Plastik kini menjadi penyumbang utama pencemaran di daratan dan lautan. Ramai tidak menyedari plastik adalah musuh 'senyap' kepada manusia dan boleh 'membunuh'. Walaupun bahaya pencemaran plastik diketahui semenjak awal penciptaannya, penghasilan plastik berterusan setiap tahun berikutan permintaan penggunaannya.
Setiap tahun, lapan juta tan metrik sisa plastik dilaporkan memasuki sistem perairan dunia dan berakhir di lautan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberi amaran lautan dijangka mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan menjelang 2050.
Menyedari keburukan plastik, kerajaan mewartakan Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 pada 2018. Pelan Hala Tuju ini mengenal pasti pelbagai cabaran dalam mencapai sasaran penggunaan sifar terhadap plastik sekali guna.
Antara cabaran dihadapi adalah mewujudkan kesedaran kepada masyarakat antaranya Kempen Tiada Plastik iaitu caj ke atas setiap beg plastik sekali guna. Namun, hanya 44 peratus rakyat mengetahui pelan tindakan ini, manakala hanya 64 peratus mengetahui larangan penggunaan penyedut minuman plastik dan 56 peratus rakyat prihatin dengan isu plastik sekali guna.
Lebih membimbangkan, selepas lebih dua tahun pelan ini diperkenalkan, obsesi pengguna dalam penggunaan plastik sekali guna didapati semakin meningkat iaitu 1.16 kilogram (kg) per kapita pada 2018 kepada 16.8 kilogram per kapita pada 2020, menjadikan Malaysia sebagai penyumbang terbesar pencemaran plastik di Asia.
Malaysia menjadi negara penyumbang kedua tertinggi pencemaran plastik di Asia dengan purata setiap individu menggunakan hampir 17 kg plastik setahun. Berdasarkan laporan Tabung Alam Sedunia (WWF), pada 2020, penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia dianggarkan mencecah 148,000 metrik tan.
Penggunaan plastik terus meningkat
Ternyata, penggunaan plastik di negara ini meningkat walaupun wujud pelbagai dasar dan kempen untuk menghindari penggunaan plastik sekali guna. Penggunaan plastik masih lagi tinggi terutama di pasar awam dan kedai runcit, menunjukkan kesedaran masyarakat masih rendah dalam isu ini.
Ini diperkuatkan lagi dengan dapatan kajian Institut Maritim Malaysia (MIMA) pada 2021 berkenaan kesedaran rakyat terhadap isu alam sekitar marin khususnya sisa plastik. Amat mengejutkan, hanya 47.8 peratus responden sedar isu ini, dan 49.3 peratus responden amat bersetuju isu pencemaran alam sekitar marin disebabkan proses semula jadi.
Sementara itu, plastik biodegradable sebagai alternatif menggantikan plastik sedia ada yang didakwa mereput dalam masa singkat tidak menunjukkan hasil seperti diharapkan. Plastik daripada bahan boleh diperbaharui ini gagal menyelesaikan krisis sisa plastik dan masih mengancam kelestarian alam sekitar.
Kerajaan menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025. Justeru, kaedah paling mudah dan berkesan menangani isu plastik adalah kerjasama padu daripada semua pemegang taruh, khususnya masyarakat.
Perlu disedari, memerangi pencemaran plastik adalah tanggungjawab semua rakyat bersama kerajaan. Biarpun ramai sudah terbiasa menggunakan beg plastik dan mungkin sukar mengubah tabiat itu, namun belum terlewat untuk berubah.
Justeru, selain pembangunan dasar, pelan dan kempen, antara strategi paling berkesan boleh diambil untuk meningkatkan kesedaran serta sikap ambil peduli rakyat terhadap isu ini adalah melalui program pendidikan berterusan, selain penyediaan bahan pengganti atau alternatif kepada pengguna.
Berbekalkan maklumat tepat, pengguna bersedia mengubah tabiat penggunaan beg plastik dalam kehidupan seharian dan mengelakkannya daripada berada kekal di alam sekitar.
Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia