Selasa, 16 Mei 2023 | 9:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tepis sembang lucah di media sosial

KEWUJUDAN pelbagai aplikasi sembang di media sosial diakui menimbulkan implikasi negatif dalam 'perbualan' antara insan, sama ada lelaki atau wanita. Sehingga pada satu peringkat, topik dibincangkan dalam sembang itu menyentuh elemen seks, lalu menimbulkan gangguan seksual.

Ada kumpulan sembang media sosial pada dasarnya diwujudkan untuk membantu menyemarakkan semula hubungan pasangan suami isteri dan memberi kesedaran mengenai peranan seorang isteri. Namun apabila perbualan ini membabitkan lelaki dan perempuan tanpa segan silu secara terbuka menceritakan hal dalam kelambu, maka ia boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Pada masa sama, kumpulan sembang itu menyelitkan elemen dakwah atau agama kononnya untuk menghalalkan perbincangan terhadap isu berkenaan.

Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila sembang kumpulan media sosial itu dipercayai menjadi pencetus masalah kesihatan mental serius terhadap sebilangan pasangan suami isteri sehingga ke tahap meruntuhkan rumah tangga mereka.

Pada masa sama, tindakan menyebarkan tangkap layar perbualan dalam ruang sembang kumpulan itu ke platform media sosial lain juga berlaku, sekali gus menimbulkan pula kontroversi baharu iaitu mewujudkan pula perlakuan sembang lucah atau sexting.

Jika dahulu perlakuan sexting dianggap tabu, kini semakin ketara dan kelihatan seperti dinormalisasi dalam kalangan masyarakat. Perlakuan sexting ini menjadi kelaziman mungkin disebabkan kebanyakan masyarakat kurang menyedari risiko atau implikasi negatif menanti.

Sexting didefinisikan sebagai perlakuan menghantar, berkongsi atau memajukan mesej sama ada dalam bentuk teks, imej, audio atau video mengandungi unsur seksual secara dalam talian atau melalui penggunaan peranti teknologi.

Salah satu risiko sexting adalah kebarangkalian tersebar gambar tanpa kebenaran pengirim dan apabila ia berlaku, sukar untuk mengawal siapa akan melihatnya atau menyekat ia disebarkan.

Hal ini boleh menyumbang kepada implikasi serius dan berpanjangan, seperti buli siber, pemerasan dan fitnah. Selain itu, sexting membuka ruang kepada individu untuk menjadi pemangsa seksual.

Pemangsa seksual dalam talian biasanya menyasarkan golongan muda. Ini adalah petunjuk golongan muda berisiko tinggi menjadi mangsa dandanan dan eksploitasi seksual.

Bagi mencegah implikasi negatif sexting ini, penting untuk pihak berkepentingan mendidik masyarakat mengenai impak perlakuan atau tindakan mereka. Ibu bapa boleh bermula dengan berbual dengan anak mengenai risiko sexting' dan memantau segala aktiviti dalam talian mereka.

Pengurusan sekolah juga wajar berperanan dengan bergabung mewujudkan pendidikan digital dan keselamatan dalam talian menerusi kurikulum pengajaran sebagai langkah membantu golongan muda mengemudi dunia digital dengan penuh tanggungjawab.

Ibu bapa, pendidik dan komuniti mesti berganding bahu bersama-sama mendidik anak, murid, keluarga dan orang sekeliling terutama generasi muda mengenai bahaya perlakuan ini.

Paling utama, ibu bapa perlu meningkatkan ciri-ciri keselamatan pada peranti digunakan anak bagi mencegah implikasi buruk sexting. Ia termasuk penetapan langkah keselamatan seperti pengesahan umur, alat pelaporan dan dasar lebih ketat mengenai perkongsian kandungan eksplisit.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pengajian Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi MARA, Rembau

Berita Harian X