebih efisien
Pengurusan tanah padi negara perlu ditingkatkan secara menyeluruh. Kini, hampir 10 peratus kawasan tanah padi tidak diusahakan sepenuhnya, terutama ketika penanaman luar musim dan di kawasan bukan jelapang padi.
Pelbagai langkah perlu diambil untuk memastikan semua tanah sawah dapat dimanfaatkan dengan baik sepanjang tahun. Ini akan meningkatkan hasil padi secara keseluruhannya.
Kejayaan pesawah Sekinchan, Selangor sejak sekian lama dalam usaha penghasilan padi tinggi perlu dijadikan model bagi industri padi negara.
Usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam penggunaan teknologi dan pengurusan penanaman padi Sekinchan ke seluruh negara perlu disokong dan disambut, khususnya petani.
Konsolidasi petani kecil dengan bantuan tersasar juga mampu mengelakkan mereka mengamalkan 3T (tanam, tinggal, tuai) pada sawah mereka.
Konsolidasi ini dapat menyeragamkan pengurusan penanaman, memurnikan kos input dan pemantauan lebih menyeluruh kepada kawasan sawah padi petani kecil yang kebanyakannya dimiliki pesawah berumur.
● Meningkatkan produktiviti pesawah
Peningkatan produktiviti pesawah adalah kunci untuk mencapai kadar mampu diri lebih tinggi. Bagi mencapai sasaran 100 peratus SSL, kerajaan perlu menyasarkan penghasilan padi kepada purata lapan tan per hektar. Program latihan, kesedaran dan pemantauan lebih menyeluruh harus diberikan kepada pesawah.
Di antara strategi lain adalah dengan cara mempelbagaikan teknik atau cara penanaman padi. Pesawah boleh diberi autonomi untuk mengamalkan teknik penanaman dirasakan sesuai berdasarkan kajian saintifik semasa.
Pelbagaikan varieti padi
Penanaman secara agroekologi seperti System Rice Intensification (SRI), penanaman padi secara organik, kawalan alternatif tanpa racun dan penggunaan varieti padi pelbagai adalah antara strategi boleh diperkenalkan kepada pesawah.
Ini termasuk memperkenalkan padi istimewa berpremium. Varieti pelbagai ini akan membantu padi beradaptasi terhadap ketahanan tanaman, meningkatkan hasil dan sekali gus meningkatkan kualiti padi dan beras. Ini penting ketika dunia sedang menghadapi krisis perubahan iklim membimbangkan.
Kepelbagaian cara penanaman ini dapat membantu pesawah secara kolektif untuk melakukan intervensi segera jika sebarang bencana berlaku. Bahkan, penghasilan beras premium juga dapat membantu meningkatkan pendapatan petani.
Selain itu, kerajaan dan penggiat industri perlu lebih berani dalam program penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan padi dan beras.
Ini termasuk usaha untuk mempelbagaikan lagi varieti padi berbanding sedia ada bagi memastikan penanaman padi dapat disesuaikan dengan iklim mikro kawasan penanaman padi seluruh negara.
Apa yang penting, inovasi kepada input padi perlu dipertingkatkan supaya kos penanaman dapat dikurangkan. Inovasi ini sekali gus dapat meningkatkan produksi input seperti baja dan racun dalam negara, mengurangkan kebergantungan pada import. Penggiat industri padi tempatan perlu didorong untuk mengambil peranan dalam penghasilan input ini.
Kerajaan pula perlu serius menangani isu kebergantungan import terhadap beras. Dalam usaha mahu mengurangkan kebergantungan kepada import beras, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dan menyeluruh.
Menerusi pelaksanaan strategi ini, negara dapat meningkatkan keterjaminan makanan, mengurangkan risiko krisis beras di masa depan dan mencapai matlamat kebergantungan beras lebih rendah. Ini adalah usaha penting untuk memastikan makanan mencukupi bagi rakyat.
Penulis adalah Profesor Madya di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya