Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berlangsung hari ini semestinya menarik perhatian umum. Ia penting untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan hari ini adalah kuat dan berwibawa untuk memacu negara ke hadapan, di sebalik komplikasi politik dan pentadbiran.
Impaknya mesti segera sampai kepada rakyat pada peringkat akar umbi agar memahami hala tuju kerajaan dan terus memberi sokongan.
Beberapa persoalan penting untuk diangkat menjadi kerangka melatari konvensyen itu. Pertama, apakah kepentingannya kepada landskap politik negara dan isu apakah perlu diketengahkan?
Kedua, apakah peranan parti politik menyertainya dan bagaimana ia akan menyumbang kepada pengukuhan pentadbiran serta tadbir urus kerajaan?
Terakhir, apakah implikasi jangka panjang konvensyen untuk kestabilan politik negara, terutama enam Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin menghampiri? Tiga perkara itu barangkali relevan dilihat sepanjang konvensyen berlangsung.
Konvensyen ini untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama sehingga ke peringkat akar umbi antara pelbagai parti membentuk kerajaan. Ia bertujuan mewujudkan persefahaman dan kerjasama lebih kukuh dengan matlamat jelas, sekali gus memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan.
Alasannya jelas kerana gabungan kerajaan ini adalah daripada bekas musuh ketat dengan sejarah permusuhan politik panjang. Justeru, molek konvensyen ini menjadi platform membina keserasian. Oleh itu, tiga isu ini harus menjadi hasil konvensyen.
Pertama, pembinaan asas kerangka jelas bagaimana Kerajaan Perpaduan dijalankan berdasarkan agenda bersama meneruskan kesinambungan dan kestabilan politik negara. Kedua, membentuk konsensus bagi mengelak sebarang konfrontasi mengenai isu sensitif berpotensi memecahkan perpaduan sambil kekalkan status quo masing-masing.
Ketiga, menghasilkan modus operandi atau tatakelakuan Kerajaan Perpaduan untuk beroperasi, sama ada sebagai kerajaan dan paling penting untuk enam PRN. Memandangkan keputusan dan prestasi PRN sangat penting menentukan jangka hayat kerajaan seterusnya. Semua parti terbabit mesti berperanan dan sama menyumbang kalau mahu menjayakannya.
Terdapat empat peranan perlu dilakukan setiap parti ketika konvensyen. Pertama, mengusahakan formula berkesan bagi mengukuh dan mengekalkan perpaduan, sekali gus menjadikan kerajaan perpaduan pakatan berkesan dan meyakinkan di mata rakyat.
Kedua, menterjemahkan kerjasama elit seperti kelaziman model gabungan politik berjaya apabila setiap elit kaum mencerminkan idea politik rencam sederhana, progresif dan tidak taasub kepada kaum, agama atau ideologi tertentu dalam mengimbangi naratif pihak lawan.
Ketiga, gunakan konvensyen ini untuk menjelaskan kepada setiap akar umbi mengenai kepentingan dan hala tuju parti masing-masing sebagai ahli gabungan politik serta kerajaan. Ini penting dilakukan dengan pantas memandangkan pada peringkat ini belum ada usaha penerangan akar umbi dilakukan secara serius.
Terakhir, mesti menghasilkan manifesto bersama sebagai komitmen awal kepada proses damai. Ia bukan sahaja untuk PRN akan datang, bahkan kepada rakyat.
Capai persetujuan bersama
Sekurang-kurangnya satu persetujuan bersama bahawa gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan memasuki PRN secara tersusun dan teratur serta wajib memastikan tidak bertembung kalaupun tidak bertanding sebagai sebuah pasukan.
Bagaimanapun, sejauh mana konvensyen itu dapat membentuk penyatuan diinginkan, dua perkara berikut dilihat berpotensi menentukan jangka hayat Kerajaan Perpaduan.
Pertama, keputusan PRN. Walaupun tiada kaitan dengan kerajaan Persekutuan, ia masih penting dalam perspektif persepsi Melayu-Islam semasa yang masih membelenggu dinamika kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO-Barisan Nasional (BN).
Prestasi buruk pada PRN akan mengukuhkan naratif kerajaan kurang sokongan Melayu, seterusnya berpotensi menggugat kestabilan gabungan itu dalam konteks UMNO sebagai parti Melayu terbesar. Reaksi UMNO pasti dapat dijangka memandangkan kedudukannya semakin terkebelakang dan tidak meningkat selepas bekerjasama dengan PH.
Kedua, kes 'kluster mahkamah' berterusan dan masih menjadi beban bukan sahaja kepada UMNO, tetapi PH sendiri sebagai tunjang kerajaan. Isu ini menjadi liabiliti kepada komitmen kerajaan terhadap tadbir urus baik serta antirasuah dijanjikan PH yang sedikit sebanyak menjejaskan sokongan pengundi tradisi mereka.
Namun, Kerajaan Perpaduan tidak perlu menjadi terlalu defensif dan tenggelam dengan asakan lawan menghimpit dengan isu Melayu-Islam menyasarkan PH dan kluster mahkamah (BN-UMNO). Dua perkara ini adalah isu berlanjutan dan sedang berjalan sepatutnya perlu diimbangi dengan mengetengahkan pencapaian dan manfaat diperoleh rakyat melalui usaha perubahan dan penambahbaikan selepas enam bulan kerajaan dibentuk.
Konvensyen ini perlu dipertimbangkan untuk menjadi mekanisme atau badan rasmi Kerajaan Perpaduan pada masa hadapan. Walaupun tiada kepastian jangka hayat itu kerana dibentuk secara sementara oleh parti berbeza, kewujudan badan penyelaras penting bagi menyusun kebersamaan strategi, dasar dan keputusan dalam kerajaan bersifat campuran seperti ini.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)