Rabu, 2 Ogos 2023 | 9:55am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sistem penarafan pusat jagaan elak tragedi babit kanak-kanak

Kematian bayi enam bulan ketika dijaga pengasuh di Johor Bahru baru-baru ini terus mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap kualiti perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak hingga ada kecewa terhadap kualiti dan keselamatan sedangkan yuran penjagaan dikenakan mencecah ribuan ringgit.

Sebenarnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab untuk memantau kualiti dan keselamatan perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak.

Oleh itu, JKM mewajibkan semua pusat jagaan untuk berdaftar di bawah peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993 tetapi masih ada yang tidak berdaftar dengan agensi berkenaan, sekali gus menyebabkan kebanyakan kes penderaan kanak-kanak dan kecuaian pengasuh berlaku di pusat jagaan tidak berdaftar.

Sememangnya, mekanisme kawalan kualiti perkhidmatan pusat jagaan dilaksanakan JKM bukanlah mudah hingga ramai pengendali pusat jagaan enggan mendaftarkan perkhidmatan masing-masing kerana proses rumit membabitkan pelbagai agensi mengambil masa lama.

Tambahan pula, JKM kekurangan pegawai pemeriksa menyebabkan pemeriksaan sukar dibuat ke atas pusat jagaan tidak berdaftar secara efektif. Tidak hairanlah, JKM memerlukan kerjasama ibu bapa untuk membuat aduan terhadap operasi pusat jagaan tidak berdaftar supaya tindakan dapat diambil tetapi hal itu kurang diketahui.

Umumnya, ibu bapa sering bergantung kepada syor rakan-rakan dan ahli keluarga. Oleh itu, pilihan mereka terhad kepada perkhidmatan pernah digunakan sedangkan mereka mungkin mempunyai keperluan berbeza. Bahkan, maklumat tersebut sukar disahkan kerana hanya berdasarkan pandangan peribadi.

Faktor ekonomi, masa bekerja dan jarak pusat jagaan dari rumah turut mempengaruhi ibu bapa memilih pusat jagaan tidak berdaftar.

Tidak mengambil Kursus Asuhan Permata

Pengasuh di pusat jagaan tidak berdaftar lazimnya tidak mengambil Kursus Asuhan Permata, iaitu kursus wajib melatih pengasuh mengenai nisbah bilangan pengasuh kepada kanak-kanak dijaga, diet dan nutrisi serta amalan persekitaran asuhan selamat.

Kesannya, pusat jagaan tidak berdaftar boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko keselamatan seperti tiada laluan kecemasan dan pengudaraan baik. Malah, pengasuh boleh terleka kerana menjaga terlalu ramai kanak-kanak dalam satu masa.

Oleh itu, satu sistem penarafan kualiti perkhidmatan dan carian pusat jagaan komprehensif, sistematik dan selaras Akta Pusat Jagaan 1993 wajar dibangunkan untuk membantu ibu bapa supaya boleh menyemak status pendaftaran, membaca ulasan pengguna dan menapis carian mengikut kehendak masing-masing menggunakan sistem berkenaan.

Pengguna seharusnya boleh membuat ulasan terhadap perkhidmatan diterima secara berkala selain membuat bayaran yuran bulanan. Dengan itu, bebanan ditanggung JKM boleh dikurangkan apabila terdapat alternatif untuk menyemak kualiti perkhidmatan pusat jagaan. Aduan yang diterima juga boleh membantu JKM mengenal pasti dengan lebih pantas mana-mana pusat jagaan yang perlu diambil tindakan dengan segera.

Lebih menarik lagi sekiranya sistem itu membolehkan ibu bapa berinteraksi untuk mendapatkan maklumat lebih jelas. Umum sedia maklum, setiap kanak-kanak mempunyai keperluan berbeza terutama berkeperluan khas. Interaksi yang berkesan membantu ibu bapa membuat jangkaan lebih tepat berkenaan kompetensi pengasuh, keadaan sebenar pusat jagaan, aktiviti pembelajaran dan kurikulum yang digunakan dalam menentukan sama ada pusat jagaan tertentu sesuai dengan keperluan anak mereka.

Sistem berorientasikan pasaran menggalakkan pusat jagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan secara berterusan contohnya dari aspek kelayakan pengasuh.

Cadangan ini boleh membantu mencegah kecuaian pengasuh dan penderaan kanak-kanak di pusat jagaan dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa terhadap kepentingan menyemak kualiti perkhidmatan pusat jagaan berasaskan data sahih.

JKM akan dapat memantapkan mekanisme kawalan kualiti pusat jagaan tanpa merombak akta yang sedang berkuat kuasa, manakala pengendali pusat jagaan akan lebih bermotivasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dengan harga lebih kompetitif. Usaha membangunkan sistem ini dijangka dapat mengembangkan pusat jagaan kanak-kanak berkualiti tinggi dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X