Tatkala keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bakal diumumkan esok, negara dikejutkan dengan laporan sekitar 40 peratus daripada purata 500,000 lepasan SPM direkod melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun.
Ini bermakna sekitar 300,000 daripada jumlah itu tidak melanjutkan pelajaran dan kemungkinan besar bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing.
Ironinya tidak salah lepasan SPM menceburi bidang ekonomi gig yang dilihat menjanjikan pendapatan lumayan dalam jangka masa pendek berbanding makan gaji, senario ini perlu dilihat dalam spektrum lebih besar dan jangka masa panjang.
Barangkali, ramai kalangan belia ini berbakat besar dan berpotensi menjadi tenaga mahir atau golongan profesional jika menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Anak muda ini tidak boleh dibiarkan terpesona dan terpengaruh dengan kadar pendapatan kasar tinggi diperoleh dalam ekonomi gig walaupun bersifat sementara, sebaliknya mereka perlu disedarkan kepentingan menyambung pengajian untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup diri serta keluarga bagi jangka masa panjang.
Pembelajaran sepanjang hayat ialah konsep pendidikan amat penting dalam proses pembangunan manusia khususnya potensi belia bagi merintis jalan ke arah membina masyarakat dan negara bertamadun tinggi serta maju. Justeru, anak muda perlu diterapkan kepentingan ilmu dan budaya pembelajaran berterusan supaya tidak cepat mengalah dan putus asa.
Dalam konteks ini kerajaan wajar melaksanakan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar mengapa lepasan SPM yang layak, enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Adakah ia berpunca daripada desakan hidup keluarga sehingga mereka terpaksa bekerja mencari duit untuk menampung keluarga atau faktor lain seperti kurang motivasi untuk terus belajar atau terpengaruh rakan sebaya.
Bantu, bimbing anak buat keputusan
Pada masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan besar mencetuskan kesedaran anak masing-masing dengan memujuk, mendorong dan menggalakkan mereka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi jika terbukti berkelayakan serta mampu.
Ibu bapa perlu membantu dan membimbing anak membuat keputusan betul serta tepat dengan mengambil kira keputusan peperiksaan, peluang yang ada serta minat mereka. Mereka perlu disedarkan perjalanan hidup dan masa depan kerjaya mereka masih panjang, tidak perlu tergesa-gesa masuk ke alam pekerjaan sejurus selepas tamat SPM.
Lepasan SPM perlu diyakinkan supaya tidak menjadikan kerjaya dalam ekonomi gig sebagai pekerjaan separuh masa sebaliknya, sementara penunggu keputusan peperiksaan dan menumpukan perhatian melanjutkan pengajian sejurus keputusan diumumkan.
Hakikatnya peluang untuk menyambung pengajian cukup terbuka luas di negara ini. Bagi yang mencatatkan keputusan cemerlang, boleh peluang terbuka luas untuk belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan pelbagai program pengajian bermula daripada peringkat matrikulasi, asasi, diploma dan ijazah.
Bagi yang berminat dalam bidang teknikal dan kemahiran, mereka boleh memohon mengikuti kurus diminati dengan menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta berusaha mengembangkan kerjaya masing-masing selepas itu sebagai pakar bidang.
Selain itu, orang muda juga perlu merebut beberapa inisiatif baharu bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti melaksanakan sistem pendidikan secara anjal, melakukan sesi pembelajaran secara fizikal selama beberapa tahun di universiti dan rumah, serta beberapa kursus dipendekkan dari empat tahun ke tiga tahun.
Justeru, tiada alasan bagi golongan muda untuk belajar setakat SPM atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebaliknya boleh meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi mengikut minat masing-masing.
Dalam hal ini, dorongan dan paksaan daripada ibu bapa amat perlu walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah ekonomi serta peningkatan kos sara hidup. Apa yang penting usah jadikan kekangan ekonomi sebagai alasan untuk berkompromi soal pendidikan dan masa depan anak-anak.
Mereka perlu sentiasa disedarkan mengenai kepentingan ilmu dan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam mengharungi cabaran mendatang.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia