Selasa, 5 September 2023 | 9:33am
Foto hiasan. - Foto NSTP/Yong Chee Choong
Foto hiasan. - Foto NSTP/Yong Chee Choong

Program sukarelawan mahasiswa wajar beri impak kepada masyarakat

Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bukan sahaja berperanan melahirkan graduan 'laris' dalam pasaran kerja, bahkan memiliki kemahiran, pengetahuan dan kepemimpinan.

Ini kerana ekosistem pendidikan tinggi berkembang pesat seiring perubahan landskap global dinamik. Rangsangan wilayah ekonomi dan interaksi kemanusiaan kini memberikan impak besar kepada struktur pendidikan tanpa menghilangkan asas dan nilai asal negara.

Justeru, IPT mahupun universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan swasta mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program sukarelawan masyarakat.

Melalui sukarelawan, mahasiswa dapat meluaskan jaringan sosial, baik dalam kalangan mahasiswa sendiri, komuniti atau pihak industri berpotensi.

Dalam cabaran persaingan ekonomi, graduan dengan nilai kompetitif dan berdaya saing menjadi pilihan majikan dan organisasi.

Oleh itu, mahasiswa perlu bijak menyeimbangkan antara tuntutan kecemerlangan akademik dengan pengalaman kepemimpinan.

Hakikatnya, mahasiswa proaktif dalam aktiviti khidmat sosial dan masyarakat pasti dirujuk mempunyai kepemimpinan baik, empati tinggi, semangat kerja berpasukan dan bertoleransi.

Tidak hairanlah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Program Semarak Siswi Madani bertujuan memperkasa bakat dan kemahiran mahasiswa dalam menangani isu serta masalah komuniti setempat.

Di negara ini, khidmat sukarelawan dalam kalangan belia masih lagi di peringkat sederhana. Hanya sebilangan kecil terbabit dalam aktiviti masyarakat ini.

Antara puncanya ialah kecanggihan teknologi maklumat menjadikan mahasiswa lalai hingga 40 peratus belia mencatatkan peratusan kurang tidur akibat penggunaan gajet.

Pensyarah IPT perlu lebih kreatif 

Hakikatnya, mahasiswa perlu bijak merebut peluang dalam program sukarelawan dianjurkan di IPT. Pelbagai bentuk program sukarelawan boleh dipilih sama ada berbentuk kesihatan, usahawan, kebudayaan, perkhidmatan atau teknikal.

Mahasiswa boleh menggunakan peluang ini untuk mempraktikkan apa dipelajari di dalam bilik kuliah lantas menyumbang semula kepada masyarakat.

Ini juga menuntut pensyarah IPT supaya lebih kreatif menambahkan elemen sukarelawan ini sama ada dalam subjek tertentu atau dijadikan antara aktiviti wajib fakulti.

Bagaimanapun, penambahan ini perlu dipastikan tidak membebankan, sekali gus tidak lari daripada objektif asal program ditawarkan.

Pada masa sama, pendekatan program sukarelawan perlu diubah daripada bentuk khidmat masyarakat kepada program pembabitan masyarakat.

Ini bertujuan menggalakkan mahasiswa membantu membangunkan masyarakat dan berubah daripada kehidupan sebelum ini.

Ada baiknya program penglibatan masyarakat dalam sesuatu kelompok lebih khusus dilakukan dalam tempoh panjang, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat perubahan pada hujung pengajian, ini juga membuka potensi untuk mahasiswa terus menabur jasa kepada masyarakat itu walaupun sudah menjadi siswazah.

Bukan itu sahaja, mahasiswa juga disarankan bekerjasama dalam membantu masyarakat terutama meningkatkan sosioekonomi mereka. Universiti luar negara sudah lama mempraktikkan kaedah ini, misalnya di Thailand, Jepun dan Australia.

Contohnya, mahasiswa ikuti kursus pertanian dan kejuruteraan di universiti di Thailand bekerjasama membantu petani di luar bandar. Inovasi teknologi seperti mesin menuai padi berjaya membawa perubahan kepada peningkatan produktiviti penduduk.

Oleh itu, semua pihak perlu menyokong mahasiswa dalam aktiviti sukarelawan dengan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti mesti menyediakan ruang kepada mahasiswa merencanakan aktiviti berjiwa besar.

Institusi pendidikan perlu segera memberi kesegaran dalam kaedah pembentukan graduan holistik, iaitu bukan setakat berkemahiran tinggi, malah mempunyai jati diri Malaysia kuat.

Sekiranya tidak dipraktikkan dan diberikan penekanan terhadap manfaat kepada komuniti, negara hanya akan melahirkan graduan 'memagar diri bagai aur'.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X