Ahad, 30 April 2023 | 8:00am
Menjadi tanggungjawab kita sebagai pekerja dan pengguna untuk berdisiplin dalam berbelanja terutama menjelang hari lebaran atau apa juga perayaan. - Foto hiasan NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menjadi tanggungjawab kita sebagai pekerja dan pengguna untuk berdisiplin dalam berbelanja terutama menjelang hari lebaran atau apa juga perayaan. - Foto hiasan NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Disiplin dalam berbelanja elak 'ikat perut' pasca beraya

SEMINGGU berlalu Aidilfitri, sudah mula terdengar keluhan daripada ahli keluarga dan rakan sekeliling sama ada bekerja di sektor awam atau swasta mengadu terpaksa menunggu hingga 45 hari lagi untuk mendapat gaji bulan depan.

Ada yang mengadu belumpun sampai bulan baharu, hampir separuh gaji sudah digunakan, malah ada juga terpaksa menangguhkan pembayaran komitmen seperti hutang kereta dan pinjaman rumah bulan ini selepas menyedari 'lari bajet' sebab hendak menyambut raya tahun ini.

Secara tidak langsung, ahli keluarga dan kenalan terbabit sudah tentu terpaksa 'mengikat perut' sehingga gaji bulan depan selepas pendapatan bulan ini diterima awal sebelum Aidilfitri menjelma.

Sebelum ini, gaji penjawat awam Persekutuan diterima pada 14 April lalu, dipercepatkan tiga hari berbanding 17 April seperti dijadualkan sebelum ini. Ia bermakna kira-kira 1.6 juta penjawat awam perlu menunggu selama 45 hari untuk pembayaran gaji seterusnya, pada 25 Mei nanti.

Nasib hampir serupa juga terpaksa dilalui kakitangan swasta apabila beberapa syarikat melaksanakan pembayaran gaji awal sebelum Aidilfitri, menyebabkan pekerja terbabit perlu menunggu agak lama bagi gaji bulan depan.

Semua maklum setiap kali tiba Aidilfitri, keinginan untuk berbelanja pastinya membuak-buak hingga mengheret kita membeli sesuatu yang tidak perlu, sekali gus menyebabkan pembaziran pendapatan.

Apatah lagi sifat berbelanja itu memang sinonim dengan budaya pekerja di negara ini. Kajian Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 membuktikan 69 peratus pekerja lebih suka berbelanja daripada menyimpan.

Ia sekali gus menyebabkan mereka tiada simpanan untuk kecemasan dengan hanya 20 peratus mampu menampung perbelanjaan hidup sekurang-kurangnya tiga bulan jika hilang pekerjaan.

Selain bagi tujuan perbelanjaan barangan, golongan pekerja khususnya perantau juga perlu memperuntukkan sebahagian 'dana' untuk pemberian 'duit raya' dan petrol bagi pulang ke kampung.

Sebelum ini, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, menasihatkan penjawat awam supaya tidak 'menyentuh' wang gaji untuk perbelanjaan Aidilfitri dan sambutan Syawal sehingga melangkaui tanggungan atau peruntukan sedia ada.

Sebaliknya beliau berkata, penjawat awam perlu memanfaatkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 untuk perbelanjaan raya sepenuhnya, sebelum bertindak menyentuh wang gaji.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga mencadangkan supaya pembelian barangan termasuk untuk rumah terbuka boleh dibuat menggunakan platform e-dagang mendapatkan tawaran lebih menjimatkan.

Beliau berkata, ini kerana pelanggan boleh membuat perbandingan harga dengan cara boleh menjimatkan masa, selain berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan.

Berfikir secara rasional elak 'lupa diri'

Berdasarkan dua pandangan ini, pengguna tidak boleh menuruti nafsu berbelanja untuk menyambut Aidilfitri atau apa perayaan pun. Sebaliknya pengguna patut berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan membeli sesuatu barang. Namun, mungkin disebabkan begitu teruja menyambut Aidilfitri dan sambutan Syawal dalam keadaan bebas kawalan pergerakan, ia mendorong pengguna 'lupa diri' berbelanja kali ini.

Apa yang pasti, situasi melanda pekerja ini memperlihatkan kelemahan diri dalam menguruskan kewangan atau pendapatan secara lestari. Ia menunjukkan kadar celik urus kewangan dan pendapatan dalam kalangan rakyat masih lemah.

Justeru, bagi mendepani situasi sama setiap kali menjelang perayaan, ada baiknya pekerja terutama B40 dan M40 mewujudkan satu tabung khusus untuk merancang perbelanjaan raya mereka selepas ini.

Mungkin kita perlu menyimpan RM50 atau lebih sebulan untuk tempoh 12 bulan daripada sekarang, sebagai bajet khas untuk menyambut perayaan atau lebaran tahun depan.

Ia sebagai ikhtiar jangka panjang golongan pekerja bagi mengelakkan situasi 'terputus' sumber wang untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga, ketika atau selepas lebaran akibat terpaksa menunggu hari gaji pada bulan berikutnya.

Apa yang penting, menjadi tanggungjawab kita sebagai pekerja dan pengguna untuk berdisiplin dalam berbelanja terutama menjelang hari lebaran atau apa juga perayaan.

Di samping itu, sudah tiba masa bagi kita untuk meningkatkan literasi kewangan bagi mengelak terperangkap dalam situasi 'ikat perut' sehingga terpaksa 'tebal muka' meminjam di sana sini, termasuk rakan dan ahli keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup pasca perayaan.

Penulis adalah Wartawan BH

Berita Harian X