Jumaat, 15 September 2023 | 9:26am
Kembara Kenali Borneo Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah simbol perjalanan mendekatkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
Kembara Kenali Borneo Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah simbol perjalanan mendekatkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Kembara Kenali Borneo rapatkan rakyat di bawah lembayung diraja

JARAK 2,154 kilometer tidak lagi menjadi ukuran antara Tawau, Sabah dengan Telok Melano, Sematan, Sarawak dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) semata-mata, sebaliknya simbol kepada perjalanan mendekatkan kedua-dua negeri Borneo itu dengan Semenanjung di bawah payung institusi Yang di-Pertuan Agong.

Kelmarin, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyempurnakan Kembara Kenali Borneo selama 11 hari bermula di Tawau pada 3 September.

Konvoi Kembara Kenali Borneo tiba pada jam 12.40 tengah hari itu, disambut meriah lebih 1,000 penduduk di penempatan terakhir di sebelah barat Borneo bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia.

Rakaman gambar kenangan turut diabadikan bersama tiga anakanda, iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah di titik sifar Lebuh Raya Pan Borneo di tepi pantai Telok Melano.

Ibarat kata pepatah, ke mudik tentu hulunya, ke hilir tentu muaranya, Kembara Kenali Borneo bukan semata-mata perjalanan biasa, sebaliknya melambangkan perpaduan antara rakyat di negara ini yang meskipun berbeza kaum dan bahasa ibunda, hidup harmoni di bawah lembayung Seri Paduka.

Mungkin selama ini sebahagian penduduk Sarawak hanya melihat sifat santai dan tidak kekok Yang di-Pertuan Agong apabila turun padang seperti menyantuni mangsa banjir dan membantu mangsa kemalangan jalan raya di televisyen atau membacanya di akhbar, kali ini mereka dapat merasainya sendiri.

Ia bukan sahaja memberikan pengalaman unik kepada penduduk yang tersentuh dengan kehadiran konvoi keluarga diraja dan beramah mesra tanpa protokol ketat itu, bahkan membuka ruang kepada mereka untuk menyisipkan aduan serta surat permohonan mengenai keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang baik.

Tidak hairanlah Yang di-Pertuan Agong memberi jaminan semua aduan diterima itu akan diberikan perhatian sewajarnya serta dimajukan kepada pihak berwajib secepat mungkin, selain menitahkan wakil rakyat, terutama kawasan pedalaman supaya terus mendampingi rakyat untuk memahami keperluan mereka lebih mendalam.

Malah, baginda turut berjanji akan membawa suara penduduk Sabah dan Sarawak itu kepada Kerajaan Persekutuan, sekali gus menunjukkan hubungan harmoni antara Pusat dengan negeri sangat penting dalam membawa pembangunan dan kemajuan.

'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada'

Kembara Kenali Borneo Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah simbol perjalanan mendekatkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
Kembara Kenali Borneo Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah simbol perjalanan mendekatkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Ini menjadikan Kembara Kenali Borneo sebagai terjemahan kepada semangat 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada', sekali gus mengeratkan silaturahim antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Justeru, sangat tepat titah Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan baginda turut mewakili Raja-Raja Melayu menghulur tangan kepada semua sebagai satu keluarga dalam Majlis Penutup dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak.

Hakikat itu sangat penting difahami kerana tanpa sedar, sebahagian besar rakyat di negara ini melihat hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak lebih kepada kaca mata politik dan ekonomi serta terdedah kepada perbezaan sedangkan hakikatnya ia ibarat diuji timbang lebih sesaga sahaja, iaitu sangat kecil.

Pastinya semua rakyat mahu melihat negara mencapai pembangunan menyeluruh, seimbang dan sekata, manakala jurang perbezaan ekonomi, sosial serta pendidikan dirapatkan.

Persamaan besar inilah sepatutnya memadamkan segala perbezaan yang kadang-kala sengaja dizahirkan pihak tertentu atau mungkin berlaku tanpa sedar, sekali gus dijadikan satu asas untuk memajukan negara tanpa meminggirkan mana-mana negeri.

Atas semangat itu juga, baginda turut berkenan mendengar sembah taklimat berhubung latar belakang dan status pelaksanaan Projek LPB Sarawak yang kini mencapai tahap 97 peratus siap.

LPB dianggap antara game changer atau pengubah keadaan kepada kedua-dua negeri dari segi ekonomi dan keterhubungan, sekali gus memberikan prasarana terbaik kepada penduduknya seperti dinikmati di Semenanjung.

Malah, kembara itu juga bertepatan dengan semangat Sambutan Hari Malaysia tahun ini yang akan menggunakan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2023, iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan dengan frasa bahasa Iban 'Segulai Sejalai' bermaksud seiring sejalan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.

Hakikatnya, Kembara Kenali Borneo perlu dijadikan isyarat kepada semua daripada pemimpin hingga rakyat biasa bahawa setiap entiti dalam negara perlu berperanan untuk bergerak ke hadapan dalam menyuburkan perpaduan, manakala sesuatu yang negatif perlu ditinggalkan.

Ini kerana sesuatu kembara mempunyai destinasi dituju, manakala sebarang masalah dihadapi perlu diselesaikan dengan bijaksana, sabar dan segera kerana ia boleh mengganggu serta merencat perjalanan itu.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Berita Harian X