Sabtu, 10 Jun 2023 | 10:40am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Indonesia perlu kerjasama Malaysia jadi kuasa maritim

Lawatan Presiden Jokowi ke negara ini memperlihatkan kepentingan pertalian dua hala antara Indonesia dengan Malaysia yang menjadi tonggak kepada kestabilan dan keselamatan serantau.

Realitinya, kedua-dua negara menjadi teras utama dalam hala tuju ASEAN dan membentuk orientasi baharu, pentas keselamatan akan kian dicanang dalam agenda dan acuan kepemimpinan Indonesia akan memberikan pulangan kepada negara dan kestabilan serantau.

Peranan Malaysia dalam memperkukuh benteng jaminan cegah rintang dengan mempertingkat strategik pertahanan dan keselamatan dengan Jakarta akan membentuk kuasa maritim bersepadu dalam menangani cabaran konvensional dan bukan konvensional.

Malaysia dilihat kritikal dalam perancangan ini bagi membekalkan kapasiti bersama dalam bidang ekonomi, sumber komoditi dan rangkaian pertahanan serta keselamatan dalam mencegah sebarang risiko konflik.

Sebenarnya, Indonesia diperlukan sebagai penampan daripada perluasan kuasa China di rantau ini dan menjadi sekutu penting Australia dalam menjamin kelangsungan keselamatannya. Laut Natuna Utara berada dalam lingkungan 200 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia, sekali gus terletak di lokasi pertikaian dengan China.

Langkah Jakarta memperluas kapasiti defensif dan cegah rintang di Kepulauan Natuna, mencerminkan hasrat mempertahankan aset geostrategik penting di pintu masuk Laut China Selatan bagi menyeimbangi China dalam pertikaian berkenaan.

Sandaran kepada Indonesia dalam memimpin agenda diplomasi dan dialog dalam penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan juga dicerminkan dalam percubaan Jakarta mengajak proses persetujuan Kod Tatalaku (CoC) semasa Sidang Kemuncak ASEAN tetapi sedar memerlukan sokongan negara serantau yang masih terikat dengan pengaruh dan orientasi Beijing.

Kedudukan geostrategik

Indonesia semakin dipikat Beijing dan Washington yang melihat kedudukan geostrategik sebagai faktor tarikan utama. Negara itu berperanan melakar laluan perdagangan strategik baharu selain Selat Melaka.

Kawalan ke atas Selat Sunda dan Selat Lombok menjadi laluan terpantas serta terdekat oleh kapal selam China ke Lautan Hindi menjadi faktor sandaran baharu kepada Beijing tetapi pada masa sama, Indonesia dilihat Barat sebagai pelaku penting sebagai kuasa pengantara dan pengimbang terhadap China.

Diakui Indonesia dan Malaysia terpalit dalam sejarah pertikaian wilayah dan persaingan mendominasi kepemimpinan serantau serta ASEAN. Namun, ia perlu diubah dan dibentuk dalam wacana baharu demi pulangan lebih berkesan kepada kedua-dua pihak.

Hakikatnya, agenda dipacu Indonesia sejak 2014 dalam menjadi Global Maritime Nation memerlukan kerjasama jiran serantau termasuk Malaysia kerana peranan negara ini diperlukan untuk menyokong agenda berkenaan berpaksikan kelebihan dalam sektor minyak dan gas, ekonomi dan bidang digital, jaminan keselamatan makanan dan rantaian bekalan.

Kedua-dua negara tidak boleh terperangkap dalam kepompong lama menghambat potensi baharu membentuk kerjasama lebih bersepadu dan meluas. Oleh itu, persaingan dalam bidang komoditi termasuk sawit, minyak dan gas serta pertikaian wilayah dan tenaga kerja tidak boleh menjadi penghalang.

Apatah lagi Indonesia dan Vietnam sendiri menyelesaikan pertikaian EEZ, akhir tahun lepas selepas 12 tahun, sekali gus perlu dijadikan asas mempercepat penyelesaian pertikaian wilayah maritim antara KL dengan Jakarta.

Kedua-dua negara perlu mempertingkatkan keyakinan melalui keterikatan budaya, geografi dan kesedaran realiti impak konflik semasa kerana ancaman bersama di Laut China Selatan, cabaran bukan tradisional, pembangunan ekonomi pascapandemik, keselamatan makanan dan rantaian bekalan memerlukan kesepaduan bersama.

Hakikatnya, kesan limpahan daripada potensi perkembangan ekonomi di Nusantara akan merangsang ekonomi Sabah dan Sarawak. Indonesia sendiri adalah rakan dagang keenam terbesar negara pada 2022 dan kedua terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan RM130.14 bilion.

Prospek dalam mengeratkan hubungan dua hala dari segi modal insan, hubungan sosial, pendidikan dan penyelidikan berimpak tinggi wajar menggariskan dasar hubungan kedua-dua negara.

Mobiliti kepakaran, ilmu, teknologi dan rangkaian pendidikan serta penyelidikan membolehkan kesedaran dan pembangunan inklusif serta memperbaiki jurang maklumat dan kesefahaman antara kedua-dua negara.

Oleh itu, usaha perlu diteruskan untuk memperbanyak kesan limpahan dan saling bergantungan secara positif termasuk dalam industri pelancongan serta mobiliti modal insan dalam membentuk domain pertalian baharu.

Justeru, diharap lawatan kerja Jokowi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke Indonesia, dapat memperkukuh hubungan bilateral dalam memacu kepemimpinan serantau, sekali gus menjamin pembangunan progresif rantau ini.

Penulis adalah Penolong Pendaftar Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X