Sabtu, 29 Julai 2023 | 11:01am

Patuhi etika, pastikan kempen dalam kerangka akhlak mulia

SUASANA panas semasa pilihan raya dianggap sebagai suasana perang bagi segelintir ahli masyarakat, sekali gus menjadikan pelbagai kaedah dan strategi digunakan bagi meraih undi.

Bagaimanapun, peraturan perlu dijaga sesuai dengan falsafah daripada Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Pada masa sama, adalah amat penting bagi setiap ahli politik, jentera dan penyokong parti untuk sentiasa beradab sesuai dengan falsafah Kesopanan dan Kesusilaan.

Sepanjang tempoh panas ini, sebagai umat Islam terutamanya, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian.

Pertama, tidak berbohong. Nabi SAW sama sekali tidak membenarkan pembohongan. Pembohongan adalah dosa besar. Namun dalam riwayat hadis, ada tiga keadaan yang sedikit kelonggaran diberikan, iaitu dalam suasana perang, mendamaikan orang bergaduh dan kehidupan rumah tangga suami isteri.

Walaupun ada kelonggaran dalam suasana perang, ia tidak seharusnya digunakan dalam suasana pilihan raya. Ini kerana pembohongan dalam suasana perang adalah strategi sahaja, manakala pembohongan dalam suasana pilihan raya adalah pendustaan semata-mata.

Kedua, tidak membuat janji palsu. Islam meletakkan tidak menunaikan janji adalah antara sifat munafik, iaitu berjanji tetapi tidak menepatinya. Dalam suasana pilihan raya, manifesto adalah perakuan janji daripada parti politik.

Oleh itu, manifesto yang dibuat hendaklah dalam kemampuan, bukan sekadar janji kosong dan janji palsu. Maka, setiap parti politik sepatutnya membuat kerja rumah untuk tawaran-tawaran dalam manifesto.

Pada masa sama, setiap manifesto tidak seharusnya menggugat jati diri Malaysia berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketiga, tidak menghina. Nas al-Quran menyatakan: "Janganlah satu kaum menghina kaum yang lain... dan janganlah wanita menghina wanita yang lain." (Surah al-Hujurat: 11)

Oleh itu, memberikan gelaran kepada sesuatu kaum atau kelompok lain dengan perkataan tidak baik, menghina bentuk badan pihak lawan seperti rendah, gemuk dan kurus serta menggunakan kecacatan yang ada pada pihak lawan sebagai bahan kempen menjadi tindakan menghina. Semua tindakan menghina ini tidak seharusnya dilakukan.

Elak sebar fitnah, burukkan parti lawan

Adapun menyebut kekurangan pihak lawan dengan nada baik, maka ia lebih harmoni. Contohnya menyebut mengenai kesihatan pihak lawan yang mungkin banyak mengganggu tugas sebagai wakil rakyat jika menang. Namun, menyebut penyakit dalam nada mengejek atau menghina adalah tindakan tidak berakhlak mulia.

Keempat, tidak memfitnah. Kita melihat wujud makian, kutukan, tuduhan palsu dan fitnah semasa suasana pilihan raya. Menyebarkan perkara tidak betul atau mereka cerita yang tidak tepat dengan niat mengaibkan seseorang adalah tindakan fitnah.

Semua perkara ini tidak seharusnya berlaku, sebaliknya kita harus berjuang dengan harmoni dan damai.

Kelima, tidak bermusuh. Permusuhan adalah sesuatu dibenci dalam Islam. Permusuhan sesama warganegara dan permusuhan sesama umat Islam tidak seharusnya berlaku. Permusuhan adalah antara sebab untuk dihumban masuk ke dalam neraka.

Antara penyokong-penyokong parti yang hadir memberi sokongan kepada calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Sungai Tua, N17 Gombak Setia dan N18 Hulu Kelang pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Batu 7 Gombak hari ini. - Foto BERNAMA
Antara penyokong-penyokong parti yang hadir memberi sokongan kepada calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Sungai Tua, N17 Gombak Setia dan N18 Hulu Kelang pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Batu 7 Gombak hari ini. - Foto BERNAMA

Nas al-Quran menyatakan: "Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Tuhan dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu semua bermusuhan, maka Tuhan mendamaikan antara hati kamu maka kamu semua menjadi bersaudara. Dan kamu semua berada di tepi neraka lalu Tuhan selamatkan kamu semua." (Surah Aali 'Imran: 103)

Setiap kumpulan umat Islam mendakwa bahawa kelompok mereka berpegang dengan tali Tuhan. Perkara ini mesti dibawa perbincangan. Pada masa sama, permusuhan dan berpecah-belah adalah tidak diharuskan dalam agama.

Maka perbezaan politik dan parti tidak seharusnya membawa kepada permusuhan dan perpecahan. Kita satu umat dan kita satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.

Keenam, berusaha ke arah perdamaian. Nas al-Quran menyatakan: "Dan jika dua kumpulan daripada umat Islam bergaduh, maka damaikanlah antara dua kumpulan itu." (Surah al-Hujurat: 9)

Setiap parti politik adalah kumpulan atau dalam bahasa al-Quran disebut sebagai toifah. Nas al-Quran jelas menunjukkan perdamaian mesti diusahakan. Kumpulan tidak mahu berdamai hendaklah diperangi agar kembali kepada perdamaian.

Ini membawa kepada pengajaran bahawa selepas pilihan raya, perdamaian mesti diusahakan. Parti politik mempunyai tugas besar untuk menjaga keharmonian, kebajikan rakyat dan membangunkan ekonomi negeri serta negara.

Pertikaian dan pertelingkahan adalah tidak baik untuk imej negeri dan negara. Cukuplah suasana panas beberapa hari untuk kita berkempen tetapi kita kembali bertaut selepas selesai pilihan raya.

Masyarakat memerlukan wakil rakyat serius menjaga negeri dan negara serta memelihara Islam sebagai jati diri negara ini. Kita mengharapkan kempen politik dalam suasana kasih sayang.

Kempen boleh difahami akan menjadi panas tetapi biarlah ia masih harmoni. Pihak menang tidak mendapat semua bahkan mempunyai tugas besar mentadbir dan membangun negeri.

Pihak yang kalah tidak rugi serugi-ruginya, sebaliknya mempunyai tugas penting sebagai semak dan imbang kepada kerajaan. Oleh itu, kempen pilihan raya hendaklah dalam kerangka akhlak mulia.

IKUTI LANGSUNG PENAMAAN CALON 2023 DI SINI

Berita Harian X