Ahad, 7 Mei 2023 | 9:30am
Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) di https://www.m100potsdam.org/en/rsfs-2022-world-press-freedom-index-a-new-era-of-polarisation/
Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) di https://www.m100potsdam.org/en/rsfs-2022-world-press-freedom-index-a-new-era-of-polarisation/

Media sosial imbangi 'sekatan' media tradisional

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) menyatakan Kerajaan MADANI terus komited memastikan aspek kebebasan media terbuka.

Ia juga bagi memastikan proses semak dan imbang terus berkembang serta berfungsi dengan baik bagi memastikan pembangunan negara dapat disalurkan dengan cepat dan betul.

Menurut Laporan RSF, kedudukan Malaysia meningkat kepada 113 dengan 51.55 mata berbanding 2021, pada 119 mata (60.53 mata) daripada 180 negara dianalisis.

Untuk rekod, menurut laporan RSF 2021, skor indeks kebebasan media Malaysia pada 2021 ialah 42.36, menunjukkan kewujudan kebebasan media terhad di negara ini.

Berdasarkan indeks 2022, Malaysia menduduki kedudukan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-115, Indonesia (ke-117), Singapura (ke-139), Kemboja (ke-142), Brunei (ke-144), Filipina (ke-147), Laos (ke-161 ), Vietnam (ke-174) dan Myanmar (ke-176).

Sebenarnya, kebebasan media di Malaysia sudah lama menjadi isu perdebatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, ada beberapa undang-undang dan peraturan dilihat menyekat kebebasan media di negara ini.

Antara undang-undang mengawal media di Malaysia adalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi kuasa kepada kerajaan mengawal dan memantau internet serta penggunaannya, manakala OSA membolehkan kerajaan mengehadkan maklumat boleh disebarkan media.

Media di Malaysia juga dikaitkan dengan Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, membolehkan kerajaan menangkap dan mendakwa individu membuat kenyataan dianggap menyebarkan kebencian dan propaganda tidak berasas.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat tindakan positif diambil kerajaan untuk meningkatkan kebebasan media.

Pada 2018, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dipinda untuk membolehkan lebih banyak kandungan media sosial yang bebas dan tidak ditapis. Selain itu, kerajaan juga menggantung beberapa tindakan undang-undang menyekat kebebasan media seperti Akta Berita Palsu 2018.

Walaupun ada beberapa undang-undang dan peraturan menyekat kebebasan media di Malaysia, masih ada media berani mempertahankan kebebasan media dan melaporkan kebenaran secara objektif serta kritikal.

Beberapa portal berita masih berani melaporkan isu sensitif dan kritikal terhadap kerajaan, walaupun kadang-kadang tindakan undang-undang dan tekanan ditujukan kepada mereka.

Di samping itu, kehadiran media sosial juga memperluas kebebasan media di Malaysia. Media sosial menyediakan ruang untuk orang ramai bercakap dan berkongsi maklumat dengan bebas, walaupun kadang-kadang boleh menjadi tempat pembiakan maklumat palsu dan propaganda tidak berasas.

 Kebebasan media masih terhad 

Secara umumnya, boleh dikatakan kebebasan media di Malaysia masih terhad, tetapi ada tindakan positif yang diambil sesetengah pihak untuk memperjuangkan kebebasan media dan menyediakan akses kepada orang ramai.

Pada masa sama, media dan wartawan turut berdepan ugutan serta tekanan daripada pihak berkuasa. Ada wartawan ditahan dan dituduh atas dakwaan menyebarkan berita palsu atau tidak benar.

Hakikatnya, pemilikan media berpusat di tangan beberapa pemilik atau individu yang berkaitan dengan kepentingan politik atau perniagaan tertentu, sekali gus boleh menjejaskan isu dilaporkan dan mengehadkan kebebasan media.

Walaupun terdapat sekatan media di Malaysia, beberapa organisasi media dan wartawan masih berani melaporkan berita secara kritis dan objektif. Mereka juga berusaha mempertahankan kebebasan media dan mencabar sekatan sedia ada.

Sekalipun ada beberapa perubahan positif dalam menghidupkan aspirasi kebebasan media di Malaysia, masih terdapat banyak isu perlu ditangani.

RSF melaporkan masih terdapat kebimbangan mengenai pelanggaran hak wartawan dan kebebasan media di Malaysia, seperti intimidasi dan penindasan wartawan, akses terhad kepada maklumat awam dan kecenderungan pemilik media mempengaruhi kandungan berita dilaporkan.

Sementara itu, Freedom House, sebuah organisasi bebas memantau kebebasan politik dan kebebasan sivil di seluruh dunia, meletakkan kebebasan media di Malaysia sebagai 'tidak bebas' dalam laporan 2021mereka.

Pertubuhan itu juga menekankan beberapa isu penting perlu ditangani di negara ini, termasuk kebebasan akhbar terhad, intimidasi dan ancaman terhadap wartawan serta tidak telus menyediakan akses kepada maklumat awam.

Indeks kebebasan akhbar adalah penunjuk digunakan untuk mengukur tahap kebebasan media di sesebuah negara. Indeks ini biasanya dicipta organisasi bebas dan dijalankan menerusi penilaian pelbagai faktor mempengaruhi kebebasan media.

Ia seperti kebebasan melaporkan berita tanpa halangan, akses kepada maklumat awam, perlindungan wartawan dan kebebasan daripada pengaruh politik serta kepentingan perniagaan.

Penulis adalah Penganalisis politik dan Profesor di Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X