BARU-BARU ini, Kerajaan Perpaduan mahu memperkenalkan Dasar Anti-Ali Baba (rent-seeking) dalam proses perangkaan seperti dipersetujui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Julai lalu.
Budaya 'Ali Baba' ini mengakibatkan pelbagai masalah seperti rasuah dan ketirisan ekonomi. Dalam konteks perumahan, ia menjadi barah mengakibatkan perumahan kos rendah dimiliki orang tidak layak dan tidak sampai kepada golongan sasaran.
Apa yang pasti fenomena Ali Baba dalam pemilikan rumah kos rendah menimbulkan cabaran serius terhadap tujuan asal program menggalakkan lebih banyak rakyat memiliki rumah di samping mewujudkan impak sosial merosakkan.
Fenomena ini merangkumi unsur penyalahgunaan, rasuah dan manipulasi sistem untuk mencapai manfaat perumahan kos rendah tanpa memenuhi kriteria ditetapkan.
Fenomena Ali Baba merosakkan masyarakat dan pembangunan negara. Pertama, isu ini menghakis prinsip keadilan sosial yang sepatutnya diwujudkan melalui program perumahan kos rendah.
Golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan tempat tinggal terjejas apabila peluang itu direbut mereka lebih mampu secara kewangan. Selain itu, fenomena ini melebarkan jurang sosioekonomi.
Ketidaksetaraan antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi semakin melebar kerana individu lebih mampu memanfaatkan sistem ini untuk kepentingan peribadi. Ini mewujudkan perasaan tidak puas hati kalangan golongan berpendapatan rendah dan memburukkan lagi ketidakstabilan sosial.
Dalam usaha menyediakan tempat tinggal terjangkau kepada golongan berpendapatan rendah, kerajaan melancarkan pelbagai program perumahan kos rendah untuk memberi peluang kepada golongan layak memiliki rumah.
Natijahnya, objektif asal untuk memberi perumahan mampu milik kepada penduduk miskin masih tidak tercapai. Pemilikan perumahan kos rendah adalah isu lama mendominasi agenda pembangunan sosial di Malaysia.
Hakikatnya, golongan berpendapatan rendah sering menghadapi kesukaran mendapatkan tempat tinggal terjangkau di tengah-tengah kenaikan kos perumahan melampau.
Justeru, untuk mengatasi cabaran pemilikan perumahan kos rendah dibayangi amalan Ali Baba tidak terkawal ini, tindakan tegas dan komprehensif diperlukan.
Pertama, proses pemilihan pemilik perumahan kos rendah perlu diperketat dan diperlakukan secara telus dan adil.
Sistem penyaringan pemohon harus diperkuat dengan lebih ketat dan pengesahan kewangan teliti perlu dilakukan untuk memastikan individu layak diberikan peluang berkenaan.
Kedua, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan perlu ditingkatkan. Tindakan tegas mesti diambil terhadap individu atau pihak terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan penyelewengan pemilikan perumahan kos rendah.
Selain itu, pendidikan awam dan kesedaran pentingnya tujuan asal program perumahan kos rendah perlu ditingkatkan. Masyarakat perlu memahami pemilikan perumahan bukan hak melulu, tetapi tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan.
Masalah pemilikan perumahan kos rendah tercemar akibat budaya Ali Baba adalah isu perlu diselesaikan dengan serius. Implikasi sosial dan ekonomi terhasil daripada fenomena ini merugikan masyarakat secara keseluruhannya.
Menerusi tindakan tegas dan pendekatan holistik, kerajaan dan masyarakat perlu berkolaborasi untuk menangani cabaran ini demi membina masyarakat lebih adil, saksama dan berdaya maju.
Penulis adalah Ketua Makmal Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia