Isnin, 22 Mei 2023 | 9:02am
Untuk bertahan dalam industri hartanah kompetitif, ejen perlu meningkatkan pengetahuan dan keterampilan mereka dalam industri. - Foto hiasan
Untuk bertahan dalam industri hartanah kompetitif, ejen perlu meningkatkan pengetahuan dan keterampilan mereka dalam industri. - Foto hiasan

Kenaikan OPR, kewujudan broker haram jejas pasaran hartanah

KENAIKAN beransur-ansur kadar dasar semalaman (OPR) sejak Mei 2022 dijangka memberi kesan kepada aktiviti pasaran hartanah, khususnya permintaan kediaman. Akibatnya, jumlah transaksi jual beli atau sewa hartanah menurun dan sekali gus mengurangkan pendapatan ejen hartanah.

Ejen hartanah adalah individu diberi lesen oleh Lembaga Penilai Pentaksir & Ejen Hartanah (LPPEH) dalam menguruskan proses jual beli, sewaan atau pajakan hartanah. OPR lebih tinggi menyebabkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi, sekali gus mengurangkan daya beli pembeli rumah dan mengakibatkan penurunan permintaan di pasaran hartanah.

Jika pembeli tidak mampu memperoleh pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah, mereka mungkin mengurangkan atau menunda pembelian hartanah, berpotensi menyebabkan penurunan aktiviti pasaran kediaman.

Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang menurun ketika ini menunjukkan ketidakpastian dalam kalangan pengguna membuat keputusan untuk melabur dalam hartanah. Apabila pengguna tidak yakin terhadap keadaan ekonomi atau masa depan kewangan mereka, ini menjadikan mereka cenderung berhati-hati dalam membuat keputusan pembelian hartanah.

Penurunan CSI boleh mengurangkan keinginan dan keyakinan pengguna membabitkan diri dalam transaksi hartanah, yang boleh mengakibatkan penurunan aktiviti pasaran kediaman.

Mereka mungkin perlu menyesuaikan strategi pemasaran, menawarkan penyelesaian kewangan lebih kreatif atau memberikan nasihat berpatutan kepada pelanggan untuk membantu mengatasi cabaran berkaitan kenaikan OPR dan penurunan CSI.

Perkembangan teknologi seperti platform penjualan hartanah dalam talian, penggunaan algoritma dan kecerdasan buatan (AI), perkembangan robotik dalam pengurusan hartanah, turut mengancam peranan tradisional ejen hartanah.

Tingkat pengetahuan, keterampilan

Maka, untuk bertahan dalam industri hartanah kompetitif, ejen perlu meningkatkan pengetahuan dan keterampilan mereka dalam industri. Peningkatan profesionalisme akan membantu memberikan mereka nilai tambah kepada pelanggan dan membezakan diri dengan pesaing.

Apa yang memburukkan lagi keadaan, reputasi dan kepercayaan terhadap ejen hartanah berdaftar seolah-oleh terhakis dengan wujudnya broker haram dalam pasaran hartanah sekali gus merosakkan citra keseluruhan industri. Broker haram mungkin menawarkan tarif atau komisen lebih rendah daripada ejen hartanah berdaftar untuk menarik pelanggan.

Hal ini menciptakan persaingan tidak seimbang dan dapat mengurangi peluang ejen hartanah berdaftar untuk mendapatkan pelanggan.

Sementara itu, kurang kesedaran masyarakat terhadap perbezaan antara ejen berdaftar dan broker haram adalah salah satu faktor utama menyumbang kepada peningkatan aktiviti broker haram dalam industri hartanah sehingga memungkinkan broker haram menipu dan menyalahgunakan kepercayaan pelanggan.

Pelanggan sering kali terpedaya dengan janji menarik dan tawaran harga hartanah rendah daripada broker haram ini. Akibatnya, mereka mungkin kehilangan wang, membeli hartanah tidak sah atau menghadapi masalah undang-undang.

Bagi mengatasi masalah ini, penting bagi masyarakat meningkatkan kesedaran mereka mengenai perbezaan antara ejen hartanah berdaftar dan broker haram.

Masyarakat harus mengambil langkah berjaga-jaga seperti memeriksa lesen dan kelayakan ejen hartanah sebelum berurusan. Mereka juga harus berusaha mendapatkan maklumat mengenai undang-undang dan peraturan berkaitan transaksi hartanah.

Selain itu, kerajaan melalui LPPEH dan Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) perlu meningkatkan pemantauan dan menegakkan undang-undang terhadap broker haram.

Penulis adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perak

Berita Harian X