ChatGPT menggemparkan dunia Disember lalu apabila OpenAI, iaitu syarikat kecerdasan buatan (AI) membuka versi pratonton penyelidikannya kepada orang ramai untuk diuji dan digunakan secara percuma.
Ini menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan ahli akademik di seluruh dunia atas kemunculan 'AI chatbots' kerana dikatakan mencabar integriti akademik.
Melanggan atau menggunakan teknologi AI cukup mudah, tetapi apabila menggunakannya, pendidik perlu mempertimbangkan semula pedagogi mereka untuk pembelajaran berkesan bagi pelajar.
Mendepani cabaran baharu ini, sekurang-kurangnya pendidik perlu merencana semula konsep pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan AI, iaitu mengguna pakai dasar teknologi itu dalam kurikulum, sekali gus menggalakkannya sebagai langkah mewujudkan kemahiran baharu.
Justeru, pengajar atau pensyarah dan pelajar perlu menerima hakikat teknologi AI akan menjadi instrumen utama dalam bidang pendidikan dari segi mengakses pengetahuan masa kini dan masa hadapan.
Daripada menolak teknologi ini, ada baiknya pengajar menggunakannya lebih awal sebagai alat sokongan untuk pembelajaran terarah kendiri. Pendidik boleh melakukan ini secara berperingkat untuk membantu pelajar menggunakannya belajar sendiri dan melengkapkan tugasan.
Pensyarah juga perlu menentukan perkara perlu dipelajari dan membimbing pelajar untuk menggunakan alatan AI sebagai 'guru sokongan'. Pelajar boleh dibimbing cara menggunakan 'bot' menggunakan sub soalan lebih kecil untuk mendapatkan jawapan, membolehkan mereka memahami topik kompleks.
Menerusi cara ini, mereka diajar untuk membabitkan diri secara kritikal dengan AI dan bukan menggunakannya semata-mata untuk menghasilkan jawapan bagi tujuan melengkapkan tugasan.
Rancang pengajaran, tugasan
Teknologi AI juga boleh dimanfaatkan untuk merancang pengajaran dan tugasan sesuai dengan keperluan serta kebolehan pelajar.
Selama ini, pensyarah turut bergelut merangka objektif pembelajaran berasingan bagi pelajar mempunyai kebolehan berbeza dalam kelas, terutama jika sesuatu pelajaran disasarkan kepada kohort lebih besar.
Maka, 'bot' AI boleh diarahkan untuk merancang pengajaran sesuai bagi membantu pensyarah menjimatkan masa merancang dan menggunakan pengajaran mereka berbeza daripada orang lain.
Sementara itu, secara tradisinya, pensyarah menghabiskan masa berjam-jam menanda tugasan pelajar, tetapi dengan penggunaan alatan AI, maklum balas automatik, tetapi sesuai kepada pelajar menghasilkan tugasan mereka.
Ini mengurangkan masa penandaan kertas dengan ketara dengan mengenal pasti tugasan mempunyai jawapan tetap seperti masalah matematik dan tugasan berasaskan teks seperti karangan.
Dalam pada itu, pelajar tidak seharusnya melihat teknologi AI sebagai penyelesaian utama kepada semua masalah pembelajaran. Mereka perlu diingatkan bahawa pekerjaan masa hadapan masih memerlukan kemahiran yang diasah dan kecekapan manusia yang mungkin tidak dapat diperoleh dengan hanya mengarahkan bot AI untuk menyelesaikannya.
Sesetengah temu duga kerja juga mempunyai halangan seperti ujian kemahiran untuk menunjukkan kecekapan calon atau graduan. Ia menjadi ujian muktamad, sama ada graduan layak diambil bekerja, bukan melalui sijil pendidikan sahaja.
Kemunculan teknologi AI menandakan keperluan untuk perubahan segera dan inovatif dalam industri pendidikan, maka pendidik dan pelajar perlu melihat AI sebagai sekutu dan bukannya musuh.
Bermakna, pendidik atau pensyarah wajar beralih kaedah mengajar, bukan lagi menjadi pengajar berdiri di hadapan kelas dan menyampaikan pengetahuan untuk penuntut mengingat atau menghafal, sebaliknya mendorong pelajar berfikir.
Pelajar tidak lama lagi akan didedahkan kepada teknologi AI lebih hebat bagi menjana pengetahuan lebih mendalam daripada pendidik menggunakan buku teks dan enjin carian tradisional.
Penulis adalah Pengarah Inovasi dan Pembangunan Pembelajaran (LID) di Pusat Pembelajaran Masa Depan, Taylor's
University