PENSIJILAN halal bermula dengan keperluan memastikan bekalan makanan bersih daripada unsur dikategorikan najis dari sudut Islam seperti daging haiwan tertentu, darah dan bahan berisiko memudaratkan kesihatan.
Khinzir dan unsur terbitannya mendapat perhatian khusus kerana dikategorikan najis berat dan diternak meluas sebagai sumber daging serta bahan tambahan untuk pembuatan produk lain. Haiwan dibenarkan juga tertakluk kaedah sembelihan berlandaskan syariat.
Kini, skop pensijilan halal berkembang meliputi peranti dan produk berkaitan ubatan, penjagaan kesihatan serta kecantikan. Dalam suasana aktiviti ekonomi semakin melebar dan rumit, proses pensijilan juga mengambil kira operasi di sepanjang rantaian pembekalan, pembuatan dan pemasaran bagi mengelakkan pencemaran unsur najis berlaku.
Ini memerlukan pembangunan piagam dan manual kerja jelas agar kepelbagaian di pihak pengusaha dan industri tidak dibelenggu kerenah persepsi dan birokrasi berbeza.
Umat Islam menerima halal sebagai tuntutan agama, tetapi mungkin tidak meneroka nilai saintifik dan sudut moral tuntutan berkenaan serta keadaan dan cabaran di pihak pengusaha dan industri dalam menjalankan dan memajukan operasi.
Bergantung jenis produk dan skala perniagaan, pengusaha dan industri tanggungjawab mewujudkan sistem jaminan halal bersesuaian.
Namun, persaingan ekonomi dan penggunaan teknologi untuk pengeluaran berskala besar pada era pasaran tanpa sempadan mewujudkan situasi mencabar bagi menjamin kualiti dan memenuhi permintaan pelbagai lapisan pengguna.
Umumnya, tamadun manusia berkembang berasaskan sains dan teknologi. Dalam menjadikan produk halal sebagai komoditi bukan sahaja untuk keperluan umat Islam global, bahkan simbol kualiti untuk masyarakat majmuk, ia perlu dijenamakan mengambil kira persepsi pengguna, iaitu bersih dan selamat serta status nutrisi akan menjadi nilai tambah untuk dijadikan pilihan pengguna.
Produk terproses membabitkan penggunaan dan percampuran bahan aditif serta pembuatan kompleks, disusuli keperluan persekitaran sesuai untuk penyimpanan dan pengedaran secara selamat sepanjang tempoh tertentu memerlukan kupasan dan kajian berlandaskan ilmu bagi menjamin kualiti dan keselamatan sebelum terhidang di meja makan.
Faktor nutrisi dan pemakanan betul diambil kira untuk kelangsungan hidup sihat. Ini juga tuntutan Islam agar umatnya makan makanan baik dan tidak berlebihan.
Ini mewujudkan bidang pengajian halal luas dan mula mendapat perhatian institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menterjemahkan konsep berkenaan dalam bentuk ilmu boleh dipraktikkan, bukan retorik semata-mata.
Bidang ini memerlukan gandingan pelbagai kepakaran ekonomi, sains dan teknologi serta sudut pandang agama agar sesuatu produk halal dari segi syariat dan memenuhi piawaian kualiti untuk masyarakat umum, seterusnya bersaing dengan produk negara lain.
Malaysia hab industri halal
Malaysia sebagai negara berusaha menjadi hab dan rujukan halal dunia, mewujudkan sistem latihan, pengurusan, jaminan serta pengauditan halal mungkin dianggap merumitkan oleh setengah pihak.
Namun, ini perlu dibuat jika ingin mempengaruhi persepsi masyarakat moden global semasa.
Pelaksanaan sistem halal juga perlu mengambil kira kewujudan akta dan undang undang sedia ada agar sebarang konflik mungkin timbul tidak mendatangkan implikasi negatif, terutama apabila dibawa ke persada antarabangsa.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri menjadi entiti mengawal selia pensijilan, namun halal Malaysia wujud dalam satu ekosistem membabitkan pelbagai agensi untuk memastikan keselamatan serta kualiti makanan dan hak pengguna.
Antaranya, jabatan perkhidmatan veterinar, bahagian keselamatan dan kualiti makanan, biro pengawalan farmaseutikal kebangsaan, badan standard, akreditasi dan penguatkuasaan berperanan dalam skop kerjasama sihat, termasuk pengguna sendiri yang mempunyai kuasa beli untuk menjatuhkan atau membangunkan sesuatu perniagaan.
Ekosistem ini diharap dapat dimantapkan lagi dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa dan melonjakkan industri halal Malaysia ke peringkat global yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.
Kita perlu berinovasi untuk menambah baik sistem jaminan, kebolehjejakan, penerokaan sumber alternatif, pembangunan produk dan autentikasi. Ini platfom untuk pengkaji, teknologis dan saintis menyumbang idea serta mencari penemuan baharu, selain melatih bakat muda melalui program pengajian, latihan dan penyelidikan.
Oleh itu, peranan IPT boleh digembleng melalui penyaluran dana penyelidikan daripada pelbagai pihak agar selari dengan usaha kerajaan mengembangkan industri dan ekonomi negara.
Usaha ini memerlukan sokongan semua dan berterusan mengikut peredaran zaman. Kesediaan prasarana halal akan membuka peluang untuk mewujudkan konsep halal lebih luas seperti model pelancongan dan penjagaan kesihatan halal yang akan memberi banyak manfaat ekonomi kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Penulis adalah Ketua Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)