Rabu, 13 September 2023 | 9:01am

Ketepi perbezaan pertahan jati diri bangsa

'Tak kenal, maka tak cinta'. Peribahasa ini boleh menggambarkan sikap masyarakat hari ini yang mungkin hanya menghafal Rukun Negara, tetapi tidak memahami semangat ia diwujudkan.

Daripada lima prinsip Rukun Negara itu, prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan juga paling tidak berkesan dalam hati dan jiwa masyarakat. Jika difahami dan dihayati, sudah tentu tahap sopan serta susila masyarakat hari ini mampu mewujudkan suasana aman lagi harmoni dalam negara.

Prinsip ini harus difahami, dihayati dan diamalkan rakyat kerana ia asas penting dalam membina jati diri masyarakat Malaysia. Ia harus dipupuk, terutama mutakhir ini yang nilai kesopanan dan kesusilaan seakan kian terhakis dalam amalan hidup masyarakat.

Jika dilihat suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, pelbagai pihak terutama pemimpin dan penyokong parti memenuhi alam maya dengan pelbagai bentuk naratif. Bagaimanapun, wujud suasana mencemar tatasusila daripada parti dan calon berkempen seolah-olah tiada batas lagi antara kesopanan dan ungkapan mencela.

Sepatutnya, sebagai pendukung negara bangsa Malaysia menjunjung nilai kesopanan dan kesusilaan, mereka perlu mengelak menggunakan tutur kata atau ucapan mencemar prinsip kelima Rukun Negara terutama dalam isu 3R (agama, Raja dan bangsa).

Selepas berakhir PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, kini tiba masa semua pihak berkepentingan menumpukan usaha membina semula negara, menyingkirkan elemen negatif tidak membina, membuang masa atau mencemar nilai murni sentiasa dijunjung dan menjadi jati diri masyarakat kita.

Semua pihak perlu kembali kepada teras dan prinsip Rukun Negara bertunjangkan nilai budi pekerti bangsa Melayu yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santunnya. Tunjang kepada negara bangsa Malaysia ini akan sentiasa kukuh jika semua rakyat Malaysia mendukung prinsip murni ini.

Hindari ucapan dorong perpecahan

Sejarah menunjukkan masyarakat Islam dan Melayu tidak boleh menerima sesuatu dengan kekerasan atau perbuatan dan percakapan memiliki unsur jelik. Semua pihak perlu memandang ke hadapan untuk bersama-sama membina dan mengukuhkan negara ini.

Jika mahu memaju dan merancakkan pembangunan Malaysia MADANI, semua pihak perlu mempertingkatkan tekad untuk mengukuhkan perpaduan seluruh masyarakat. Kita perlu berlapang dada dan mengatur langkah untuk kembali memberikan fokus kepada perkara utama perlu diperbaiki.

Sempena sambutan ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia, semua pihak perlu berganding bahu membina dan mempertahankan jati diri bangsa Malaysia berdasarkan prinsip Rukun Negara. Tanamkan perasaan hormat menghormati di antara satu sama lain dan hindari segala amalan atau ucapan mendorong perpecahan antara kaum.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Masyarakat), Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X