Berdasarkan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 diumumkan semalam, seramai 10,109 atau 2.7 peratus daripada 373,974 calon memperoleh keputusan semua A. Seramai 75,322 calon atau 20.1 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.
Seramai 128,193 calon atau 34.3 peratus mendapat keputusan lulus, manakala 126,793 calon atau 33.9 peratus pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran. Agak mendukacitakan seramai sekitar 0.4 peratus atau 1,439 calon memperoleh keputusan gagal semua subjek.
Bagi yang lulus cemerlang dan lulus dengan kepujian, lazimnya laluan mereka lebih mudah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, tetapi bagaimana dengan calon memperoleh keputusan kurang memberangsangkan.
Antara pilihan patut difikirkan calon 'tidak begitu menjadi' dalam SPM adalah merebut peluang belajar dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
TVET memberi peluang kepada pelajar memperoleh kemahiran praktikal dan teknikal diperlukan dalam dunia pekerjaan sekali gus mewujudkan akses kepada 'lubang' pekerjaan luas di pelbagai sektor seperti pembinaan, perindustrian dan perkhidmatan.
Kelebihan utama mengambil kursus TVET adalah mereka memperoleh kemahiran praktikal berkaitan sektor pekerjaan pilihan mereka. Mereka boleh bekerja sebagai juruteknik, pembantu jurutera, pemandu kenderaan dan juruelektrik.
Sekiranya pelajar berjaya menyelesaikan kursus TVET dengan cemerlang, mereka mempunyai peluang cerah memperoleh pekerjaan stabil dan berdaya saing atau boleh memulakan perniagaan sendiri dan menjadi usahawan mengikut kemahiran dipelajari.
Lepasan TVET miliki masa depan cerah
Pelajar lepasan TVET juga berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti ke peringkat diploma atau sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan kursus diikuti. Bermakna, dalam jangka panjang, lepasan TVET mempunyai masa depan cerah untuk berjaya dalam kerjaya berbekalkan kemahiran dan kelulusan mereka.
Hari ini, negara sedang menuju ke arah negara maju dengan bersandarkan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta ledakan teknologi digitaliasi. Justeru, lepasan SPM tidak harus melepaskan peluang mengikuti kursus TVET terutama dalam bidang teknologi dan inovasi kerana ia sektor semakin berkembang.
Mereka boleh memilih kursus dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan elektrik dan elektronik atau bidang berkaitan digitalisasi. Jelas di sini, dalam usaha meningkatkan ekonomi negara dan kemahiran tenaga kerja, TVET adalah antara program patut dipilih lepasan SPM.
Tidak dinafikan, TVET memberikan kelebihan dari segi memperkembangkan kemahiran profesional dan meningkatkan daya saing seseorang berbanding pelajar mengambil kursus akademik sahaja.
Bahkan, dalam usaha meningkatkan peluang pekerjaan, mengurangkan pengangguran dan mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja di Malaysia, kerajaan menawarkan pelbagai program dan inisiatif mendorong majikan mengambil lepasan TVET bekerja.
Ini kerana mereka bukan sana memiliki kemahiran praktikal diperlukan dalam dunia pekerjaan, bahkan berupaya menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan hari ini dan akan datang terutama dalam bidang teknikal, perkhidmatan dan IT.
Lepasan SPM tidak seharusnya melepaskan peluang menyambung pelajaran dalam bidang TVET kerana selain membolehkan diri memiliki kemahiran khas, peluang juga terbuka luas kepada mereka untuk menjadi teknokrat berjaya.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia