Isnin, 8 Mei 2023 | 8:41am
Malaysia memerlukan polisi pengurusan kemiskinan tersendiri untuk menoktahkan kemiskinan atau memasukkan agenda pengurusan kemiskinan dalam kesemua polisi. - Foto NSTP
Malaysia memerlukan polisi pengurusan kemiskinan tersendiri untuk menoktahkan kemiskinan atau memasukkan agenda pengurusan kemiskinan dalam kesemua polisi. - Foto NSTP

Malaysia perlu polisi tersendiri menoktahkan isu kemiskinan

PERSOALAN sejauh mana kemiskinan boleh dibasmi sepenuhnya perlu dijawab dengan memahami definisi kemiskinan terlebih dahulu. Kemiskinan diasaskan tiga perspektif berbeza, iaitu berasaskan perspektif kewangan (kemiskinan mutlak), perspektif kemanusiaan dan perspektif pelbagai dimensi.

Bagaimanapun, tumpuan kita adalah perspektif kewangan merangkumi aspek kemampuan kewangan memperoleh keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian serta kualiti hidup baik.

Kemampuan terbabit diukur berasaskan pendapatan isi rumah, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan kemudiannya menentukan sama ada seseorang dalam kategori miskin tegar, iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM1,169 dengan pendapatan per kapita RM310 sebulan atau miskin (pendapatan isi rumah antara RM1,170 hingga RM2,208 atau per kapita RM594 sebulan).

Kita wajar melihat bagaimana China membasmi kemiskinan melalui pelaksanaan enam fasa dalam tempoh tujuh dekad, iaitu sebelum 1978 hingga 2020. Fasa pertama menumpukan pengagihan bantuan kecil untuk mengurangkan kemiskinan, manakala fasa kedua mempromosikan pengurangan kemiskinan melalui pertumbuhan ekonomi (1978-1985).

Fasa ketiga usaha pembangunan besar-besaran (1986-1993); fasa keempat, penyertaan sosial (1994-2000); fasa kelima, pembangunan kampung (2001-2010) dan fasa keenam, membangunkan kawasan tertentu melalui usaha bersinergi (2011-2020).

Natijahnya, jumlah kemiskinan di negara itu menurun dengan ketara, iaitu lebih 750 juta atau bersamaan dua daripada tiga populasi pada 1990 kepada 90 juta (2012) dan 7.2 juta (2016).

Hakikatnya, usaha membasmi kemiskinan bukan saja berlaku pada zaman moden, bahkan dalam tradisi Islam, iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah selama dua tahun enam bulan tetapi berjaya membasmi miskin tegar.

Banyak formula digunakan antaranya mengurangkan beban golongan peniaga atau usahawan dengan mentransformasikan sistem cukai dan membentuk ekosistem perniagaan lebih mesra hingga menghasilkan natijah berangkai seperti peningkatan pendapatan, membuka peluang pekerjaan serta berjaya membina masyarakat 'kaya jiwanya', iaitu tidak lagi meminta-minta.

'Berikan joran, bukan ikan'

Rumusannya, retorik lazim kemiskinan, iaitu 'berikan joran, bukannya ikan kepada orang miskin' boleh direalisasikan dengan memperkasa ekosistem industri meliputi inklusiviti sosial, pendidikan dan ekonomi.

Secara khususnya menumpukan pembinaan kapasiti dan modal insan komuniti miskin melalui pengetahuan praktikal terbaru, termasuk penyertaan dalam Latihan Teknikal dan Vokasional untuk meningkatkan keupayaan buruh daripada pekerja tidak mahir kepada pekerja separuh mahir.

Dari perspektif basmi miskin tegar berasaskan aspek kewangan, usaha itu memerlukan inisiatif meningkatkan pendapatan isi rumah tetapi tetap perlu mempertimbangkan isi rumah berada di luar tenaga buruh seperti umur dan keadaan tidak produktif.

Bagaimanapun, dengan mempertimbangkan 123,243 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan lebih 300,000 ahli isi rumah (tidak termasuk lebih 300,000 KIR miskin), usaha ini memerlukan keazaman dan komitmen sangat besar.

Ini termasuk mempertimbangkan senario prestasi tenaga buruh yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 591,900 penganggur pada Februari 2023. Sebanyak 80.3 peratus adalah mereka bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif. Ia memberi isyarat tidak mudah memperoleh pekerjaan bagi kelompok menganggur meskipun pasaran buruh menunjukkan trend menaik.

Oleh itu, pilihan seterusnya adalah mencipta pekerjaan baharu atau bekerja sendiri yang memerlukan ekosistem industri kondusif termasuk memberi perhatian kepada daya keusahawanan.

Proses menambah pendapatan perlu memberi perhatian sama ada 'pemberi dan penerima' bersedia atau tidak. Pemberi ialah pihak terbabit dalam pengurusan kemiskinan seperti agensi dan industri, manakala bersedia bermakna mahu mengubah paradigma pengurusan kemiskinan sedia ada kepada yang baharu, iaitu daripada pendekatan atas-bawah kepada pendekatan 'rakan-kongsi'.

Ini termasuk berkongsi maklumat seperti pangkalan data dan usaha bersama dilakukan supaya semangat kolaborasi diteruskan dengan tindakan pengurusan kemiskinan lebih berimpak lestari.

Harus diingatkan, penerima atau komuniti miskin perlu bersedia. Saya bertemu ramai individu miskin sentiasa bersungguh-sungguh untuk keluar daripada kemiskinan tetapi berhadapan banyak cabaran seperti peluang dan memerlukan nilai pandang hidup baharu.

Mengambil kira senario ini, Malaysia memerlukan polisi pengurusan kemiskinan tersendiri untuk menoktahkan kemiskinan atau memasukkan agenda pengurusan kemiskinan dalam kesemua polisi.

Apa diperlukan adalah meneruskan momentum dengan menggerakkan lebih banyak daya dan potensi pemegang taruh. Kita perlu memperkasa ekosistem industri dengan menyusun kembali gerak kerja dan pembabitan serius pihak industri serta masyarakat sivil kerana usaha itu bukan sahaja memerlukan keazaman politik, bahkan keazaman intelektual dan keazaman kolaborasi semua pemegang taruh.

Penulis adalah Pengarah Institut penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan

Berita Harian X