ISU rasuah dan penyalahgunaan kuasa kembali menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ada beberapa wakil parti disyaki melakukan rasuah secara implisit sebagai taktik memenangi hati pengundi.
Rasuah secara implisit ini tidak membabitkan pertukaran wang secara terang-terangan sebaliknya, membabitkan penyalahgunaan kuasa, penyaluran bantuan dan projek secara tidak adil serta tindakan bagi mempengaruhi keputusan pengundi.
Contohnya, ada pemimpin dan parti melaksanakan pembangunan infrastruktur dan penyaluran bantuan ke kawasan dikuasai parti tertentu atau pengundi yang diharap menyokong mereka.
Rasuah secara implisit ini dikhuatiri menyebabkan calon terdedah kepada kesalahan pilihan raya, berpotensi memaksa pilihan raya diadakan semula, seperti berlaku di kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini.
Walaupun kelihatan sebagai tindakan biasa atau menonjolkan sikap 'baik hati', sebenarnya ia satu bentuk rasuah lebih halus dan kompleks. Ia berpotensi merosakkan integriti proses pilihan raya dan mempengaruhi keputusan pengundi.
Dalam menghadapi isu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bertindak tegas. Mereka perlu menyiasat laporan dan dakwaan diterima dengan teliti dan cekap.
Langkah ini bukan sahaja penting untuk menegakkan keadilan ketika PRN, tetapi juga untuk memastikan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dapat dipelihara.
Sebagai tambahan, SPRM juga perlu meningkatkan pemantauan mereka terhadap aktiviti parti, terutama ketika tempoh kempen. Pendidikan dan kesedaran segala elemen membentuk rasuah dan bagaimana ia boleh mempengaruhi proses pilihan raya harus diperkasa.
Calon, parti perlu berhati-hati
Dalam konteks lebih besar, semua parti dan calon bertanding perlu berhati-hati dan memahami kesalahan serta hukuman berkaitan kesalahan pilihan raya, terutama aktiviti kempen berunsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Ini termasuk kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954), Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
AKPR 1954 mempunyai undang-undang ketat, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya, termasuk tidak boleh menjalankan siasatan, memberikan denda terhadap calon atau siapa sahaja melanggar undang-undang pilihan raya.
Bagaimanapun, undang-undang sedia ada masih membolehkan SPRM, polis dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa dan kesalahan berkaitan PRN apabila ada laporan.
Setiap calon harus memahami dengan jelas peruntukan AKPR 1954 mengandungi kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Ini termasuk Seksyen 8 (menjamu), Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar) dan Seksyen 10 (rasuah) berlaku ketika atau selepas tempoh pilihan raya. Hukumannya boleh merangkumi penjara, pembatalan kelayakan sebagai wakil rakyat dan kehilangan hak mengundi.
Di samping itu, semua parti politik perlu memahami batas perbelanjaan ketika pilihan raya. Mengikut Seksyen 19 akta itu, batas maksimum perbelanjaan pilihan raya adalah RM150,000 untuk setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan RM200,000 untuk setiap kerusi Parlimen.
Keadaan ini membuka peluang untuk pembaharuan dalam AKPR 1954, termasuk memberikan kuasa penguatkuasaan kepada SPR, mengkaji semula batas perbelanjaan pilihan raya dan memperkuatkan audit serta pemeriksaan perbelanjaan pilihan raya.
Calon dan penyokong harus menjalankan kempen dalam batas undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sementara agensi penguatkuasaan harus melaksanakan tugas mereka melindungi proses demokrasi.
Mengikut teori demokrasi, pilihan raya adalah salah satu cara terbaik untuk memerangi rasuah dan memastikan pemilihan adil dan bebas.
Seterusnya, kerajaan terbentuk harus berusaha menjadi berintegriti, stabil dan bebas rasuah serta bekerjasama dengan rakyat untuk melawan rasuah demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang Islam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)