Jumaat, 19 Mei 2023 | 9:00am
Tan Sri Azam Baki.
Tan Sri Azam Baki.

Lantikan semula Azam elak jejas kemajuan kes 'jerung'

PELANTIKAN semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan polemik, termasuk daripada bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr Edmund Terence Gomez yang mendakwa ia 'merosakkan' kredibiliti Perdana Menteri.

Pertikaian itu berasaskan dakwaan pemilikan saham dalam Gets Global Berhad dan Excel Force MSC Berhad atas nama Azam pada 2015 dan 2016 sehingga reputasinya dipersoalkan aktivis antirasuah, Lalitha Kunaratnam.

Hakikatnya, ia sudah lama selesai dengan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, menjelaskan lembaga itu memutuskan Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary atau benefisial bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan kerana akaun saham itu digunakan adiknya, Nasir, manakala semua saham terbabit sudah dipindahkan semula kepada Nasir.

Nama Azam juga dibersihkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) apabila menyatakan sudah menyelesaikan siasatan dan tidak dapat memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Lebih meyakinkan, Azam memfailkan saman fitnah ke atas Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari 2022 bagi membersihkan namanya dan kes itu akan dibicarakan pada 9 hingga 12 Julai.

Perlu diingat, tatacara lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM termaktub dalam Seksyen 5 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang menjelaskan ia dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Tidak wajar sesuatu lantikan dipersoalkan selepas diperkenankan baginda.

Pelantikan semula ini perlu dilihat dalam konteks jawatan itu sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018. Selepas Tan Sri Dzulkifli Ahmad letak jawatan, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM yang bersara wajib pada 3 Oktober 2016, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menggantikannya atas hujah berpengalaman dan mempunyai banyak maklumat.

Selepas Shukri memohon tempoh kontrak dipendekkan, Dr Mahathir melantik Latheefa Koya yang bukan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa 1 Jun 2019, tetapi mendapat kritikan banyak pihak kerana kedudukan politiknya sebelum itu.

Setelah Latheefa memohon dipendekkan tempoh kontrak, Perdana Menteri berikutnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Azam pada 9 Mei 2020 dan lantikan itu diteruskan penyandangnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.

Imej 'keberkecualian'

Sebenarnya, justifikasi pelantikan semula Azam adalah sama ketika pemilihannya buat kali pertama oleh Muhyiddin, iaitu didasarkan pengalaman luas dalam SPRM.

Apatah lagi, dengan terlalu banyak siasatan kes rasuah berskala besar dikendalikan SPRM sejajar fokus Anwar membanteras rasuah, pelantikan individu lain semestinya akan menjejaskan kemajuan siasatan.

Ia pasti jauh lebih baik berbanding memanggil semula individu sudah bersara seperti Mohd Shukri atau melantik orang luar yang akan menimbulkan pertikaian.

Malah, Azam sudah menjalankan tugas dengan memuaskan dan mengambil tindakan tanpa memilih puak atau parti, termasuk menggeledah pejabat menteri untuk menyiasat rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan. Khidmatnya dengan Muhyiddin dan Ismail Sabri memberikan imej 'keberkecualian' pada beliau.

Ia juga perlu dilihat dalam konteks komitmen Anwar memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan seperti melantik semula Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara bagi tempoh dua tahun bermula 11 Ogos 2022; Tan Sri Razarudin Husain sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (dua tahun) dan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara (enam bulan) yang pasti ada tugasan belum selesai untuk mereka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)

Berita Harian X