REVOLUSI Industri 4.0 (IR4.0) memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan sendiri melalui penggunaan media sosial baharu, tetapi penulis atau pencipta kandungan perlu kreatif untuk memastikan hasil karya mereka tular.
Kandungan dicipta bukan sahaja memanfaatkan elemen serius, jenaka dan seram, bahkan turut merangkumi isu semasa, polemik agama, kisah keluarga dan rumah tangga, topik sensual dan seksual, gosip artis, ahli sukan dan politik.
Tujuan kandungan direka adalah untuk mencari perhatian, meraih populariti dan publisiti, sekali gus menambah jumlah pengikut serta menaikkan kadar tontonan. Hasilnya, mereka akan diangkat sebagai pempengaruh sosial dan berupaya menjana pendapatan secara langsung.
Dengan itu, mereka akan menggunakan pengaruh diperoleh untuk pengiklanan dan pemasaran produk, malah ada menjadi pengasas serta penjual produk.
Malangnya, ada pengguna menjadikan kandungan media sosial sebagai medium untuk mencipta berita palsu dan bohong (hoax), ujaran kebencian, bahan kontroversi, provokatif dan propaganda menyesatkan.
Kandungan kreatif sebegini menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana mereka sanggup membelakangkan panduan agama dan kesantunan sosial, malah terdapat unsur penipuan, pencurian harta intelek, menjatuhkan maruah dan mengaibkan, elemen lucah dan sensitif serta unsur maksiat dan dosa.
Hakikatnya, berasaskan aturan Islam dan kesantunan sosial setempat, terdapat garis panduan jelas dalam mencipta kandungan khususnya di media sosial.
Pertama, tidak mempunyai unsur bertentangan syarak seperti unsur pemujaan dan keyakinan terhadap makhluk halus, ilmu sihir, khurafat dan syirik yang menjadi dosa besar kerana membabitkan akidah.
Kedua, tidak mempunyai unsur maksiat dan dosa yang akan menyebarkan suasana toksik dalam dunia digital seperti pendedahan aurat, pakaian tidak senonoh, pergaulan bebas, hubungan songsang, berpelukan, tarian berlebihan, hiburan melampau, minum arak dan berjudi.
Merosakkan pemikiran, akhlak
Ketiga, tidak mempunyai unsur lucah walaupun Barat menganggapnya sebagai softporn, selain pornografi dan aksi lucah kerana ia boleh merangsang nafsu seksual pengguna, sekali gus merosakkan pemikiran dan akhlak.
Keempat, tidak mempunyai unsur penipuan yang dilarang tegas dalam Islam. Perlu diingat, tiada istilah bohong sunat kerana matlamat mendapatkan trafik penonton ramai tidak menghalalkan perbuatan menipu seperti mereka cipta cerita dan kisah tidak berlaku, selain promosi produk dengan testimoni tipu.
Kelima, tidak mempunyai unsur mengaibkan atau menjatuhkan maruah kerana maruah manusia menjadi kehormatan, nilai dan harga diri perlu dijaga seperti pendedahan kisah rumah tangga, hubungan seksual dan lawak bodoh.
Keenam, tidak berlebihan hingga memperbodohkan khalayak pengguna media sosial, pelik, tidak logik dan boleh dipertikaikan kesahihan kandungannya seperti memperbesar-besarkan kisah peribadi dan keluarga yang bersifat tertutup, usaha mencetuskan kemarahan serta pergaduhan atau memaki hamun untuk mencetuskan kontroversi.
Ketujuh, tidak mempunyai unsur sumbang dan jelik yang menghina serta merosakkan nama baik orang atau menggunakan bahasa kesat, kelakuan lucah dan fitnah, sekali gus bertentangan dengan agama dan kesantunan masyarakat Timur.
Kelapan, tidak mempunyai unsur sensitif terutama membabitkan elemen perkauman, agama dan institusi Diraja (3R). Ia dapat mencetuskan perbalahan dan konflik perkauman serta keagamaan yang parah.
Kesembilan, tidak mengandungi unsur plagiarisme dan pencurian harta intelek kerana sebarang peniruan hasil kerja orang sama ada sebahagian atau keseluruhan tanpa sebarang keizinan serta kredit adalah salah dari segi undang-undang.
Tegasnya, pengguna dan pempengaruh sosial perlu menjadi pepatah Melayu sebagai peringatan ketika mencipta kandungan kreatif, iaitu 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa' kerana jejak rakaman dapat ditelusuri walaupun dipadam.
Hakikatnya, setiap kandungan dicipta akan dipertanggungjawabkan baik dari sudut perundangan, pertimbangan syarak dan adab masyarakat. Islam tidak menghalang kreativiti manusia, sebaliknya proses kreatif perlu patuh kepada aturan syariah.
Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya