Antara dilema sering dihadapi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi adalah memilih jurusan mana yang sesuai untuk diambil berdasarkan kelulusan diperoleh serta prospek kerjaya apabila tamat belajar.
Hakikatnya, pemilihan jurusan tepat sangat penting dalam menentukan arah kerjaya dan masa depan lepas SPM. Namun, pemilihan jurusan adalah proses kompleks dan memerlukan pertimbangan serius.
Pelajar perlu membuat penilaian diri dan mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat untuk membuat keputusan tepat. Oleh itu, pelajar perlu meneliti jurusan akan diambil dan memerlukan pertimbangan sewajarnya berdasarkan minat, kelayakan akademik, kemampuan diri, prospek kerjaya, keupayaan kewangan dan gaya pembelajaran.
Minat adalah faktor penting dalam membuat keputusan pemilihan jurusan pengajian akan diambil kerana ia mampu memberi motivasi dan kepuasan dalam pembelajaran. Justeru, mereka perlu mengenal pasti subjek atau bidang benar-benar menarik minat mereka.
Apabila seseorang mengejar sesuatu berdasarkan minat, mereka akan lebih bersemangat dan berjaya dalam perkembangan kerjaya mereka. Oleh itu, penting bagi pelajar mengenalpasti minat mereka sama ada dalam bidang sains, seni, sastera, perniagaan atau teknologi.
Namun, faktor penting perlu dipertimbangkan adalah memilih jurusan berdasarkan keputusan SPM diperoleh. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar mempunyai keputusan baik dalam mata pelajaran sains, jurusan seperti perubatan, sains komputer atau kejuruteraan mungkin menjadi pilihan sesuai.
Selain minat dan kelayakan, kemampuan juga perlu dipertimbangkan. Kemampuan merangkumi keupayaan seseorang melaksanakan tugas atau tanggungjawab dalam bidang tertentu. Mereka perlu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan serta mencari jurusan sesuai dengan profil diri.
Setiap jurusan mempunyai tuntutan dan cabaran berbeza. Pelajar perlu mempertimbangkan sama ada mempunyai kemampuan menangani tugas dan cabaran dalam bidang dipilih. Contohnya, jika seseorang memiliki kebolehan matematik yang baik, maka jurusan seperti sains komputer, kejuruteraan atau matematik mungkin lebih sesuai jadi pilihan.
Oleh itu, memahami kebolehan diri dapat membantu pelajar memilih jurusan memaksimumkan potensi mereka dan memberi mereka peluang untuk berkembang dalam kerjaya apabila tamat pengajian kelak.
Pelajar juga perlu mengambil kira prospek kerjaya dan potensi pertumbuhan dalam bidang dipilih. Mereka perlu mengkaji dengan teliti trend pasaran pekerjaan dan permintaan bagi bidang diminati. Sekiranya terdapat permintaan tinggi dalam bidang tertentu, pelajar mungkin mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan.
Mengambil kira faktor ini dapat membantu mengurangkan risiko pengangguran selepas tamat pengajian dan meningkatkan kebolehan pelajar bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Selain itu, pelajar juga perlu mempertimbangkan keupayaan kewangan mereka sebelum membuat pilihan bidang pengajian. Beberapa jurusan mungkin memerlukan kos pengajian tinggi, justeru pelajar perlu membuat kajian terperinci mengenai kos pengajian, bantuan kewangan yang ada dan kemampuan kewangan masing-masing.
Jika kos pengajian jurusan tertentu terlalu tinggi dan melebihi kemampuan kewangan, mereka mungkin perlu mencari alternatif atau mencari bantuan kewangan tambahan.
Setiap jurusan dan institusi pendidikan mempunyai pendekatan serta cara pembelajaran berbeza. Sesetengah pelajar mungkin lebih selesa dengan pendekatan pembelajaran praktikal dan berdasarkan projek seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Apa yang penting, pemilihan jurusan yang tepat atau sesuai adalah langkah penting menentukan masa depan lepasan SPM. Pelajar perlu mengambil masa meneliti dan mengkaji pelbagai bidang pengajian ditawarkan. Mereka perlu mengumpulkan maklumat kursus ditawarkan, termasuk struktur program, mata pelajaran diajar, peluang pengalaman praktikal dan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.
Pensyarah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.